Pertikaian Undang Luak kian meleret
Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung permohonan enam individu termasuk bekas Undang Luak Sungai Ujong Mubarak Thahak untuk menggantung prosiding komital terhadap mereka sementara menunggu rayuan.
Panel tiga hakim terdiri daripada Alwi Abdul Wahab, Shahnaz Sulaiman dan Amarjeet Singh menetapkan 14 Sept ini sebagai pengurusan kes bagi menentukan tarikh keputusan.
Mahkamah turut melanjutkan perintah penangguhan sementara bagi prosiding komital yang diperoleh keenam-enam individu sebelum ini.
Pada 29 Julai lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Azhahari Kamal Ramli, yang bersidang bersama-sama Ahmad Kamal Md Shahid dan Latifah Mohd Tahar, membenarkan permohonan penangguhan itu sementara rayuan mereka didengar serta diputuskan.
Terdahulu, mahkamah mendengar hujah peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, yang mewakili keenam-enam pemohon, dan peguam Steven Thiru bagi pihak Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) serta Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin.
Prosiding komital itu berkaitan dakwaan bahawa mereka melanggar perintah injunksi ad interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 5 Jun lepas.
Enam individu terbabit ialah Mubarak, Undang Luak Jelebu Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Muhammed Abdullah, Undang Luak Rembau Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Shahbandar Sungai Ujong Badarudin Abdul Khalid.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan DKU dan Raja Norazli memulakan prosiding komital terhadap keenam-enam individu atas dakwaan menghina mahkamah kerana melanggar perintah injunksi tersebut.
Dalam hujahnya, Awang Armadajaya berkata jika penangguhan itu tidak dibenarkan, ia akan menyebabkan rayuan yang difailkan oleh pemohon menjadi sia-sia.
Beliau berkata terdapat beberapa persoalan undang-undang penting yang perlu diputuskan oleh Mahkamah Rayuan termasuk sama ada Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Khas mempunyai bidang kuasa untuk mendengar prosiding injunksi dan komital berkenaan.
Peguam itu juga berhujah sekiranya Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa hanya Mahkamah Khas yang mempunyai bidang kuasa maka kes tersebut perlu dibawa ke Mahkamah Khas untuk diputuskan dan semua prosiding yang dijalankan di Mahkamah Tinggi adalah tidak sah.
Sementara itu, Steven meminta mahkamah menolak permohonan penangguhan tersebut dan membenarkan prosiding komital di Mahkamah Tinggi diteruskan tanpa sebarang kelewatan.
Beliau berkata prinsip undang-undang sedia ada menetapkan bahawa prosiding penghinaan terhadap mahkamah, sebaik sahaja dimulakan, perlu diberi keutamaan berbanding prosiding lain dan keenam-enam individu sepatutnya memohon supaya rayuan mereka didengar dengan segera.
Peguam itu juga berhujah bahawa para pemohon menunjukkan sikap tidak menghormati mahkamah serta bertindak mengganggu pentadbiran keadilan, dan mereka tidak seharusnya diberikan sebarang remedi di bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman.
Pertikaian undang-undang itu bermula pada 5 Mei lepas apabila Mubarak dan lima lagi memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan salinan minit mesyuarat khas DKU yang diadakan pada 17 April lepas.
Antara kandungan minit mesyuarat itu ialah keputusan untuk melucutkan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.
Pada 5 Jun lepas, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi ad interim bagi mengekalkan status quo, khususnya komposisi DKU dan kedudukan Raja Norazli sebagai Setiausahanya, sementara menunggu keputusan mahkamah mengenai isu bidang kuasa serta sama ada pertikaian itu boleh diadili, dan sehingga perintah selanjutnya dikeluarkan.
Bagaimanapun, Raja Norazli mendakwa laporan media pada hari yang sama menunjukkan plaintif, khususnya Maarof, terlibat dalam proses pelantikan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mengikut Perkara 11 Perlembagaan Negeri Sembilan 1959 walaupun perintah injunksi itu masih berkuat kuasa.
Beliau mendakwa tindakan itu dibuat dengan mengetepikan perintah mahkamah.
Susulan dakwaan pelanggaran itu, Raja Norazli dan DKU memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap keenam-enam individu berkenaan atas dakwaan menghina mahkamah.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/54cc8e8167daf8913b4f1aa9d622d9ce.jpg)
