Data Raya TVET jadi kompas strategik pembangunan tenaga kerja negara
WAWANCARA | Di era pembuatan keputusan berasaskan data (data-driven decision making), Data Raya TVET menjadi tonggak baharu dalam membangunkan tenaga kerja mahir negara.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Pengurusan) Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali, Data Raya TVET berperanan sebagai sistem bersepadu yang memaparkan perancangan tenaga kerja dari sudut permintaan (demand) dan penawaran (supply) berkaitan kursus, sekali gus membantu penyelarasan pembangunan bakat negara secara lebih tersusun.
Beliau berkata, melalui data yang dikumpul dan dianalisis, kerajaan, institusi latihan serta pihak industri dapat membuat keputusan berasaskan maklumat sebenar, sekali gus mengelakkan situasi lebihan atau kekurangan graduan dalam bidang tertentu.
“Data Raya ini baharu. Tahun ini kita laksanakan. Kita tambah baik daripada sistem MySpike supaya jadikan satu Data Raya TVET yang menyeluruh.
“Insya-Allah tahun hadapan, Data Raya TVET akan diletakkan di bawah Jawatankuasa Interim Data Raya TVET di bawah seliaan terus Majlis TVET Negara (MTVET). Di situ kita akan buat analisis berdasarkan data.
“Sekarang ni zaman everything is data driven. Jadi di peringkat pembuat keputusan, kita tidak boleh hanya dengar persepsi. Kita kena buat keputusan berdasarkan data yang ada.
“Ini akan bantu kerajaan dari segi kecekapan, penjimatan kos, dan memudahkan pelaksanaan program TVET,” katanya.
Menurut Kamaruzaman, Data Raya TVET yang diperkenalkan tahun ini merupakan peningkatan daripada sistem MySPIKE sedia ada, bertujuan untuk menjadikan seluruh sistem TVET lebih tersusun dan berorientasikan industri.

Beliau berkata, ia dilihat akan dapat membantu pengumpulan data berkaitan permintaan atau demand daripada pihak industri bagi merancang unjuran pekerjaan atau memberi perhatian kepada bidang yang kritikal.
Tambahnya, Data Raya TVET juga menjadi alat untuk mengubah stigma bahawa TVET adalah laluan kedua.
“Dahulu orang kata kalau tidak pandai belajar, masuk TVET. Itu persepsi lama. Stigma ini wujud kerana tiada maklumat. TVET bukan pilihan kedua. Ia laluan strategik untuk kejayaan masa depan.
“Sekarang, dengan maklumat dari UP_TVET dan Data Raya TVET, kita boleh membimbing pelajar, ibu bapa, guru, kaunselor, dan industri dalam membuat keputusan pendidikan dan latihan.
“Apabila menatal Data Raya TVET di portal TVET Madani, kita boleh lihat senarai institusi, program yang ditawarkan, lokasi, tempoh pengajian. Sebelum ini, orang tidak tahu. Sekarang, pelajar boleh pilih berdasarkan maklumat yang sahih,” katanya.
Beliau menegaskan lagi, kepentingan maklumat kepada semua pihak, namun menyeru calon pelajar untuk membuat pilihan dengan teliti.
“Untuk pelajar, ibu bapa, guru, kaunselor, dan industri, maklumat ini penting supaya semua pihak boleh rancang dengan bijak.
“Jangan ikut crowd atau hype. Dengan Data Raya TVET, kita boleh rancang masa depan dengan pemikiran strategik,” katanya.

Cabaran serta kerjasama sektor awam dan swasta
Kamaruzaman berkata, cabaran utama pelaksanaan Data Raya TVET adalah penyelarasan data merentasi 12 kementerian dan institusi.
Justeru, beliau menekankan kepentingan sinergi dengan sektor swasta.
“Setiap kementerian ada sistem sendiri. Nama kursus pun berbeza walaupun subjek sama. Kita kena selaraskan supaya majikan tidak keliru, dan pelajar ada akses adil. Itu satu cabaran.
“Swasta lebih dinamik. Mereka boleh perkenal kursus baharu dengan cepat, tetapi memerlukan pelaburan besar. Sementara itu, sektor kerajaan memikul tanggungjawab strategik dalam menyediakan kursus yang berintensifkan pelaburan tinggi, melibatkan penyediaan infrastruktur, peralatan dan kepakaran khusus yang memerlukan kos besar serta tempoh pulangan yang panjang. Sinergi awam-swasta penting untuk capai hasil optimum,” katanya.
Kamaruzaman menegaskan pembangunan bakat bukan usaha jangka pendek atau tanggungjawab satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan seluruh negara yang melibatkan kerajaan, institusi latihan, industri serta masyarakat.
Menurut beliau, pelaksanaan Data Raya TVET berperanan sebagai alat strategik untuk memastikan semua pihak bergerak seiring ke arah matlamat yang sama, sekali gus membolehkan perancangan tenaga kerja dibuat secara lebih tersusun dan berasaskan data.
“Seperti pepatah, it takes a country to raise one person. Pembangunan modal insan memerlukan ekosistem yang menyeluruh dan saling menyokong.
“Dengan data yang tepat dan menyeluruh, kita dapat membangunkan tenaga kerja mahir yang benar-benar memenuhi keperluan industri serta menyokong aspirasi Malaysia 2030,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/12/25ef44792507a1ebc8daaf37c912540c.png)
