Pemuda DAP (DAPSY) mahu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem kemasukan universiti awam bagi memastikan proses berkenaan berteraskan prinsip keadilan, ketelusan serta meritokrasi.

Ketuanya, Woo Kah Leong membuat gesaan berkenaan susulan pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir mengenai penawaran penajaan penuh kepada 27 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk melanjutkan pengajian di universiti awam.

Woo berkata, pelajar di seluruh negara mengharapkan sebuah sistem kemasukan yang adil dan telus, bukannya program penajaan yang hanya memberi manfaat kepada 27 pelajar sahaja.

"Jika KPT terus teragak-agak untuk melaksanakan reformasi berani dan komprehensif terhadap sistem kemasukan universiti, krisis penghijrahan pakar (brain drain) serta ketidaksamaan akses kepada pendidikan tinggi akan terus berlarutan untuk tempoh 10, 20 atau 50 tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, kepatuhan kepada prinsip keadilan dalam kemasukan universiti amat penting kerana kegagalan melaksanakannya menunjukkan kerajaan tidak menghargai bakat, merit dan pencapaian akademik, sekali gus merugikan masa depan negara.

Sehubungan itu, Pemuda DAP mendesak KPT mengambil langkah pertama dengan menerbitkan data lengkap mengenai prestasi akademik serta standard kemasukan pelajar ke semua universiti awam bagi membolehkan proses pemilihan disemak oleh orang ramai secara terbuka.

“KPT sepatutnya menerbitkan data lengkap mengenai pencapaian akademik dan standard kemasukan berkaitan bagi pelajar yang diterima masuk ke semua universiti awam.

“Langkah ini membolehkan keseluruhan proses pemelihan diteliti dan dipertanggungjawabkan secara telus oleh orang ramai, berbanding bergantung kepada penjelasan rasmi sepihak setiap tahun sekadar untuk meredakan keresahan pelajar dan ibu bapa selepas keputusan kemasukan diumumkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Woo turut mengkritik sikap kepimpinan kementerian yang disifatkan lambat bertindak serta kurang berpandangan jauh berhubung isu pendidikan tinggi negara.

Dia merujuk kepada pendirian Zambry berhubung Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) awal tahun ini, yang pada mulanya mempertahankan akta berkenaan sebelum mengubah pendirian selepas perdana menteri secara terbuka menyatakan AUKU perlu dimansuhkan.

Zambry Abd Kadir UM 270826

“Malaysia amat memerlukan sistem pendidikan tinggi berkaliber taraf dunia, bukannya KPT yang sentiasa ketinggalan di belakang dan kekurangan pemikiran berpandangan ke hadapan.

"DAPSY menegaskan bahawa KPT sepatutnya menjadi peneraju dalam barisan hadapan pendidikan tinggi dengan merangka hala tuju jelas bagi universiti dan institusi pendidikan tinggi berhubung dasar-dasar utama," katanya.

Menurutnya, reformasi komprehensif terhadap sistem kemasukan universiti awam merupakan satu-satunya cara untuk mengembalikan harapan generasi muda terhadap masa depan yang lebih adil dan cemerlang di negara ini.