Lawatan PM ke Qatar perkukuh hubungan dua-hala dan pelaburan negara
Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Qatar terbukti telah membuahkan hasil yang baik untuk pelbagai sektor dalam negara.
Antaranya ialah usaha untuk meningkatkan pelaburan, pengukuhan hubungan perdagangan dua hala serta potensi kerjasama dalam pelbagai sektor seperti industri halal, perbankan Islam dan tenaga boleh diperbaharui.
Kerjasama Pasca-Pandemik
Dari segi kerjasama pasca pandemik, kedua-dua negara telah bersetuju untuk mengiktiraf sijil vaksinasi COVID-19 masing-masing secara rasmi dan mengintegrasi aplikasi Ehteraz (Qatar) dan MySejahtera (Malaysia).
Perdana Menteri percaya bahawa kedua-dua negara masih mempunyai peluang untuk meningkatkan lagi prestasi perdagangan dua hala tersebut.
Kerjasama Ekonomi Malaysia-Qatar
Menurutnya, nilai dagangan bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini turut mencatat peningkatan sebanyak 30.9 peratus kepada RM610 juta berbanding RM470 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
"Saya juga berterima kasih kerana Qatar memilih Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan di Asia Tenggara, khususnya dalam sektor hartanah dan perkhidmatan.
"Sehingga kini, nilai pelaburan Qatar di Malaysia melebihi RM13.49 bilion (US$3.2 billion)," katanya pada sidang media bersama media Malaysia pada akhir lawatan rasmi tiga hari beliau ke Qatar.
Ismail Sabri yang tiba di Doha pada Sabtu lalu berkata, dalam pertemuannya dengan Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sejurus majlis sambutan rasmi di Amiri Diwan, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk mengadakan perbincangan lanjut bagi menentukan sasaran pelaburan yang ingin dicapai dalam masa dua tahun.
"Mengambil kira pembukaan sempadan kedua-dua negara dan fasa peralihan ke endemik, saya percaya Malaysia dan Qatar perlu mengambil peluang untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang, khususnya industri halal, makanan, perbankan Islam, tenaga boleh baharu serta minyak dan gas," katanya.

Ladang Lembu dan Kilang Pengeluaran Tenusu Baladna
Perdana Menteri berkata lawatan beliau ke Ladang Lembu dan Kilang Pengeluaran Tenusu
Baladna semalam, juga telah membolehkan memorandum kerjasama yang ditandatangani pada 2019 bagi Baladna menjadi rakan kongsi FGV Holdings Bhd (FGV) dan Felcra Bhd dalam projek usahasama ladang tenusu berskala besar di Malaysia. Memorandum tersebut dipersetujui untuk dimuktamadkan selewat-lewatnya Jun ini.
Kerjasama strategik antara Baladna, FGV dan FELCRA melibatkan pelaburan sebanyak RM2.1 bilion (USD$500 juta) bagi pembangunan projek tenusu berskala besar di Lembah Chuping, Perlis.
"Pelaburan ini akan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing industri tenusu tempatan," katanya.
Peluang-peluang pelaburan di Qatar
Sementara itu, dalam pertemuan beliau dengan Sheikh Tamim, Malaysia turut mengemukakan beberapa cadangan untuk penerokaan peluang-peluang pelaburan di Qatar kepada syarikat-syarikat Malaysia.
Antaranya, North Field Expansion Project yang meliputi tiga fasa. Dua cadangan lain adalah supaya Malaysia dijadikan hab penerbangan Qatar Airways untuk ke negara-negara ASEAN dan supaya Qatar mengimport lebih banyak minyak sawit Malaysia sebagai alternatif kepada minyak bunga matahari.
Kerjasama Antarabangsa: PBB dan pertubuhan antarabangsa
Dari segi hubungan kerjasama di peringkat antarabangsa, Malaysia dan Qatar bertekad untuk memperkukuhkan kerjasama di platform antarabagsa. Berhubung isu Palestin, Malaysia dan Qatar mempunyai pendirian yang sehaluan. Kedua-dua negara bersetuju bahawa rakyat Palestin harus diberikan hak mereka yang sewajarnya.
Pada sidang media sama, Ismail Sabri turut merakamkan penghargaan atas komitmen Qatar menjadi tuan rumah bagi Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) ke-14 pada tahun depan.
"WIEF berpotensi membantu komuniti perniagaan terutamanya di negara-negara Islam yang telah terkesan oleh pandemik COVID-19," kata beliau.

