Transformasi strategik TVET Malaysia menyemarakkan pembangunan tenaga kerja mahir
WAWANCARA | Malaysia kini memperkukuh pembangunan tenaga kerja mahir melalui pelaksanaan Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) Perdana dan UP_TVET Flexi, dua platform baharu yang memudahkan pengambilan pelajar ke program TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) untuk perancangan tenaga kerja negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Pengurusan) Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali, menegaskan pelaksanaan UP_TVET Perdana dan UP_TVET Flexi bukan sekadar memudahkan pelajar membuat permohonan ke institusi latihan kerajaan dan swasta, malah menjadi pintu masuk kepada ekosistem TVET yang lebih tersusun dan berorientasikan keperluan industri.
Menurut beliau, TVET bukan sekadar laluan pembelajaran berasaskan kemahiran praktikal atau hands-on, sebaliknya merangkumi gabungan teori dan latihan praktikal yang berpaksikan standard pekerjaan sebenar.
“TVET menjurus kepada pembangunan kemahiran yang memenuhi keperluan industri, selaras dengan National Occupational Skill Standard (NOSS) yang kini merangkumi lebih 2,000 standard pekerjaan di Malaysia.
“Komponen hands-on atau amali hanyalah salah satu elemen dalam TVET kerana pelajar masih perlu mempelajari asas teori secara menyeluruh.
“Kod Amalan Untuk Pentauliahan Program TVET (COPTPA) menggariskan beberapa pecahan, antaranya bagi peringkat sijil, komponen latihan amali adalah 70 peratus manakala teori 30 peratus.
“Bagi peringkat diploma dan diploma lanjutan, latihan amali merangkumi 60 peratus dan teori 40 peratus. Sementara itu, bagi jurusan sarjana muda, kedua-duanya seimbang iaitu 50 peratus latihan amali dan 50 peratus teori,” katanya.
Menurut Kamaruzaman, kadar kebolehkerjaan graduan TVET kekal tinggi sekali gus membuktikan graduan aliran itu tidak berdepan masalah untuk mendapatkan pekerjaan sejurus tamat latihan.
Justeru, beliau menegaskan TVET tidak lagi wajar dilihat sebagai laluan alternatif, sebaliknya perlu diangkat sebagai pilihan strategik dalam pembangunan modal insan negara.
“Pada masa ini, kadar kebolehkerjaan graduan TVET memang tinggi, sekitar 95 hingga 97 peratus.

“Ini menunjukkan graduan TVET tidak menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan, berdasarkan data yang dicerap setiap tahun oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), institusi TVET serta agensi berkaitan.
“Dua tahun lalu mungkin kita sebut TVET sebagai laluan alternatif, tetapi kini pendekatan itu berubah. TVET perlu dilihat sebagai laluan strategik, satu pilihan berdaya saing untuk masa depan,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian tersebut bagaimanapun tidak hanya dinilai berdasarkan kadar kebolehkerjaan semata-mata.
Sebaliknya menurut Kamaruzaman, ia turut mengambil kira aspek bekerja dalam bidang yang dipelajari serta tempoh masa untuk diserap ke pasaran kerja.
“Kerajaan kini memberi penekanan kepada tiga indikator utama dalam menilai kejayaan TVET, iaitu kadar kebolehkerjaan, graduan yang bekerja dalam bidang pengajian serta graduan yang mendapat pekerjaan serta-merta atau zero month selepas tamat latihan.
“Bukan sekadar dapat kerja, tetapi bekerja dalam bidang yang dipelajari juga penting. Ada kes seseorang belajar dalam bidang kejuruteraan, tetapi bekerja dalam sektor yang tidak berkaitan.
“Dari sudut data, dia bekerja, tetapi dari segi kualiti kebolehkerjaan, itu perlu dilihat dengan lebih mendalam,” katanya.
Menurut beliau, pengalaman ketika di Jabatan Tenaga Manusia (JTM) sebelum ini menunjukkan faktor zero month atau serapan segera selepas tamat latihan menjadi satu petunjuk penting keberkesanan latihan TVET.
Katanya, apabila graduan terus diserap bekerja sebaik tamat latihan, ia menunjukkan latihan yang diterima benar-benar sepadan dengan keperluan industri.
Tambahnya, kejayaan tersebut banyak dipacu oleh penglibatan industri yang kukuh melalui latihan industri, perkongsian kepakaran serta program institusi angkat industri, sekali gus mewujudkan kepercayaan antara institusi latihan dan pihak industri sejak peringkat awal.

“Apabila kolaborasi dengan industri sudah terjalin lebih awal, barulah kita boleh melatih pelajar mengikut keperluan sebenar industri.
“Hasilnya, graduan bukan sahaja bekerja dalam bidang, malah menerima gaji yang setimpal,” katanya.
Untuk rekod, platform penyelarasan kemasukan TVET nasional iaitu UP_TVET, yang dilancarkan secara rasmi pada 20 Mei tahun lalu oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terus menunjukkan perkembangan positif dengan peningkatan ketara permohonan dalam tempoh dua tahun pelaksanaannya.
UP_TVET, yang menghimpunkan institusi TVET di bawah semua kementerian serta penyedia swasta melalui satu pintu permohonan, mula beroperasi dengan kategori UP_TVET Perdana, sebelum diperkukuh dengan penambahan kategori UP_TVET Flexi pada Januari 2025.
Analisis trend kemasukan UP_TVET Perdana dilaksanakan secara berkelompok mengikut dua kitaran ambilan utama, iaitu ambilan Januari dan ambilan Julai.
Perbandingan merentasi kedua-dua kelompok itu dibuat berdasarkan beberapa indikator utama, seperti jumlah permohonan yang diterima, jumlah pemohon individu unik, kapasiti ambilan atau jumlah tempat yang disediakan, serta bilangan institusi yang terbabit dalam setiap kitaran.
Tempoh rayuan ambilan Januari 2026 (1 Dis 2025 hingga 13 Jan 2026) dijangka terus meningkatkan jumlah permohonan, kerana turut membenarkan pemohon baharu memohon.
Menurut Kamaruzaman, pelaksanaan sistem UP_TVET bersepadu dengan data raya terbukti memberi impak positif berbanding sistem lama yang bersifat berpecah-pecah, sekali gus mengurangkan kekeliruan dalam kalangan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian dalam bidang TVET.
Menurut beliau, sistem baharu ini mula dilaksanakan menerusi pengambilan pertama pada Januari 2024, diikuti pengambilan kedua pada tahun sama, sebelum diteruskan dengan pengambilan Januari 2025 dan sesi kedua 2025, menjadikan empat pengambilan keseluruhan setakat ini.
Perlaksanaan kelima iaitu permohonan bagi pengambilan Januari 2026 telah ditutup pada 16 November 2025, namun ketika ini tempoh permohonan rayuan masih dibuka sehingga 13 Januari 2026.
“Hasil pelaksanaan ini, kita dapat melihat trend peningkatan yang konsisten setiap tahun. Tahap kesedaran dan akses maklumat semakin baik, apabila pelajar boleh terus klik dan melihat bidang yang ditawarkan.
“Sebab itu permintaan meningkat dengan ketara, iaitu lebih 170 peratus daripada pengambilan pertama hingga kini.
“Melalui UP_TVET, pelajar kini tidak lagi perlu berdepan sistem permohonan berasingan kerana semua program TVET ditawarkan secara sehenti merangkumi 12 kementerian yang menyediakan latihan TVET.
“Dahulu pelajar keliru kerana sistem berpecah-pecah. Sekarang, semuanya jelas. Pelajar boleh lihat bidang pengajian, lokasi institusi serta tempoh pengajian dengan lebih mudah,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/12/6d7ea56e92ee220008a1bba9ab4b85f7.png)
