Pengampunan Najib: ‘Kami sedih'
Umno menyatakan rasa sedihnya dengan penangguhan pendengaran permohonan pengampunan Najib Razak tetapi menegaskan tetap mendukung institusi diraja.
“Kami bersedih dengan keputusan itu,” kata Presiden Umno Zahid Hamidi.
Menjawab soalan pemberita, Zahid berkata, mereka merayu supaya Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim membuat keputusan terbaik.
“Kami tetap mendaulatkan raja-raja dan kami mengharapkan sesuatu yang terbaik, yang akan diberikan kepada Najib,” katanya.
Sultan Ibrahim hari ini berkenan untuk membebaskan 65 banduan tetapi menangguhkan permohonan Najib.
Keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bersidang hari ini.
/file/1282/1700ad1eb7e7721f4153b47b7bdb9de0.jpeg)
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan PH seolah-olah membantah perintah tahanan rumah berkenaan dengan menyatakan bahawa individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau penyalahgunaan kuasa, terutamanya dalam kes profil tinggi, perlu menjalani hukuman penuh.
Najib masih berdepan pertuduhan rasuah lain di mahkamah berkaitan 1MDB. Dia juga sedang merayu bagi sabitan berasingan pada 2025 atas 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang membawa hukuman penjara 15 tahun.
Sumber yang menghadiri mesyuarat PH memberitahu Straits Times Singapura bahawa Peguam Negara dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh dijangka membantah sebarang pengampunan tambahan untuk Najib apabila Lembaga Pengampunan bersidang.
Anwar juga dilapor akan memohon perkenan untuk menghadap Seri Paduka sebelum mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi membincangkan perkara tersebut.
Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 2022 selepas disabitkan kesalahan dalam kes rasuah SRC International, bekas anak syarikat 1MDB. Pada 2024, Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjaranya kepada separuh dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Kuasa prerogatif Agong
Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata mereka belum menerima sebarang maklumat rasmi.
Bagaimanapun, seperti Zahid, dia juga berkata menghormati apa jua keputusan Agong.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/4880c26544237da121b8975b707162c3.png)
“Sebab itu tidak wajar untuk mana-mana pihak mempersoalkan kuasa prerogatif Seri Paduka yang dinyatakan secara jelas dalam perlembagaan,” katanya.
“Mengapa kita perlu bersikap berat sebelah. Di satu pihak kamu benarkan perkara ini berlaku dan kamu sokong apabila ia melibatkan orang kamu, pemimpin kamu.
“Tetapi apabila melibatkan orang lain, kamu cuba berhujah dari pelbagai sudut dan perspektif. Ini tidak betul.
"Itu kita serahkan kepada pihak berkuasa sebab kita tak faham dalam konteks apa yang ada cuma kita mendoakan beliau diberikan keadilan yang sepatutnya," ujarnya.
Sementara itu, anak kepada bekas perdana menteri itu, Nazifuddin Najib ketika ditemui enggan mengulas lanjut keputusan kes melibatkan bapanya.
“Saya tak boleh komen,” katanya ringkas kepada Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/521424e191877737089ae92f2bc3ab23.jpg)
Ketika diminta mengulas apakah dia kecewa dengan keputusan tersebut serta mungkin ada sedikit harapan berhubung ketetapan yang dibuat terhadap Najib, Ketua Umno Bahagian Langkawi itu juga enggan mengulas lanjut.
“Saya tak boleh komen,” katanya lagi.
Bagi Setiausaha Pemuda Umno, Hafiz Ariffin pula dia akur dengan keputusan yang dibuat terhadap bekas presidennya itu.
“Kita menghormati keputusan yang dibuat dan akur dan ikut apa yang telah diputuskan. Dan apa-apa gerakan (tindakan lanjut) kita akan tunggu ulasan penuh keputusannya. Tapi, apa pun kita serahkan kepada bidang kuasa pengampunan,” katanya.
Bagi Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub pula keputusan tersebut disifatkan sebagai satu mainan.
“Ini pun satu mainan lagi, walhal Yang di-Pertuan Agong telahpun bersetuju tapi kenapa pula ia tidak dimasukkan dalam agenda dan perlu ditangguh lagi?
“Ini mainan yang dibuat oleh dia orang. Dan saya yakin dengan penangguhan pengampunan Datuk Seri Najib ini akan membuatkan semangat ahli parti akan lagi membara menolak kerajaan yang ada dan Umno juga sudah bersedia untuk berdepan dengan pilihan raya umum akan datang. Kita bersedia,” tambahnya.
/file/attachments/orphans/AimanNurSuria2_823978.jpg)
