Ketika persefahaman dan kerjasama di antara Umno dan PAS – dua parti besar Melayu di negara ini – bagaikan tidak tertahankan lagi, Mohamad Hasan mencadangkan agar suatu ujian dilaksanakan sebagai langkah mengukur keikhlasan pihak yang satu lagi.

Cadangan itu dikemukakan Mohamad kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, semasa dia menggulung perbahasan pada hari terakhir persidangan agung tahunan parti tersebut di Kuala Lumpur petang ini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, selepas PRN Melaka, PAS boleh dicadangkan untuk membubarkan mana-mana DUN di negeri yang ditadbirnya bagi membolehkan satu lagi PRN berlangsung.

"Lepas Melaka esok, kita cuba (uji) pula sejauh mana keikhlasan kawan kita. Kita minta salah satu daripada negeri SG4 tersebut buat pilihan raya.

"Kau buat pilihan raya, aku nak tengok apa formula kau pakai, kan?

“(Misalnya) Buat di Terengganu, macam mana? Tunjuklah kalau ikhlas sama-sama,” katanya.

SG4 merujuk kepada empat negeri yang ditadbir PAS-PN iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Daripada empat negeri itu, Umno hanya ada wakil di DUN Kelantan, iaitu dua orang.

Memetik satu daripada dialog filem komedi Allahyarham P Ramlee, Mohamad menambah, di pihak Umno-BN, mereka sudah pun membuktikan keikhlasan untu bekerjasama dengan PAS di Johor dan Negeri Sembilan.

“Kalau nak ikut cerita P. Ramlee, (ikut formula) 'satu untuk kau, satu untuk aku', itu kita dah buat," katanya.

Parti lain dah talkinkan diri sendiri

Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Di Negeri Sembilan, kata Mohamad, terbukti kerjasama yang dibuat Umno dan PAS menyaksikan tiada masalah timbul apabila mereka berjaya menjadi kerajaan negeri dengan majoriti kukuh apabila melepasi tahap dua per tiga.

"Tapi kita nak test (uji) kejujuran. Kita nak tengok sejauh mana.

“Jangan kita saja terhegeh-hegeh ya. Jangan kita sahaja hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Kalau betul-betul ikhlas di atas nama penyatuan ummah Melayu, maka kita lihat macam mana formula yang nak diguna pakai," tambahnya.

Tambahnya, daripada PRN itu nanti bolehlah dilihat formula bagaimana sebenarnya yang boleh menyatupadukan orang Melayu bagi menghadapi PRU ke-16.

Mohamad turut menegaskan betapa tiada parti lain yang gembira jika Umno bangkit semula seperti suatu ketika dulu, sebaliknya menyifatkan mereka ingin melihat mereke dibenamkan atau ditalkinkan.

Justeru dia menyeru ahli dan penyokong Umno tidak bermimpi di siang hari.

Mohamad juga menyatakan ada parti lain yang ingin mematikan Umno namun akhirnya mereka ‘mentalkinkan’ diri sendiri selepas bergaduh sesama sendiri, manakala Umno masih wujud sehingga hari ini.

"Apa yang nak saya bagi tahu ialah jangan harap kepada ihsan orang, bina kekuatan sendiri.

“Jangan kita harapkan pertolongan orang, bantuan orang lain, dan parti lain. Binalah kekuatan dalaman kerana dengan membina kekuatan sendiri, kekuatan dalaman kita, kita akan dapat pastikan kekuatan itu dijadikan sebagai benteng untuk kita mengharungi apa jua yang akan kita hadapi," katanya.

Mohamad turut mengulangi penegasan bahawa, walaupun wujud rancangan kerjasama atas dasar persefahaman, biarlah ia sekadar persefahaman sahaja.

"Jangan kita terbawa-bawa sangat sampai kita lupa bahawa membina kekuatan sendiri itu adalah keutamaan kita," kata Mohamad lagi sambil menambah agar Umno berunding sebaiknya dalam menghadapi PRN Melaka.