RMHC Malaysia Mengukir Masa Depan Pendidikan Kanak-Kanak
Pada 18 Januari 2023, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia telah menyampaikan sumbangan Pek Kembali ke Sekolah kepada 260 kanak-kanak dari Sekolah Kebangsaan (FELDA) Pasir Besar di Gemas, Negeri Sembilan, berjumlah RM26,000 secara keseluruhannya.
Sekolah itu turut menerima sumbangan peribadi daripada Yayasan Jaafar Ahmad untuk membantu menubuhkan Kelab Pengekodan dan Robotiknya.
Program ‘Kembali ke Sekolah’ untuk membantu pelajar sekolah rendah kini memasuki tahun keenam
Secara keseluruhan, RMHC Malaysia telah memperuntukkan RM1.5 juta pada 2022 untuk menyediakan pek “Kembali ke Sekolah” yang diedarkan kepada kira-kira 25,000 pelajar sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara. Pek itu sedang giat diedarkan secara berperingkat sebelum bermulanya sesi persekolahan pada Mac ini.
Meningkatkan kompetensi kemahiran digital

Selain pek “Kembali ke Sekolah” RMHC, Sekolah Kebangsaan (FELDA) Pasir Besar turut menerima dana sumbangan sebanyak RM15,000 daripada Yayasan Jaafar Ahmad bagi menubuhkan Kelab Pengekodan dan Robotik di bawah program ‘Felda Digital Maker Hub (FDMH): Coding & Robotic’ yang bertujuan untuk mentransformasi pendidikan digital di sekolah-sekolah FELDA.
Yayasan Jaafar Ahmad ialah sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh Dato’ Azmir bin Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, yang juga Presiden RMHC Malaysia. Yayasan yang ditubuhkan sebagai penghormatan kepada bapa Dato’ Azmir Jaafar itu bertujuan membantu mereka yang memerlukan di sekitar Negeri Sembilan melalui inisiatif-inisiatif bermanfaat ke arah kesejahteraan bersama.

“Sebagai anak peneroka FELDA, saya rasa sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menyumbang ke arah kebajikan anak-anak FELDA di sini. Sekolah Kebangsaan (FELDA) Pasir Besar adalah tempat saya mendapat pendidikan sekolah rendah dan saya amat terhutang budi kepada guru-guru saya pada masa itu. Saya ingin berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan dan sumbangan peribadi melalui Yayasan Jaafar Ahmad ini adalah sebagai tanda penghargaan saya kepada sekolah yang telah membentuk saya menjadi seperti sekarang. Semoga ia menyuntik semangat untuk anak-anak dan membuka jalan kepada kejayaan mereka pada masa hadapan,” kata Dato’ Azmir Jaafar.
Sumbangan RM15,000 itu diserahkan kepada Abdul Rahim bin Abdullah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (FELDA) Pasir Besar. Turut hadir pada majlis serah terima tugas ialah tetamu kehormat, Tan Sri Idris bin Jusoh, Pengerusi FELDA.
“Saya sangat berbesar hati kerana dapat hadir menyempurnakan majlis pada hari ini dan bertemu sendiri dengan salah seorang permata FELDA yang telahpun menempa kejayaan. Saya sangat berterima kasih kepada anak-anak FELDA yang telah menjadi insan berjaya hari ini dan tidak pernah lupa dengan asal usul mereka, seterusnya sudi tampil menabur bakti kepada FELDA melalui sumbangan yang diberikan,” kata Tan Sri Idris bin Jusoh, Pengerusi, FELDA.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/01/5105e5d9f90c6fd22046a9d1e83809a8.jpg)
