Mah Sing Foundation (MSF) mengukuhkan kerjasama dengan Pusat Pembedahan Katarak MAIWP – Hospital Selayang melalui sumbangan lebih 400 lensa intraokular bernilai RM105,000 bagi menyokong pembedahan katarak untuk pesakit B40 di seluruh negara.
Katarak, iaitu keadaan kanta mata menjadi keruh, masih menjadi antara punca utama kebutaan yang boleh dicegah di seluruh dunia. Di Malaysia, kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan katarak yang tidak dirawat merupakan penyumbang utama masalah penglihatan dalam kalangan individu berusia 50 tahun ke atas. Namun begitu, golongan lebih muda juga tidak terkecuali akibat faktor seperti diabetes dan pendedahan berpanjangan kepada cahaya UV, yang boleh menjejaskan keupayaan mereka menjalani kehidupan harian.
Sejak ditubuhkan pada Disember 2012, Pusat Pembedahan Katarak MAIWP – Hospital Selayang telah memainkan peranan penting dengan melaksanakan lebih 35,000 pembedahan katarak, iaitu kira-kira 5% daripada jumlah keseluruhan pembedahan katarak di fasiliti Kementerian Kesihatan di seluruh negara.
Sebagai pusat pembedahan berkecekapan tinggi, ia mampu menjalankan antara 20 hingga 30 pembedahan setiap hari, sekaligus membantu mempercepatkan rawatan pesakit dan mengurangkan tempoh menunggu. Model ini turut membantu mengurangkan kesesakan di hospital serta memastikan pesakit menerima rawatan tepat pada masanya.
Selain itu, pusat ini juga berfungsi sebagai hab latihan dan penyelidikan, serta rujukan dalam pembangunan dasar dan standard penjagaan kesihatan negara. Keberkesanan model ini turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerbitkan kajian kes mengenainya sebagai contoh penyampaian rawatan mata berkualiti tinggi dengan kos yang berpatutan.

Pengerusi Mah Sing Foundation, Dato’ Syed Norulzaman bin Syed Kamarulzaman berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Yayasan dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat melalui aspek kesihatan.
“Akses kepada pembedahan katarak bukan sekadar rawatan, tetapi membuka peluang kepada pesakit untuk kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik — termasuk bekerja, menjaga keluarga dan menyumbang kepada masyarakat. Ini selaras dengan aspirasi kami untuk membawa perubahan yang bermakna dan berkekalan kepada komuniti yang memerlukan,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa Mah Sing Foundation sebelum ini aktif melaksanakan pelbagai inisiatif kesihatan seperti pemberian cermin mata percuma kepada pelajar, saringan kesihatan serta program bantuan makanan dan kesejahteraan.
Ahli Pemegang Amanah Mah Sing Foundation, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Haji Noor Hisham bin Abdullah berkata, program ini selari dengan keutamaan dalam sistem kesihatan negara.
“Kerjasama strategik seperti ini membolehkan akses kepada rawatan diperluaskan, khususnya kepada golongan yang kurang berkemampuan, di samping memperkukuh sistem kesihatan secara keseluruhan,” katanya.
Timbalan Pengarah Hospital Selayang (Perubatan II), Dr Mohd Fadzli bin Arifin turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan yang diberikan.
“Sejak penubuhan pusat ini, kami telah melaksanakan lebih 35,000 pembedahan. Inisiatif ini membantu mengurangkan kesesakan hospital serta memendekkan tempoh menunggu sehingga 50%.
“Pusat ini beroperasi sebagai kemudahan ‘one-stop centre’ di mana pesakit menerima rawatan lengkap termasuk konsultasi, pembedahan, ubat-ubatan dan penjagaan susulan di satu lokasi. Ini menjadikan pengalaman pesakit lebih selesa dan teratur,” jelas beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa lebih 90% pesakit tanpa komplikasi lain mencapai tahap penglihatan yang baik dalam tempoh tiga bulan selepas pembedahan, sekali gus membuktikan keberkesanan rawatan yang diberikan.
Lensa yang disumbangkan akan digunakan di pusat tersebut serta diagihkan ke hospital lain di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, bagi memastikan lebih ramai pesakit mendapat rawatan tanpa perlu menanggung kos dan perjalanan yang tinggi.
Majlis pemeteraian kerjasama ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan Mah Sing Foundation serta wakil Pusat Pembedahan Katarak MAIWP – Hospital Selayang.
Mengulas lanjut, Dato’ Syed berkata Mah Sing Foundation akan terus komited dalam melaksanakan program berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada komuniti B40, khususnya dalam meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan dan kesejahteraan hidup.
Kandungan ini disediakan oleh Mah Sing
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]
