Industri perkhidmatan makanan adalah antara bidang yang terus memikat ramai dengan pelbagai pengalaman yang unik. Memandangkan ia adalah bidang yang luas, perkhidmatan ini memerlukan mereka yang berkebolehan, berbakat, dan mempunyai keupayaan yang berbeza.
Sama ada anda ingin menjadi seorang tukang masak, artis kek, seniman kopi atau ingin menguruskan restoran, terdapat banyak pilihan kerjaya dalam bidang seni kulinari untuk diteroka.
Peta Kerjaya Kulinari untuk Futuremakers

Untuk meningkatkan daya saing golongan muda, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah berganding bahu dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Yayasan Standard Chartered untuk menghasilkan 3 Peta Kemajuan Kerjaya yang boleh dijadikan — panduan kerjaya kepada belia yang sedang mengikuti kursus-kursus berkaitan perkhidmatan makanan di institusi-institusi TVET di Malaysia. Baru-baru ini, seramai 150 peserta dari Kolej Vokasional Kemaman serta pensyarah telah menghadiri program Jelajah Peta Kerjaya Young Futuremakers Malaysia.
Dalam ucapan perasmiannya, En Wan Zakaria, Pengarah KV Kemaman berkata, peta kerjaya menawarkan pelan hala tuju untuk bakat muda yang bercita-cita untuk memasuki industri perkhidmatan makanan. Graduan bidang ini mampu bekerja dalam pelbagai sektor seperti perkhidmatan, pelancongan, hospitaliti dan kulinari yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Selain menggariskan gambaran keseluruhan, seperti jawatan permulaan yang tersedia dalam industri, ia juga menyediakan laluan yang jelas bagi individu untuk bergerak dari jawatan peringkat permulaan (‘entry-level positions’) kepada pengurusan peringkat pertengahan (‘mid-level management’) dan akhirnya kepada jawatan eksekutif (‘executive or specialised positions’).
Memupuk Landskap Kulinari yang Pelbagai
Jelas beliau, peta itu boleh digunakan sebagai panduan untuk menilai diri dan pembangunan profesional. Ia juga membantu individu menilai tahap kemahiran semasa mereka, mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki dan menetapkan matlamat untuk kemajuan kerjaya khususnya dalam bidang Barista, Pengurusan Restoran dan Bakeri & Pastri.
Selain pembangunan profesional, peta ini memberi penerangan terperinci mengenai kelayakan, kemahiran asas dan teknikal, faedah, dan gaji purata mengikut jawatan, dalam ketiga-tiga skop tersebut.
'Peta Kemajuan Kerjaya Young FutureMakers Malaysia' direka untuk menyesuaikan belia dengan trend dan inovasi industri yang berubah, memastikan mereka kekal dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan.

Portal MyFutureJobs: Mencari Padanan Kerjaya yang Sesuai
Pelajar Kolej Vokasional Kemaman juga berpeluang mendengar perkongsian daripada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Malaysia mengenai portal MyFutureJobs.
Liputan portal MyFutureJobs adalah menyeluruh malah pencari kerja boleh memperoleh maklumat penting mengenai pasaran buruh terkini termasuklah senarai pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi, kadar gaji dan kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa tenaga kerja.
Sertai Telegram dan dapat info kerjaya terkini
Golongan belia dialu-alukan untuk menyertai saluran Telegram yang diwujudkan khusus bagi mendapatkan maklumat-maklumat terkini mengenai pendidikan, kemahiran dan peluang kerjaya dalam industri perkhidmatan makanan. Anda boleh ketahui lanjut mengenai usaha ILO Young FutureMakers Malaysia melalui aplikasi Telegram di pautan: https://t.me/yfmtvet
Layari Young FutureMakers Malaysia untuk mendapatkan maklumat tentang Futuremakers by Standard Chartered.
Artikel kandungan berjenama ini disediakan oleh International Labour Organization (ILO) Young Futuremakers Malaysia
Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.
Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected].
