Sanggup menyambung pelajaran selepas bersara dan mencari peluang demi kehidupan lebih baik antara kunci kejayaan penuntut Diploma Kemahiran Malaysia (RPEL) menerusi inisiatif oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) di Kompleks PERHEBAT, Kem Sungai Buloh.

Lans Koperal (B) Dr. Muhammad Abu Bakar

Lans Koperal (B) Dr. Muhammad Abu Bakar, 58, berkata beliau yang bersara pada 1998 menceburi perniagaan perkhidmatan sokongan minyak dan gas seperti servicing tank cleaning, scrap metal, hydro blasting dan sand blasting selepas melihat peluang terbuka luas.

Beliau yang mengambil bidang Pengurusan Pentadbiran mengakui Kementerian Pertahanan dan PERHEBAT menyediakan platform untuk maju ke hadapan.

"Saya bersyukur program ini diadakan untuk anggota dan veteran tentera, selain memberi peluang untuk kami lebih berdaya saing dalam pasaran pekerjaan di sektor awam dan swasta.

"Diharap anggota yang masih berkhidmat atau veteran tolong hadir untuk menyertai pelbagai program yang disediakan PERHEBAT," katanya ketika ditemui, semalam.

Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Latihan Peralihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) itu di sempurnakan Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin.

Kejayaan anak kelahiran Sungai Siput, Perak itu dalam perniagaan juga terbukti apabila beliau mahu memberi keutamaan kepada veteran tentera untuk menyertainya.

"Sektor minyak dan gas tiada had. Bahkan gaji yang diperolehi lebih daripada bidang lain. Itu sebab mengapa pentingnya Diploma (RPEL) kerana ia membantu pesara dari semasa ke semasa.

"Saya melihat bidang ini memberi kehidupan yang lebih baik selepas bersara daripada perkhidmatan," katanya.

Kolonel (B) Datuk Zulkiffli Jaafar

Sementara itu, seorang lagi penuntut, Kolonel (B) Datuk Zulkiffli Jaafar, 54, memaklumkan beliau diberi peluang kedua untuk meneruskan pelajaran di PERHEBAT apabila sebelum ini tidak boleh berbuat demikian kerana pandemik Covid-19.

Penuntut bidang Penyeliaan Perlindungan Rapat itu bercita-cita untuk membuka sebuah akademi bagi melahirkan pengawal peribadi yang berpotensi tinggi.

"Akademi ini mampu membentuk pengawal peribadi dengan ilmu dan perundangan sedia ada dalam dan luar negara.

"Pada masa sama, saya juga bercadang untuk membangunkan program pentauliahan dan latihan dengan cara sebenar," katanya yang kini menetap di Kuala Lumpur.

Zulkiffli berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada PERHEBAT dan Kementerian Pertahanan yang memberi peluang kepada veteran untuk menyambung pelajaran dalam apa jua bidang yang disediakan.

Bintara Kanan Siti Mariam Abd Rahim

Bagi Bintara Kanan Siti Mariam Abd Rahim, 41, yang berkhidmat selama 21 tahun dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), beliau mengikuti Latihan Peralihan dalam kursus Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mengembangkan perniagaan minuman dan tudung di Danau Kota.

"Dengan adanya Latihan Peralihan oleh PERHEBAT ini, saya dapat belajar ilmu seperti strategi pemasaran, perniagaan dan cara menjana pendapatan.

"Perniagaan ini baru bermula kira-kira empat bulan lalu dan saya bercadang untuk memperbesarkan lagi di masa akan datang. Terima kasih kepada PERHEBAT dan Kementerian Pertahanan kerana memberi peluang ini," katanya.

Koperal A Kumaresan

Manakala Koperal A Kumaresan, 40, bidang Usahawan PKS Agrotani (USAHAWANTANI PUTRA-PERHEBAT) bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) yang diambil menjadikannya berjaya membuka sebuah ladang ternakan di Negeri Sembilan.

"Ketika ini saya mempunyai 400 lembu, biri-biri (300) dan kambing (200). "Selepas bersara, saya akan menumpukan perhatian kepada ladang yang akan dibesarkan selepas ini. Terima kasih tidak terhingga kepada PERHEBAT di atas peluang ini,"katanya.

Sementara itu, Mohamed Khaled dalam ucapannya meminta PERHEBAT lebih proaktif memeta kerjasama dan pendekatan baru yang boleh memberikan manfaat kepada veteran ATM.

Beliau berkata, PERHEBAT juga harus menetapkan secara jelas dan strategik apakah bidang atau sektor kompetitif yang ingin diterokai.

“Bidang-bidang atau sektor yang dikenal pasti boleh dikongsikan dengan pihak Kementerian Pertahanan agar boleh dijadikan asas dalam merundingkan bentuk dan corak Industrial Collaboration Program (ICP) atau offset program dengan pelbagai pihak industri dan pembekal yang mempunyai obligasi kontrak dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau Kementerian Pertahanan.

“Pendekatan sebegini bukan sahaja akan membuka ruang dan peluang yang lebih bermakna kepada bakal pesara dan veteran ATM.

“Sebaliknya menjadi satu amalan yang memberi nilai tambah penting kepada ekosistem pertahanan negara kita,” katanya.


Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi advertise@malaysiakini.com  atau advertise@fgmedia.my.