Goodday KidSTART 3.0, program keusahawanan kanak-kanak terbesar di Malaysia, menutup tirainya dengan penuh gemilang apabila Pearl Liang Yee Herr, 12 tahun, dinobatkan sebagai juara menerusi episod akhir yang disiarkan di Astro. Memasuki tahun ketiga penganjurannya, program ini terus berevolusi sebagai siri televisyen berkonsep realiti, sekali gus memperkukuh misinya dalam membina keyakinan diri, kreativiti serta kemahiran penyelesaian masalah dunia sebenar dalam kalangan kanak-kanak Malaysia.
Mewakili SJK(C) Serdang Baru 1, Selangor, Pearl Liang membawa pulang hadiah utama bernilai RM20,000 hasil idea inovatifnya, “AI Unicorn”, satu penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk membantu pelajar mendapatkan saiz pakaian seragam sekolah yang paling sesuai. Idea ini tercetus daripada pengalaman peribadinya sendiri dan hasrat untuk membantu kanak-kanak lain yang menghadapi masalah sama berasa lebih yakin di sekolah. Persembahannya berjaya menarik perhatian barisan juri industri daripada Cradle Fund Sdn. Bhd. dan Asia School of Business (ASB), yang memuji kejelasan idea dan tahap keyakinan Pearl, serta potensi aplikasi dunia sebenar ideanya.
Tempat kedua dirangkul oleh Muhammad Nukman, 12 tahun, dari SK Sungai Ara, Pulau Pinang, yang memenangi RM10,000 dengan konsep mesra alam “Food Rescue Hub”. Idea ini menggabungkan penggunaan AI dan dron untuk mengumpul lebihan makanan bagi diproses menjadi baja organik. Nukman berkongsi bahawa penglibatannya dalam program ini membuka ruang kepada pengalaman baharu dan persahabatan di luar bilik darjah. Sementara itu, tempat ketiga menjadi milik Teo Kevan, 9 tahun, dari SJK(C) Kuen Cheng 2 menerusi “Furever”, satu konsep pengalaman interaksi haiwan peliharaan jangka pendek yang membolehkan kanak-kanak menikmati aktiviti bermain sambil mempelajari asas penjagaan haiwan tanpa komitmen jangka panjang.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2022, Goodday KidSTART memberi tumpuan kepada pembinaan literasi kewangan, kreativiti, kemahiran komunikasi dan pemikiran keusahawanan dalam kalangan kanak-kanak berusia 7 hingga 14 tahun. Dalam tempoh tiga tahun, program ini berkembang daripada cabaran idea berskala kecil kepada sebuah inisiatif nasional yang menggalakkan kanak-kanak mengenal pasti isu seharian dan mencipta penyelesaian yang relevan serta bermakna bagi dunia di sekeliling mereka.
Edisi tahun ini mencatat pencapaian paling memberangsangkan dengan lebih daripada 8,000 penyertaan, dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya dan jumlah tertinggi sejak program ini diperkenalkan. Peningkatan ketara ini mengukuhkan kedudukan Goodday KidSTART sebagai platform penting dalam melahirkan generasi inovator muda yang yakin, berempati dan peka terhadap keperluan masyarakat.
Bagi edisi ketiga, Goodday KidSTART 3.0 mencipta kelainan apabila diperkenalkan sebagai siri televisyen peringkat nasional, beralih daripada format pembentangan tertutup sebelum ini. Langkah ini memberi pendedahan lebih luas kepada para finalis serta membuka ruang untuk mereka menginspirasikan rakan sebaya di seluruh negara. Antara penambahbaikan utama tahun ini ialah:
Sebuah siri televisyen empat episod akan disiarkan di Astro Ria & Ceria.
Pusingan cabaran imersif, seperti simulasi perniagaan di KidZania Kuala Lumpur
Bimbingan mentor industri daripada Cradle, ASB dan usahawan berpengalaman
Pembentangan serta penilaian dunia sebenar bagi memperkukuh keyakinan, komunikasi dan pemikiran kritikal
Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn. Bhd. dan jurucakap Goodday Milk, berkata program ini mencerminkan komitmen jangka panjang jenama tersebut dalam membentuk generasi muda yang berkeyakinan dan berdaya saing.
“Pembangunan kanak-kanak bukan sekadar berkisar kepada pemakanan berkhasiat, tetapi juga tentang menyediakan persekitaran yang menggalakkan penerokaan idea dan kreativiti bagi menyerlahkan potensi diri. Setiap tahun, keberanian serta imaginasi para peserta menjadi pendorong utama kami untuk terus menyokong platform yang membantu dalam perkembangan mereka”

Amy turut menambah, “Evolusi Goodday KidSTART sebagai siri televisyen nasional bersama Astro merupakan langkah strategik untuk meluaskan capaian dan memperkukuh pengaruh program ini. Dengan membawa perjalanan peserta ke ruang tamu rakyat Malaysia, penonton dapat menyaksikan perkembangan mereka daripada peringkat idea hingga pembentangan akhir, sekali gus membuktikan bahawa inovasi boleh lahir daripada setiap kanak-kanak. Format yang diperkembangkan ini membolehkan kisah mereka dikongsikan dengan lebih meluas, menjadikan program ini satu platform yang membawa inspirasi ke seluruh negara.”
Program ini mendapat sokongan padu daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Puan Aniza binti Kamarulzaman, Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, menyuarakan sokongan beliau semasa rakaman episod terakhir. “Kementerian Pendidikan Malaysia cukup berbangga untuk menyokong inisatif yang membina kreativiti, kemahiran penyelesaian masalah serta komunikasi di kalangan pelajar. Inisiatif seperti Goodday KidSTART memberikan pengalaman praktikal yang bernilai dan melengkapkan pembelajaran formal di sekolah. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Etika Sdn. Bhd. dan Goodday Milk atas komitmen berterusan dalam membangunkan potensi generasi masa depan.
Perjalanan anak-anak muda ini penuh inspirasi, dan kami memuji pihak penganjur atas dedikasi serta impak yang mereka berikan” .
Tahun ini turut menandakan kerjasama sulung antara Goodday KidSTART dan Astro. Agnes Rozario, Ketua Pegawai Kandungan Astro berkata, “Kandungan berkualiti mampu membentuk minda yang ingin tahu. Kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan Goodday KidSTART dalam menyemai pembelajaran, kreativiti dan pemikiran keusahawanan dalam kalangan kanak-kanak, serta membantu menyerlahkan potensi mereka. Astro berbangga bekerjasama dengan Goodday KidSTART dan menyokong program ini untuk terus berkembang dan menjangkau penonton yang lebih luas serta pelbagai, sambil mencipta impak yang lebih besar kepada kanak-kanak di seluruh Malaysia.”
Sorotan Finalis: Keberanian, Ketabahan & Perkembangan
Juara program ini, Pearl Liang, mendedikasikan kemenangan ini kepada ibu bapanya, “Saya tak sangka saya akan menjadi juara Goodday KidSTART. Ia telah mengajar saya untuk berani, percaya pada idea sendiri dan tidak mudah berputus asa. Saya berniat untuk kembangkan idea perniagaan saya, tapi sebelum itu saya nak hadiahkan penghawa dingin baharu kepada ibu dan ayah kerana penghawa dingin lama kami sudah rosak. Kemenangan ini khas untuk ibu dan ayah.”
Daripada 20 finalis yang dipilih dari seluruh negara, lapan berjaya mara ke peringkat akhir. Selain sesi pembentangan, mereka turut melalui cabaran khas di KidZania Kuala Lumpur yang menguji kebolehan mereka menyelesaikan masalah dunia sebenar, kerja berpasukan dan pembuatan keputusan perniagaan yang praktikal. Pengalaman ini memberi gambaran lebih menyeluruh kepada juri dalam menilai potensi dan kebolehan setiap peserta untuk memilih inovator muda terbaik.
Selain tiga pemenang utama, bakat luar biasa turut diiktiraf melalui kategori anugerah berikut:
Penyampai Terbaik (Atas 10 Tahun): Cinta Zandra Alayna Paul, 12 (Selangor)
Penyampai Terbaik (10 Tahun dan ke Bawah): Chong Jo Ann, 9 (Kuala Lumpur)
Anugerah Bintang Harapan: Muhammad Arish Aidan bin Mohd Hamzy, 12 (Selangor)
Anugerah Impak Sosial Terbaik: Solomon Lim Tee Guan, 9 (Sarawak)
Anugerah Idea Paling Inovatif: Lau Wai Liang, 12 (Selangor)
Meneruskan kejayaan tahun lalu, Goodday Milk turut menganugerahkan Anugerah Penyertaan Tertinggi kepada SJK(C) Yuk Chai, yang meraih RM10,000 selepas merekodkan lebih daripada 600 penyertaan, jumlah tertinggi dalam kalangan semua sekolah pada tahun ini.
Pandangan Juri
Barisan juri daripada Cradle Fund Sdn. Bhd., Asia School of Business (ASB) dan Astro memainkan peranan penting sepanjang program ini dengan menilai idea berdasarkan aspek inovasi, kebolehlaksanaan, potensi impak, kesediaan komersial, penceritaan serta perkembangan peribadi peserta. Selain menjalankan penilaian, mereka turut bertindak sebagai mentor dan rakan pemikir, mendorong peserta memperhalusi konsep, memperkemas pembentangan serta berfikir dengan lebih strategik.
Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund Sdn. Bhd., berkongsi bahawa banyak idea yang diketengahkan menunjukkan potensi komersial sebenar yang melangkaui kreativiti di bilik darjah. Menurut beliau, aspek yang paling menonjol ialah keupayaan kanak-kanak ini menerima maklum balas dengan pantas, memperkemas idea serta menghuraikan masalah dunia sebenar dengan kejelasan dan keyakinan yang jauh melebihi usia mereka. Melalui bimbingan berterusan dan sokongan ekosistem Cradle, pemenang terpilih akan terus dibantu bagi memperhalusi, mengesahkan dan membawa idea mereka lebih hampir kepada implementasi di dunia sebenar.
Dari perspektif akademik, Dr Melati Nungsari, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Profesor Madya Asia School of Business (ASB), memuji pembentangan para peserta yang tersusun, strategik serta kematangan mereka dalam menerima maklum balas. Seiring dengan itu, pelakon dan hos televisyen, Datin Lisa Surihani Mohamed, turut memuji semangat dan gaya penceritaan para finalis sambil menyatakan bahawa format televisyen berjaya menampilkan keikhlasan, ketabahan dan kreativiti di sebalik setiap idea.
Menutup tirai program tahun ini, Goodday KidSTART sekali lagi membuktikan potensi luar biasa yang dapat dicapai apabila kanak-kanak diberi ruang untuk berimaginasi, mencipta dan mempercayai diri sendiri. Jenama susu ini kekal komited dalam memupuk generasi Malaysia yang yakin dan bersedia menghadapi masa depan, agar lebih ramai inovator muda dapat tampil ke hadapan pada tahun-tahun akan datang.

Episod finale Goodday KidSTART 3.0 akan disiarkan pada 12 Januari 2026, jam 9.00 malam di Astro Ria & Ceria. Untuk maklumat lanjut, sila layari: https://www.facebook.com/gooddaymilkmalaysia/
Kandungan ini disediakan oleh Ampersand Advisory
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]
