Siasatan penyelewengan RM12.3 juta ketua sami bongkar seks atas meja makan
Seorang ketua sami di sebuah kuil terkenal di Ayutthaya, Thailand ditahan selepas didakwa menyeleweng kira-kira 100 juta baht (RM12.3 juta), dengan skandal itu turut membongkar rakaman video dia melakukan hubungan seks dengan pembantu wanitanya di atas meja yang turut digunakan untuk makan.
Memetik laporan Bangkok Post, Phra Vajirayan, 66, atau dikenali sebagai Luang Por Chot, ditahan bersama pembantunya, Punyavee Rungrueang, 47, selepas polis menyerbu kediamannya di Wat Phutthaisawan kira-kira jam 6 pagi Khamis.
Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat (CIB), Leftenan Jeneral Polis Natthasak Chaowanasai berkata siasatan sulit yang dijalankan pihak berkuasa menemui bukti yang menyokong dakwaan terhadap ketua sami berkenaan.
Sepanjang tempoh lebih dua tahun, Phra Vajirayan didakwa mengeluarkan lebih 20 resit sumbangan atas nama kuil tanpa kebenaran sehingga menyebabkan kerugian kira-kira 100 juta baht.
Aksi seks atas meja makan
Ketika penahanan itu, polis memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman ketua sami berkenaan dan menemui video yang menunjukkan dia melakukan hubungan seks dengan seorang wanita di atas sebuah meja.
Menurut polis, meja berkenaan turut digunakan untuk makan.
Lebih mengejutkan, video seks itu diserahkan kepada polis oleh sekumpulan pengikut bekas ketua sami berkenaan yang berkata mereka "tidak lagi dapat bertolak ansur dengan kelakuannya".
Wanita dalam rakaman itu merupakan pembantunya yang didakwa membantu menguruskan wang yang diseleweng.
Polis mendapati puluhan juta baht melalui akaun bank Punyavee setiap tahun.
Wanita itu ditahan atas tuduhan bersubahat dengan seorang pegawai kerajaan dalam kegiatan menyalahi undang-undang.
Menurut laporan itu, ramai sami dianggap sebagai pegawai kerajaan di sisi undang-undang Thailand kerana menerima elaun bulanan daripada kerajaan.
Jual azimat, wang masuk akaun peribadi
Siasatan mendapati bekas ketua sami itu didakwa menyeleweng hasil jualan azimat dan barangan keagamaan lain.
Wang berkenaan sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun kuil, namun dia didakwa menubuhkan sebuah yayasan dan memindahkan dana ke akaun peribadi, manakala resit sumbangan pula dikeluarkan atas nama kuil.
Natthasak berkata modus operandi itu menyerupai skandal berprofil tinggi membabitkan Wat Phrabat Namphu, sebuah kuil yang menempatkan hospis AIDS di wilayah Lop Buri, dengan kerugian dianggarkan mencecah 10 bilion baht.
Phra Vajirayan dilantik sebagai ketua sami Wat Phutthaisawan pada 2022 dan turut dikenali dalam perdagangan azimat kerana menghasilkan azimat Buddha terkenal, termasuk syiling "Nuea Duang" atau "Elevating Status" yang mendapat permintaan ramai penganut Buddha.
Emas, barang kemas dan wang tunai dirampas
Dalam serbuan di rumah Punyavee di daerah Khlong Luang, Pathum Thani, polis merampas 35 azimat emas selain jongkong emas dan barang kemas seberat keseluruhan 1.36kg yang dianggarkan bernilai 6.04 juta baht.
Turut dirampas ialah wang tunai 3.6 juta baht, tiga telefon bimbit, sebuah iPad, 10 set dokumen tanah dan bank, dua geran tanah, tujuh buku bank, satu kontrak penjualan tanah dan 18 dokumen pelaburan.
Polis turut menyita satu polisi insurans kesihatan, enam sijil insurans emas, tujuh resit jual beli emas dan empat sijil loteri Government Savings Bank.
Penyiasat berkata kes berkenaan mungkin mempunyai kaitan dengan dua atau tiga individu lain, selain tidak menolak kemungkinan lebih daripada seorang wanita terbabit.
Seorang pentadbir awam Wat Phutthaisawan, yang dikenal pasti sebagai Chettha Ninsukhum, turut dibawa ke CIB untuk disoal siasat.
Dia enggan menjawab pertanyaan wartawan sebelum dibawa masuk ke bangunan berkenaan.
Selepas ditahan, Luang Por Chot dibawa ke dewan pentahbisan kuil dengan pakaian putih disediakan untuk upacara melucutkan statusnya sebagai sami.
Suspek yang kemudian kembali menggunakan nama asalnya, Atichote Thammavaro, diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke CIB untuk soal siasat lanjut.
/file/attachments/orphans/gasdadsasd_509983.jpg)
