Lafaz ikrar dan Aku Janji antirasuah yang dilakukan kesemua 56 calon parti Perikatan Nasional (PN) pada 3 Mac 2022 merupakan pegangan parti tersebut untuk berkomited dan serius dalam membentuk kerajaan Johor yang bersih, bebas rasuah dan berintegriti. Ini juga selaras dengan tunjang pertama PN iaitu “Kepimpinan berintegriti dan bebas rasuah”. 

Terdahulu di Majlis Ikrar dan Tandatangan Akujanji Integriti Calon Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PN mencipta sejarah sebagai parti pertama yang menandatangani ikrar menentang rasuah sejak pilihan raya negeri Melaka akhir tahun lalu. Menurutnya juga, rakyat Johor tidak seharusnya mengundi pemimpin yang didapati bersalah kerana rasuah. Banyak kemelut dan ketidakstabilan politik akan berlaku dalam negara apabila integriti tidak menjadi pegangan yang telah diamanahkan untuk memimpin negara.

Tambahnya, sekiranya PN diberi mandat untuk mentadbir, mereka akan memastikan amalan politik serta pentadbiran dilakukan dengan lebih bersih, berbanding parti-parti lain.

Menurut calon PN DUN Larkin, Zulklifi Bujang, 44 tahun, PN juga merupakan parti pertama yang berani membuktikan kepada bangsa Johor bahawa semua calon yang bertanding sedia untuk memikul tanggungjawab menjadi wakil rakyat yang amanah, jujur dan bebas rasuah. 

“Sebab itu kami bersedia untuk berikrar dan melafazkan aku janji kami untuk tidak mengambil rasuah, sebab kerajaan yang akan dibentuk nanti merupakan sebuah kerajaan yang berpegang kepada prinsip antirasuah dan membuktikan soal integriti kepada satu tahap yang lebih penting. Saya percaya itu yang akan kita lakukan jika diberi mandat untuk membentuk kerajaan negeri Johor” ujarnya.

Bekas wartawan Bernama itu juga mengatakan bahawa pengalaman sebagai wartawan, merupakan satu kelebihan baginya untuk menjadi wakil rakyat DUN Larkin. Pengalaman itu memudahkannya untuk memahami kehendak dan kesusahan rakyat serta beliau akan mencuba sedaya upaya untuk memberi solusi yang efektif untuk menyelesaikan masalah dengan secepat mungkin. 

“Sebagai calon, pengalaman itu sangat penting untuk melakukan kerja yang diamanahkan dan pengalaman sebagai wartawan sudah tentu sangat bermanfaat untuk saya. Sebagai wartawan, sudah tentu banyak hal-hal masyarakat yang kami utamakan kerana sifat empati kita terhadap rakyat, jadi kita bawakan perkara ini ke saluran media. Jadi sekiranya saya menjadi wakil rakyat sudah tentu saya akan menjadi wakil kepada mereka, bukan untuk menyampaikan maklumat tersebut kepada pihak media tetapi saya boleh membawanya ke peringkat atasan yang membuat dasar supaya dapat mengambil tindakan yang segera” katanya.

Rasuah merupakan perbuatan yang menyalahi undang-undang serta  punca utama ketidakstabilan politik yang secara tidak langsung menjejaskan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing dan perpecahan etnik di dalam sebuah negara. Oleh itu, rakyat Johor berhasrat untuk memilih kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah. 

Kepentingan pentadbiran yang bersih

Rohana Mustapha, 57, berpendapat bahawa sudah tiba masanya untuk rakyat menerima pentadbiran kerajaan yang setia dan bersih supaya tidak menyusahkan rakyat dan menjatuhkan imej negara. 

“Memang calon bebas rasuah amat penting kerana selama ini negara kita dipimpin oleh pemimpin yang mengamalkan rasuah yang menyebabkan negara haru-biru” katanya. 

Menurut Rohana, pelbagai bentuk rasuah telah diamalkan oleh pemimpin dan calon yang lepas seperti menyalurkan pelbagai jenis bantuan dan lafaz janji dengan mengharapkan undi daripada rakyat. Gimik politik tersebut mencerminkan pemimpin yang tidak berintegriti dan mengunakan rakyat samata-mata untuk menang. 

“Rakyat sekarang ini telah biasa dengan pemerintahan yang memberi pelbagai jenis bantuan kepada rakyat tetapi setelah dilantik menjadi kerajaan, janji yang dibuat tidak dipatuhi dan itu menghilangkan rasa kepercayaan rakyat terhadap kerajaan yang sepatutnya prihatin dan setia kepada rakyat” ujarnya.

Raini, 61, berkata, “Calon yang bebas rasuah adalah penting, wakil calon perlu menampilkan sikap yang jujur dan amanah supaya generasi muda dan generasi akan datang akan menghormati setiap pemimpin yang mempunyai sikap antirasuah dan komited untuk menambahbaik perkembangan yang boleh memanfaatkan ekonomi dan bangsa rakyat Malaysia.  

Fadhli, 26, berkata “Dalam Pilihan Raya Negeri Johor yang akan datang pada 12 Mac, saya ingin mengundi calon yang bebas dari segala jenis rasuah dan mempunyai latar belakang yang bersih supaya dapat menjadi  contoh yang baik kepada generasi yang akan datang”. 

“Bagi calon DUN Larkin yang akan menang, calon tersebut perlu membantu rakyat yang terjejas akibat COVID-19 dengan memberi bantuan kewangan dan bekalan makanan. Kita inginkan calon yang prihatin kepada kita” ujarnya.

“Sebagai pengundi kali pertama, saya berasa bahawa nilai integriti dan bebas rasuah penting untuk calon yang bertanding di setiap kawasan kerana dari dulu lagi negara kita mempunyai kes rasuah yang berleluasa, jadi kalau kita mengundi calon yang bebas rasuah, kita dapat meningkatkan kesedaran sivik di kalangan pengundi muda supaya mereka dapat mengundi dengan lebih bijak,” kata Adriana, 23. 

Selain berikrar untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa sekiranya dipilih sebagai ADUN, calon-calon PN juga berjanji untuk mematuhi sepenuhnya Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka kepada rakyat Johor. 

Pengundian akan bermula pada 12 Mac.