Sekali lagi tahun 2024 berlalu, memberi laluan kepada tahun baru 2025 yang bakal membawa sinar harapan baru.   

Selangor merupakan negeri yang paling maju dari segi ekonomi di Malaysia, tetapi adakah anda tahu apakah pencapaian yang telah dicapai oleh Dewan Negeri Selangor (DNS)  sepanjang tahun 2024 yang lalu? 

Marilah kita mengimbas semula pencapaian Dewan Negeri Selangor pada tahun 2024. 

Memperkasa peranan Ahli Dewan Negeri (ADN) Wanita 

Pada masa kini, Selangor mempunyai sembilan ADN wanita, dengan lima wakil daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), dua wakil daripada Parti Amanah Negara (Amanah), manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masing-masing mempunyai seorang wakil. 

Berbanding dengan 12 ADN wanita pada tahun 2018, jumlah ini telah menurun dengan ketara pada tahun 2023. Namun begitu, YB Lau Weng San mengambil langkah proaktif untuk memperkasa peranan ADN wanita dengan melantik lebih ramai ADN wanita untuk mengetuai Jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas DNS, serta memastikan setiap ADN wanita menjadi ahli dalam sekurang-kurangnya dua Jawatankuasa Pilihan. 

Hasilnya kesemua ADN wanita semakin menyerlah dengan keberanian dan keaktifan mereka dalam bersuara demi keadilan serta menyangkal kenyataan ekstrem di Dewan Negeri Selangor, kejayaan ini adalah hasil perancangan strategik yang memberi peranan yang lebih besar kepada ADN Wanita. 

Menambah masa berucap Ahli Dewan Negeri  

YB Lau Weng San yang dahulunya merupakan seorang ADN yang aktif dalam perbahasan, beliau memahami bahawa masa berucap adalah sangat penting bagi setiap ADN. Untuk memastikan setiap ADN mempunyai masa yang mencukupi untuk berbahas, Tuan Speaker telah mengambil pendekatan secara berperingkat untuk menambah masa berucap bagi setiap ADN. 

Sehingga sidang Dewan yang lepas, YB Lau Weng San telah membenarkan setiap ADN berbahas selama 15 minit sama ada dari blok kerajaan mahupun pembangkang. Tambahan masa ini telah melebihi 200% berbanding tempoh masa berucap yang hanya lima minit pada tahun sebelumnya. 

Walau bagaimanapun, ketua pembangkang dan pengerusi kelab penyokong kerajaan (backbenchers) tetap diberi tempoh masa berucap yang lebih panjang berbanding ADN lain, sejajar dengan peranan dan tanggungjawab mereka yang lebih besar. 

Tafsiran Enakmen Anti Lompat Parti 

YB Lau Weng San pernah menyatakan ketika baru dilantik sebagai Speaker bahawa dengan penguatkuasaan Enakmen Anti Lompat Parti yang diluluskan pada penggal lepas, beliau sebagai Speaker akan memikul tanggungjawab yang amat besar.  

Jikalau berlaku kes lompat parti, Speaker harus membuat keputusan sama ada mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut berdasarkan tafsiran undang-undang. 

Seperti yang dijangkakan, tidak sampai setahun menyandang jawatan ini, YB Lau Weng San telah menerima permintaan daripada Perikatan Nasional untuk mengosongkan kerusi Ahli Dewan Negeri kawasan Selat Klang.  

Selepas proses siasatan yang teliti, YB Lau Weng San memutuskan bahawa tindakan Ahli Dewan Negeri kawasan Selat Klang, YB Datuk Abdul Rashid Asari yang menyokong YAB Dato’ Menteri Besar berlaku SEBELUM pindaan perlembagaan Parti Bersatu diluluskan secara rasmi. 

  

Selain itu, Tuan Speaker juga mendapati bahawa Parti BERSATU sengaja mengelak daripada menggunakan istilah 'dipecat' dalam menangani isu ini.  

Biarpun Parti BERSATU secara rasmi mengumumkan bahawa keahlian YB Datuk Abdul Rashid Asari telah “ditamatkan”  tetapi secara realitinya beliau sebenarnya telah dipecat. Inilah yang disebut sebagai "pemecatan konstruktif" dan ianya tidak mengizinkan kerusi Selat Klang dikosongkan. 

Perlu juga disebutkan bahawa keputusan YB Lau Weng San ini berbeza dengan keputusan dan pendekatan yang diambil oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, menjadikan satu rujukan penting dalam kalangan pengamal undang-undang dan akademik. 

Pendengaran Awam SELCAT 

Dahulu, kita sering memperlekeh beberapa negara yang parlimennya sekadar berfungsi sekadar "rubber-stamp," iaitu parlimen yang tidak mempunyai kuasa yang menyemak dan mengimbang kuasa eksekutif.  

Namun, Dewan Negeri Selangor telah berjaya mengubah nasibnya sejak tahun 2008 dengan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) yang terkenal di seluruh Malaysia kerana berkuasa mengadakan pendengaran awam dan memanggil pegawai-pegawai kerajaan untuk memberi penjelasan mengenai apa-apa perkara pentadbiran kerajaan. 

Di bawah YB Lau Weng San, SELCAT masih beroperasi sehingga kini, dan pada tahun 2024, jawatankuasa ini telah mengadakan pendengaran awam mengenai Skim Insurans Am Selangor (INSAN) yang mendapat sambutan positif yang meluas daripada rakyat. 

Selain SELCAT, Dewan Negeri Selangor juga telah menubuhkan sembilan lagi jawatankuasa Pilihan dan Pilihan Khas. SELCAT adalah salah satu daripada enam jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk menyiasat dan memantau pentadbiran kerajaan negeri serta merupakan satu-satunya jawatankuasa pilihan khas yang mempunyai kuasa untuk mengadakan pendengaran awam. 

Hubungan Antarabangsa  

Dewan Negeri Selangor semakin menjadi tumpuan antarabangsa. Speaker YB Lau Weng San memanfaatkan kelebihan kerajaan perpaduan untuk berusaha membina hubungan dan kerjasama dengan Parlimen serta Dewan Negeri di negeri-negeri lain.  

Memandangkan Dewan Negeri Selangor merupakan pelopor dalam reformasi demokrasi parlimen di Malaysia, banyak Dewan Negeri dan parlimen dari negeri-negeri serta negara luar telah mengunjungi Dewan Negeri Selangor sepanjang tahun lalu untuk bertukar-tukar pandangan dan belajar bersama. Boleh dikatakan, jumlah delegasi yang diterima oleh Dewan Negeri Selangor sepanjang tahun lalu hampir mengatasi jumlah lawatan yang diterima dalam sepuluh tahun kebelakangan ini. 

Berhubung perkara ini, Speaker YB Lau Weng San berpendapat bahawa Dewan Negeri Selangor dan ahli-ahli Dewan Negeri perlu memanfaatkan peluang ini untuk menjalin hubungan dengan negara-negara sahabat yang mengamalkan prinsip demokrasi  serta mempelajari perkembangan terkini dalam amalan demokrasi parlimen di luar negara. Ini akan membolehkan Dewan Negeri Selangor menjadi sebuah institusi legislatif yang benar-benar bertaraf dunia. 

Memberdaya Wanita, Belia dan Pelajar-pelajar Sekolah 

Dewan Negeri Selangor telah berjaya diadakan semula Program ADN Muda pada tahun 2024. Dengan penubuhan kerajaan perpaduan, Dewan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor telah bekerjasama untuk menganjurkan Pertandingan Debat Ala Parlimen di Sekolah Menengah (Program Debat Darul Ehsan), yang merupakan kali pertama Dewan Negeri Selangor melibatkan diri dalam aktiviti di sekolah-sekolah. 

Selain itu, Dewan Negeri Selangor juga telah bekerjasama dengan Exco Pembangunan Wanita, Y.B. Puan Anfaal binti Saari untuk menganjurkan Sidang Parlimen Wanita Kedua (SIWANIS). Ini adalah kali pertama acara tersebut diadakan di Dewan Negeri Selangor.

Sasaran 2025 

Dalam tahun yang akan datang, YB Lau Weng San berharap Parlimen Malaysia untuk meluluskan RUU Perkhidmatan Parlimen dan sekaligus membuka jalan kepada Dewan Negeri Selangor untuk meluluskan RUU Perkhidmatan Dewan Negeri (SELESA) yang telah lama tertangguh sejak tahun 2010. Ini adalah bagi mengembalikan keutuhan dan kemandirian Dewan.  

YB Lau Weng San akan terus berbincang dengan semua pemegang taru dengan harapan agar RUU ini dapat dibentangkan dan diluluskan secepat mungkin. 

YB Lau Weng San juga akan menerbitkan semula Jurnal Dewan Negeri Selangor iaitu DEWAN. DEWAN pernah diterbitkan semasa Dato’ Teng Chang Khim memegang jawatan Tuan Speaker pada tahun 2010 tetapi tidak diterbitkan selepas 2013. 

Pada masa yang sama YB Lau Weng San juga akan menerbitkan lebih banyak bahan bercetak dalam pelbagai bahasa untuk memperkenalkan sejarah, fungsi, dan peranan Dewan Negeri Selangor kepada para pengunjung dari dalam dan luar negara. 

Penutup 

YB Lau Weng San telah dipilih sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor pada 19 September 2023 pada usia 45 tahun dengan penampilan sederhana sementara beliau menghadapi sidang Dewan Negeri Selangor yang lebih rancak dengan jumlah ADN pembangkang yang teramai dalam sejarah Dewan Negeri Selangor. 

Dengan pengalaman sebagai wakil rakyat selama tiga penggal dan tanpa terikat dengan sebarang kawasan pilihan raya, beliau menyandang harapan mengunung tinggi sebagai Tuan Speaker untuk mengendalikan pelbagai urusan Dewan Negeri Selangor dengan tekun dan bijaksana.  

Sememangya beliau tiada sebarang tempoh bulan madu, dan tempoh percubaan, YB Lau Weng San hanya mempunyai satu fokus utama iaitu memimpin Dewan Negeri Selangor ke arah kecemerlangan, meneruskan legasi pencapaian Speaker-speaker terdahulu serta memastikan Dewan Negeri Selangor terus dikenali sebagai sebuah badan legislatif yang unggul dan berkualiti. 

Di samping itu, saya berharap rakyat akan terus memberi perhatian terhadap perkembangan dan aktiviti Dewan Negeri Selangor. Sememangnya Dewan Negeri Selangor ialah Dewan untuk rakyat. Ahlinya adalah dari kalangan rakyat, dipilih rakyat dan isu yang dibahaskan juga adalah isu rakyat jelata.


Kandungan ini disediakan oleh Pejabat Speaker YB Lau Weng San Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Berminat untuk menyiarkan pengumuman anda di Malaysiakini? Hubungi kami di membership@malaysiakini.com atau WhatsApp di talian +60 17-323 0707 untuk sebarang pertanyaan.