"Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) dan geran yang diberikan benar-benar membantu  memajukan perniagaan kami yang baru bertapak." 

Demikian reaksi beberapa veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyertai PUVET ATM dan menerima geran sokongan itu untuk memajukan perniagaan masing-masing. 

Dengan kos barangan yang semakin meningkat ketika ini, mereka sukar memperoleh modal untuk membeli peralatan yang diperlukan bagi menjalankan perniagaan.

Dengan geran dibawah inisiatif Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) sebanyak RM5,000, ia melancarkan urusan pembelian peralatan yang diperlukan selain meningkatkan kualiti barangan jualan. 

Beberapa usahawan veteran ATM yang ditemui memberitahu, geran berkenaan sekali gus dapat meningkatkan produktiviti selain menjimatkan masa untuk menghasilkan barangan jualan. 

Mereka ditemui pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) di sini hari ini.

ADLY zahari (dua dari kanan) melihat barangan jualan pada Progran Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET) di Alor Gajah, Melaka.

Pada majlis itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menyampaikan geran sebanyak RM220,000 kepada 44 usahawan veteran ATM yang terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan.

Selain itu, setiap usahawan terbabit juga menerima geran SPKLB bernilai RM5,000

Yuseirini Ahmad

Seorang usahawan veteran ATM, Yuseirinie Ahmad, 47, yang terlibat dalam perniagaan percetakan berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) di atas inisiatif seumpama ini yang membantu veteran sepertinya.

Yuseirini yang menamatkan perkhidmatan sebagai Staf Sarjan di Kem Mahkota, Kluang, Johor pada 2 Mei 2018 berkata, perniagaannya merosot teruk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021. 

Berbekalkan ilmu dan pengalaman semasa mengikuti Latihan Peralihan di PERHEBAT, dan kini dengan suntikan inisiatif PUVET ATM beliau nekad untuk terus gigih dalam memajukan perniagaannya.

Dengan geran yang diterima, dia mampu membeli beberapa peralatan dan alat cetak yang lebih canggih bagi menghasilkan percetakan yang lebih berkualiti. 

"Saya lebih yakin untuk meningkatkan pengeluaran jualan seperti bunting, sepanduk, kad perniagaan dan mug menerusi mesin baharu yang dibeli daripada geran SPKLB.

‘Ia akan meningkatkan hasil pengeluaran sekali gus jumlah pendapatan turut meningkat sebanyak 20 peratus. 

"Sebelum menerima geran ini, saya terpaksa menyelesaikan tempahan sehingga enam jam sehari tetapi kini boleh diselesaikan tidak sampai empat jam," ujarnya. 

Ariff Setiawan Janny

Begitu juga dengan seorang usahawan veteran ATM, Ariff Setiawan Janny, 37, yang terlibat dengan perniagaan bengkel motosikal sejak empat tahun lalu. 

Dia yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Koperal di Kem Terendak, Melaka pada 2020 berkata, geran yang diterimanya dapat memenuhi impiannya untuk menaik taraf bengkel selain mendapatkan beberapa peralatan membaiki motosikal yang diperlukan. 

Antara yang diperlukan ialah peralatan kimpalan yang sebelum ini terpaksa dilakukan di premis lain.

"Sebelum ini saya terpaksa bergantung dengan bengkel lain untuk kerja-kerja kimpalan tetapi kini tidak lagi. 

"Malah pelanggan saya kini semakin ramai mendapatkan perkhidmatan di bengkel saya yang kini semakin lengkap peralatannya," jelasnya. 

Ariff Setiawan tidak menafikan peralatan membaiki motosikal kini semakin mahal dan dengan geran itu dapat mengurangkan bebannya untuk mendapatkan modal. 

Irnita Sait

Sementara itu, seorang lagi usahawan veteran ATM yang menerima manfaat daripada geran SPKLB berkenaan ialah Irnita Sait, 43, yang melibatkan diri dalam perniagaan makanan sejuk beku.

Memiliki premisnya di Sungai Udang, Melaka, ibu kepada tiga anak itu bersyukur menerima geran sokongan berkenaan yang banyak membantu mengembangkan perniagaan yang diusahakannya sejak setahun lalu. 

"Geran ini memberi impak positif kepada perniagaan saya contohnya sebelum menerima geran ini saya hanya menghasilkan 200 biji kuih sejuk beku. 

"Namun selepas menerima geran ini saya dapat membeli ketuhar dan mesin yang lebih besar sekali gus dapat menghasilkan lebih dua kali ganda kuih sejuk beku," katanya. 

Irnita yakin masa depan perniagaan makanan sejuk bekunya akan berkembang maju apabila mampu memenuhi permintaan pelanggan dalam kuantiti yang semakin banyak. 

Dasar Madani, menerusi tonggak ‘kesejahteraan dan insan’, menggariskan peranan Kementerian Pertahanan, ATM bersama PERHEBAT untuk membangunkan satu ekosistem yang menyediakan bakal pesara dan veteran dengan latihan, pendedahan dan kemudahan untuk meningkatkan sosioekonomi mereka. 

Bertepatan dengan agenda itu, Kementerian Pertahanan melalui PERHEBAT melaksanakan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) yang memfokuskan kepada pemerkasaan veteran dalam kerjaya kedua khususnya usahawan veteran dalam kelompok B40 untuk meningkatkan taraf hidup mereka. 

PUVET ATM berperanan sebagai Pemudahcara dan Penghubung untuk mengenalpasti dan menyalurkan insentif keusahawanan yang merangkumi khidmat kepakaran, fasiliti, geran dan latihan yang diperlukan oleh Usahawan Veteran ATM untuk memajukan perniagaan mereka.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com atau advertise@fgmedia.my.