Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Bajet 2023: Kerajaan prihatin kebajikan dan keperluan golongan belia
Diterbitkan:  Nov 5, 2022 6:33 PM
Dikemaskini: Nov 8, 2022 3:10 AM

Kerajaan komited untuk terus membantu belia melalui usaha pemerkasaan belia ke arah pembangunan modal insan yang lestari dan berinovasi tinggi.

Pengalaman Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob yang pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan antara tahun 2008-2009 membolehkan beliau lebih memahami keperluan generasi muda.

Ia boleh dilihat menerusi pemberian pelbagai bentuk bantuan serta pengumuman inisiatif kepada golongan belia termasuk dalam aspek perumahan dan perniagaan supaya golongan tersebut boleh meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Justeru pada Hari Belia Negara 2022, Perdana Menteri dengan terbuka menyatakan aspirasi dan pandangan belia adalah penting bagi kerajaan merangka hala tuju pada masa depan. Dalam pelancaran Hari Belia Negara 2022 yang diadakan pada Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan pelantikan wakil belia sebagai Senator di Dewan Negara.

Bajet 2023: E-Pemula untuk belia naik kepada RM200, kerajaan tanggung bayaran lesen e-hailing

Semasa pembentangan bajet 2023, Menteri Kewangan telah mengumumkan seramai dua juta belia berusia 18 hingga 20 tahun dan pelajar sepenuh masa berusia 21 tahun ke atas di negara ini bakal menerima manfaat program kredit e-dompet, e-Pemula yang akan dinaikkan jumlah kredit kepada RM200 tahun depan. Program tersebut diteruskan melibatkan peruntukan RM400 juta dan kenaikan daripada jumlah asal kredit RM150 adalah sebagai usaha penambahbaikan.

“Sebagai seorang pelajar, saya rasa golongan belia rata-ratanya teruja menerima bantuan kredit e-dompet tersebut yang dapat memberi kemudahan pembelajaran dan juga untuk keperluan harian,” kata Jaayne, 22.

Tambahan pula, bagi menggalakkan lebih ramai anak muda berniaga, sejumlah RM305 juta tersedia sebagai kemudahan pinjaman khusus untuk belia melalui SME Bank, Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga), Mara (Majlis Amanah Rakyat), BSN (Bank Simpanan Nasional) dan Agrobank.

Bagi membantu belia B40 yang menjana pendapatan melalui perkhidmatan membawa penumpang seperti teksi, bas dan e-hailing, kerajaan bersetuju menanggung bayaran lesen di bawah program MyPSV serta bayaran lesen memandu motosikal kelas B2.

Selain itu, untuk menggalakkan belia bekerja, Skim TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan dengan dana RM10 juta bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang membantu belia mendapatkan pakej prabayar langganan pelan data Internet dengan RM30 bagi tempoh tiga bulan akan dilanjutkan hingga April 2023.

“Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang diberikan oleh kerajaan telah membantu saya memperoleh akses Internet untuk pembelajaran tanpa sebarang kekangan data. Inisiatif kerajaan untuk melanjutkan bantuan ini akan membantu ramai golongan belia,” kata Faris,23. 

Golongan belia diharap dapat mengambil peluang kewujudan program dan inisiatif yang disediakan kerajaan, termasuk bantuan tunai, pengekalan dan penjanaan pekerjaan serta pembiayaan pada Bajet 2023.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS