Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kandungan Berjenama
Bersediakah Usahawan Tempatan Laksana e-Invois?
Diterbitkan:  May 30, 2025 1:28 PM
Dikemaskini: 5:48 AM

Lebih 29,000 syarikat di seluruh negara sudah beralih kepada e-Invois, dengan lebih 262 juta transaksi dicatatkan setakat April 2025 — satu lonjakan besar dalam landskap digital percukaian Malaysia.

Transformasi ini menandakan perubahan ketara dalam cara perniagaan beroperasi, namun masih terdapat usahawan tempatan yang belum menyedari potensi dan manfaat e-Invois — sistem digital yang menggantikan invois manual dalam urus niaga antara penjual dan pembeli.

Kelompok yang belum beralih ini kebanyakannya terdiri daripada peniaga kecil yang menjadi nadi kitaran ekonomi setempat, serta menanggung perbelanjaan keluarga. Antaranya termasuk pengusaha berniaga dari rumah, penjaja makanan dan usahawan mikro yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi komuniti.

Bagi ramai usahawan muda dan peniaga dalam talian, e-Invois bukan sekadar satu tuntutan pematuhan. Sebaliknya, ia dilihat sebagai peluang untuk memperkemaskan operasi. Sistem ini menjimatkan masa, mengurangkan kesilapan manual, dan meningkatkan kredibiliti perniagaan — sesuatu yang amat penting dalam dunia e-dagang yang kompetitif.

Sistem e-Invois menyokong tiga kategori utama transaksi iaitu: B2B (perniagaan ke perniagaan), B2C (perniagaan ke pengguna), dan B2G (perniagaan ke kerajaan). Sistem ini membolehkan proses pengesahan dan penyimpanan transaksi dijalankan secara hampir masa nyata, sekaligus memastikan rekod perniagaan lebih tersusun, sistematik dan memudahkan proses audit.

Apa kata peniaga?

“Bila bisnes semakin berkembang, sistem invois pun perlu ikut sama. Dengan e-Invois, ramai peniaga boleh urus jualan, rekod dan cukai dengan lebih kemas — semuanya dalam satu platform,” kata Renault, usahawan muda.

Manakala NorAinah, pemilik sebuah gerai makan, berkata, “Saya belum begitu faham tentang e-Invois, tetapi jika kerajaan minta untuk mendaftar, saya bersedia. Kalau ia boleh memudahkan urusan dan membantu perniagaan saya, saya sokong sahaja.”

“e-Invois ialah sistem digital yang perlu dilaksanakan oleh semua, tidak kira perniagaan kecil atau besar. Ia dapat memudahkan pemantauan oleh HASiL dan membantu mengembangkan perniagaan,” kata Amirul, usahawan muda. 

Siapa Wajib Guna e-Invois?
Secara asasnya, semua pembayar cukai yang menjalankan aktiviti komersial di Malaysia wajib menggunakan e-Invois. Ini termasuk perniagaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), peniaga dalam talian, freelancer, serta penyedia perkhidmatan profesional.

Bagi perniagaan melalui platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, atau TikTok Shop, e-Invois akan dikeluarkan oleh penyedia platform e-dagang itu sendiri kepada pelanggan sekiranya dimohon melalui platform tersebut. Ia sekaligus memudahkan para peniaga dalam talian dan tidak perlu risau tentang pematuhan e-Invois.

Portal MyInvois yang disediakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) adalah platform percuma yang memudahkan penghantaran e-Invois, terutama bagi pembayar cukai yang tidak memiliki sistem perniagaan digital sendiri. Portal ini boleh diakses melalui komputer, laptop, atau telefon pintar, membolehkan pengguna menjana dan menghantar e-Invois bila-bila masa dan di mana sahaja.

Cara Mudah Untuk Bermula:

  1. Daftar nombor cukai jika belum ada.

  2. Log masuk ke Portal MyInvois menggunakan akaun MyTax.

  3. Jana e-Invois hanya dengan beberapa klik!

Bagi menyokong keperluan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), HASiL turut mengambil langkah proaktif dengan menyediakan Sistem MyInvois e-POS, platform digital Point-of-Sale (POS) yang boleh diakses secara percuma oleh PMKS dengan pendapatan atau jualan tahunan kurang daripada RM250,000.

Pelaksanaan e-Invois bukan sekadar memenuhi keperluan cukai semata-mata, tetapi merupakan langkah penting menuju perekodan transaksi perniagaan secara digital dan mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih telus. Dalam jangka masa panjang, sistem ini akan membantu memperkukuh kedudukan usahawan tempatan dalam ekonomi digital yang kian pesat berkembang.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari Laman Mikro e-Invois yang disediakan oleh HASiL dan ambil langkah pertama ke arah mendigitalkan perniagaan anda.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS