Penyasaran subsidi yang dilaksanakan telah meningkatkan penarafan kredit Malaysia, ini menunjukkan kerajaan serius melakukan reformasi ekonomi dan penyatuan fiskal, kata ahli ekonomi.

Kerajaan usaha kurangkan kadar defisit fiskal kepada 4.3 peratus

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhasrat untuk menggantikan subsidi secara menyeluruh, yang sebelum ini menyebabkan negara  menanggung kos sebanyak RM81 bilion pada tahun lepas. Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan defisit bajet 2024 kepada 4.3% dari Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding dengan 5% pada tahun 2023.

Mulai 3 Jun lepas, harga runcit diesel ditetapkan kepada 3.15 seliter di Semenanjung menerusi penyasaran subsidi. Walaubagaimanapun, program Budi Madani telah diperkenalkan untuk memberikan bantuan bulanan sebanyak RM200 kepada pemilik kenderaan diesel individu, petani, dan pekebun kecil komoditi   sebagai usaha untuk mengurangkan impak kenaikan harga bahan api tersebut.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Afzanizam Rashid berkata berkata, walaupun mendapat kritikan, langkah tersebut menghantar isyarat kepada agensi penarafan kredit antarabangsa seperti Moody's, Fitch Ratings, dan S&P Global Ratings bahawa kerajaan sedang mengambil langkah dalam pelaksanaan penurunan subsidi.

Katanya, penarafan kredit mampu menyumbang kestabilan ekonomi negara dan pertumbuhan dengan menurunkan kos pinjaman, meningkatkan keyakinan pelabur, dan memperluaskan akses pasaran modal.

"Jika kerajaan menunjukkan disiplin dalam kewangan, mereka akan mendapat penilaian baik daripada agensi penarafan kredit dan prospek mereka untuk bergerak ke hadapan akan lebih cerah," katanya.

“Kita sekarang di tahap ‘stabil’, namun jika penyatuan fiskal mendapat lebih anjakan, saya tidak terkejut andai rating kita berubah kepada ‘stabil’ kepada ‘positif’ dan ia bagus untuk pasaran bon kita.”

Langkah strategik penyusunan semula subsidi

Tahun lalu, Moody’s mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada ‘A3 stabil’, dengan Fitch Ratings meletakkan kepada ‘BBB+ stabil’, dan S&P Global Ratings pada tahap ‘A- stabil’.

Ketiga-tiga agensi penarafan kredit tersebut menekankan pentingnya pengurangan jumlah tanggungan subsidi negara dan perbelanjaan yang berhemah dalam pengumuman penilaian mereka tahun lalu.

Penyasaran subsidi diesel merupakan langkah ketiga dalam usaha kerajaan menstruktur semula peruntukan subsidi, selepas penjimatan RM4.4 bilion menerusi pelarasan tarif elektrik, dan RM1.2 bilion penjimatan kesan pengapungan harga ayam dan telur.

Pensyarah kanan ekonomi dari Universiti Malaya, Goh Lim Thye, menyatakan bahawa perbelanjaan subsidi yang tinggi, yang digambarkan Anwar sebagai tertinggi di Asia, menjadi halangan bagi Malaysia untuk mencapai status negara maju, kerana dana yang besar tidak dapat disalurkan untuk tujuan pembangunan.

Menurutnya, penyasaran subsidi diesel yang dapat menjimatkan RM4 bilion setahun akan membantu menambah perbelanjaan awam dan menurunkan defisit bajet.

"Penyasaran subsidi ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam penyatuan fiskal dan kestabilan ekonomi jangka panjang," katanya.

“Peralihan dasar ini adalah sebahagian daripada Bajet 2024, di mana unjuran pengurangan belanja subsidi dan bantuan sosial daripada RM64.2 bilion pada 2023 kepada RM52.8 bilion, menggariskan fokus strategik untuk meningkatkan kesihatan fiskal negara.”


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my.