Penduduk Kepala Batas dapat menikmati kemudahan perumahan, beribadat dan beriadah yang serba baru dalam masa beberapa tahun akan datang apabila Program Perumahan Rakyat (PPR), Masjid Bandar Putra Bertam dan Kepala Batas Youth Centre (KBYC) siap kelak.
Pelancaran rasmi tiga projek utama tersebut yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato' Sri Ismail Sabri baru-baru ini bertujuan meningkatkan lagi daya huni Kepala Batas yang terletak di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.
Kepala Batas yang dahulunya didominasi penanaman padi, getah dan kelapa sawit kini telah berubah wajah. Pembangunan yang pesat terutamanya dua puluh tahun kebelakangan ini telah menjadikan bandar ini semakin bertenaga dari segi kegiatan ekonomi setempat, peluang pekerjaan dan pendidikan.
Kawasan parlimen Kepala Batas di bawah kepimpinan Datuk Seri Reezal Merican semenjak tahun 2013 kini juga menjadi tarikan penduduk luar yang didorong pembangunan terancang yang berlaku di sini seperti infrastruktur yang lengkap, perumahan mampu milik, hab pendidikan serta pertumbuhan ekonomi yang konsisten.

Mengulas mengenai kepimpinan Datuk Seri Reezal Merican, penyandang kerusi parlimen Kepala Batas, penduduk tempatan Abdul Halim Abdul Rahman, 60, berkata:
“Datuk Seri merupakan seorang pemimpin yang tidak sombong, peramah dan disukai ramai. Beliau sentiasa turun padang dan mengambil berat tentang kepentingan semua pihak. Soal kesejahteraan penduduk menjadi tumpuannya kerana beliau sangat mengutamakan kebajikan rakyat.”
Menurut Halim, kepimpinan Reezal Merican juga disokong oleh janji-janji yang ditunaikannya seperti pembangunan berterusan di Kepala Batas, khususnya dari segi perumahan mampu milik dan kemudahan pendidikan.
“Sebagai seorang wakil rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab, beliau sentiasa memberi perhatian terhadap keselesaan kehidupan kami dan juga menekankan semangat kekeluargaan dalam kalangan penduduk tempatan, termasuk hadir untuk kenduri-kendara bersama kami,” kata Halim.
Berkongsi pandangan Halim, seorang lagi penduduk tempatan, Muhammad Zahid Muhammad Yahya, 64, berharap Kepala Batas akan terus berkembang sebagai sebuah bandar yang maju dan berketerampilan.
“Saya mendapati, Datuk Seri Reezal Merican merupakan seorang wakil rakyat yang mampu merangsang kemajuan di Kepala Batas kerana kepimpinan beliau adalah berteraskan kesinambungan pembangunan yang terancang, yang merangkumi pembangunan fizikal dan insaniah seperti apa yang boleh kita lihat sekarang,” kata Zahid.
“Dengan perancangan yang teratur, macam-macam pembangunan telah berlaku di Kepala Batas. Kepala Batas yang pada dahulunya hanya mempunyai jalan kecil, kini telah dilengkapi dengan jalan raya yang lebar dan selesa. Jaringan pengangkutan bandar ini juga disambungkan dengan Lebuhraya Utara-Selatan untuk keselesaan penduduk tempatan dan mereka yang berkunjung ke sini,” sambung beliau.
Dengan merujuk pada pembangunan yang berlaku di Bertam, salah satu pekan utama di Kepala Batas, Zahid sendiri telah menyaksikan perubahan ketaranya daripada sebuah pekan yang sunyi kepada satu tempat yang sibuk hari ini.
Pembangunan pesat di Bertam
Bertam kini telah dinaik tarafkan menjadi pusat pentadbiran daerah Seberang Perai Utara, menggantikan Butterworth. Sebelum pembangunan pesat berlaku di Bertam, kawasan sawah padi, ladang getah dan kelapa sawit adalah antara ciri-ciri utama petempatan ini. Kini, Bertam tampil dengan identiti yang baharu susulan perumahan moden Bandar Bertam Perdana yang menjadi kebanggaan penduduk tempatan. Susulan pertambahan penduduk yang berhijrah ke sini, kegiatan komersial di Bertam turut meningkat.
“Saya harap momentum pembangunan ini dapat diteruskan dengan baik oleh pemimpin yang memahami keperluan rakyat dan disenangi semua,” tambah Zahid.
Program Perumahan Rakyat (PPR)
Projek perumahan mampu milik PPR bernilai RM170 juta yang mensasarkan golongan B40 ini akan dibina di atas tanah seluas 20 ekar di Pongsu Seribu, Kepala Batas. Ia meliputi 700 unit rumah termasuk 7 unit untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Masjid Bandar Putra Bertam
Masjid yang berkonsep ‘hijau’ dan milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang ini akan dibina di atas tanah seluas 2 hektar, juga di Pongsu Seribu. Projek bernilai RM8 juta tersebut dijangka dapat menampung jemaah sehingga 1,500 orang.
Kepala Batas Youth Centre (KBYC)
Pusat belia yang bernilai RM45 juta ini bakal dibina di atas tapak seluas 25 ekar di Paya Keladi, Kepala Batas. KBYC akan dilengkapi pelbagai kemudahan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa seperti asrama, astaka, padang bola dan trek sintetik, dewan e-Sport, bilik muzik, gimnasium, trek jogging dan skate park’ untuk anak-anak muda.
Kerusi parlimen P041 Kepala Batas
Kawasan parlimen Kepala Batas yang terdiri daripada Penaga, Bertam dan Pinang Tunggal akan dipertahankan oleh penyandang kerusi tersebut, iaitu Datuk Seri Reezal Merican daripada Barisan Nasional yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November 2022 ini.
Ikrar Aku Janji Demi Kepala Batas.
Layari www.demikepalabatas.com untuk maklumat lanjut tentang ikrar tersebut.
