Tahukah anda bahawa, barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik lagi.
Selain pelbagai jenama yang boleh didapati dengan mudah, pengguna juga pasti biasa melihat label produk yang menjadi identiti kepada tempat yang menjual produk.
Contohnya, produk house brand adalah barangan jenama sendiri keluaran sesebuah pasar raya dan hanya dijual di pasar raya tersebut. Kebanyakan pasar raya besar memiliki produk house brand sendiri meliputi barangan makanan, barangan penjagaan diri dan rumah.
Produk house brand lebih jimat dari segi harga berbanding produk berjenama
Antara objektif utama, produk jenama house brand diperkenalkan adalah untuk membantu pengguna terutamanya golongan B40 dan M40 jimatkan perbelanjaan. Peniaga dan golongan usahawan juga dapat membeli produk-produk ini dengan harga borong.
Selain, dijual dalam harga yang berpatutan, ia juga diperkenalkan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan produk segar, berkualiti tinggi dan cita rasa berbeza sambil berjimat.
Ada pasar raya yang memasarkan produk house brand masing-masing dengan nama pasar raya mereka dan ada juga menggunakan nama-nama lain untuk produk house brandnya.
Pilihan di tangan pengguna
Pengguna berhak menentukan barangan yang mereka ingin beli. Mereka boleh beralih kepada produk generik yang harganya lebih murah 20% hingga 30% daripada produk berjenama.
Contohnya, Kedai Rakyat 1 Malaysia boleh dijadikan sebagai penanda aras produk jenama lain kepada pengguna dalam menentukan harga barangan. Pengguna boleh membandingkan harga barang di sini dengan kedai-kedai yang lain.
Mengubah persepsi terhadap produk tempatan
Persepsi pengguna perlu berubah dari membeli kerana jenama dan berdasarkan iklan yang menarik kepada produk berasaskan kualiti, memenuhi keperluan dan dalam masa yang sama mengurangkan perbelanjaan rumah.
Produk house brand telah terbukti mempunyai kualiti setanding barangan berjenama. Pada masa yang sama, pembelian produk house brand juga akan menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia yang telah dilancarkan sejak 1984.
Kerajaan menggalakan pemain industri runcit untuk menghasilkan pelbagai produk ‘house brand’ mereka sendiri dalam usaha menyokong secara berterusan Kempen Beli Barangan Malaysia.
Usaha menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia

Kempen beli barangan Malaysia merupakan kempen berterusan sepanjang masa bagi melestarikan budaya mengutamakan barangan Malaysia ketika berbelanja dan membeli belah di kalangan ahli Keluarga Malaysia. Mengutamakan barangan Malaysia meliputi Jenama Malaysia, Produk Buatan Malaysia mahupun Perkhidmatan Malaysia adalah manifestasisebenar semangat patriotisme kepada negara.
Stigma bahawa produk luar negara lebih bermutu berbanding produk tempatan perlu diubah kerana buktinya terdapat banyak produk tempatan yang berkualti tinggi dan menepati cita rasa masyarakat tempatan.
Apabila perusahaan kecil tempatan disokong dan menjadi sebuah perusahaan besar, ekonomi negara dan peluang pekerjaan juga akan berkembang secara berganda.
Laksanakan hak kita sebagai pengguna dengan membuat pilihan terbaik. Slogan pengguna bijak di abad digital seharusnya “Barang Baik, Barang Kita”.
