Ahmad Zahid Hamidi hari ini tidak mengaku Perdana Menteri Anwar Ibrahim merupakan gurunya walaupun semalam melontarkan sindiran dengan meminjam skrip suara latar olokan media sosial yang tular "guru, hentikan guru".

Dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Tahunan (PAU) petang tadi, timbalan perdana menteri itu berkata, dia sebenarnya bukan saja tidak pernah belajar daripada Anwar, malah berasa ia tidak perlu.

Menceritakan PAU yang sudah berlangsung selama 41 tahun di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Ahmad Zahid berkata, lokasi itu menyaksikan pelbagai perkembangan Umno.

Antara lain, katanya, termasuk pengharaman Umno serta dan krisis kepimpinan besar pada 1998 yang menyaksikan Anwar disingkirkan dari parti dan kerajaan.

Untuk rekod ketika itu Anwar merupakan timbalan perdana menteri dan Timbalan Presiden Umno manakala Ahmad Zahid merupakan Ketua Pemuda Umno Malaysia.

“Sebenarnya saya tak pernah pun belajar dengan dia. Anak murid yang pandai tak perlu guru pun.

“Yang belajar dengan dia ialah isteri saya Kak Midah (Hamidah Khamis),” katanya disambut dengan sorakan perwakilan Umno yang memenuhi dewan persidangan petang tadi.

“Eh, suka hati dialah nak hormat cikgu dia ke tidak. Dulu hormat, sekarang terpulang kat dialah,” sambung Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.

Semalam dalam ucapan dasarnya Ahmad Zahid mengkritik tindakan kerajaan mengenai program subsidi petrol Budi95 yang disasarkan kerana berubah-ubah sehingga memberi kesan kepada orang ramai serta menimbulkan ketidakpastian malah kekeliruan.

"Bayangkan seorang bapa yang berpendapatan RM5,000, pastinya dia sedang bergelut untuk memenuhi komitmen bulanannya... bagaimana dia akan membayar sewa rumah, yuran pendidikan untuk anak-anaknya, kos perubatan, dan selain itu, dia juga perlu memikirkan tentang pengurangan kuota Budi.

"Tetapi apabila (kerajaan) takut (kehilangan sokongan rakyat), naik lagi (subsidi semula). Mungkin selepas itu tarik balik. Kemudian, apabila dekat pilihan raya, naik balik.

"Siapa yang buat ni Guru!" katanya.

Walaupun tidak menyebut nama Anwar, dipercayai Ahmad Zahid merujuk julukan hubungan guru-anak murid mereka yang sering digambarkan yang mendapat perhatian susulan dakwaan rakaman perbualan telefon yang bocor pada 2021.

Susulan itu Anwar kemudiannya memberikan reaksi bersahaja bagi membalas olokan tersebut dengnan memuat naik hantaran menyindir ketika tiba di India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Brics ke-18.

Dalam hantaran di media sosial, perdana menteri membahasakan dirinya sebagai “Guru”.

"Alhamdulillah guru selamat tiba di New Delhi, India untuk membawa nama negara di pentas dunia dalam Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Brics ke-18.

"Doakan misi diplomasi negara ini mencapai matlamatnya. Semoga anak didik dapat belajar dari guru cara diplomasi Madani diterjemahkan. Slayyy," katanya dalam hantaran di media sosial.

Sementara itu Ahmad Zahid turut menyoroti Dewan Merdeka yang menyaksikan kejatuhan kerajaan BN buat pertama kali pada 2018.

“Azam kita pada tahun 2026 atau 2027, insya-Allah dewan ini akan menyaksikan Umno berkuasa semula,” katanya.