MAHA 2026 bukan sekadar pameran, tampil teknologi, peluang agro dan tarikan istimewa
MAHA 2026 kembali dari 28 Ogos hingga 6 September dengan sasaran sekitar empat juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
MAHA 2026 menyatukan komuniti pertanian negara, pemain agro-industri, penggubal dasar, dan orang ramai di bawah satu visi bersama.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak berkata MAHA 2026 akan menggunakan tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’ selaras dengan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

“Tema ini menekankan bahawa sektor agromakanan tidak lagi boleh dilihat dari sudut pengeluaran semata-mata, tetapi perlu meliputi teknologi, inovasi, pemprosesan dan pemasaran,” katanya.
Katanya, MAHA 2026 bukan sahaja akan membawa inovasi daripada luar negara tetapi turut yang dihasilkan oleh petani, peladang, penternak dan nelayan tempatan.
“Kita akan menerima penglibatan lebih 2,000 pempamer dari dalam dan juga luar negara yang telah menyatakan persetujuan untuk hadir dan membuat pameran sepanjang MAHA 10 hari nanti,” katanya semasa sidang media di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.
“Dari sudut ekonomi, kita menyasarkan sekurang-kurangnya RM58 juta nilai jualan langsung serta RM8 bilion potensi pelaburan melalui pemeteraian MoU dan MoA,” katanya.
Pelbagai tarikan dan keistimewaan baharu kepada pengunjung antaranya Agro Safari, Floating Market, Kiddies Wonderland, Taman Magika, Pavilion Negeri serta pelbagai pertandingan dan aktiviti agro.
Pengunjung juga boleh menikmati Fiesta Makanan, Empayar Agromakanan, Rest & Relax, Rhythm of the Farmers (ROTF), Rewang Warisan dan Sukan Rakyat.
Inisiatif ini bakal memberi pengalaman lebih menyeluruh dan interaktif kepada pengunjung dengan mengetengahkan trend terkini dalam pertanian dan teknologi.
Laman Smart Farming menampilkan teknologi pertanian moden
Antara tumpuan utama edisi kali ini ialah penekanan lebih besar terhadap pertanian pintar, digitalisasi dan inovasi agro.
Menerusi Laman Smart Farming serta pameran agroteknologi, pengunjung berpeluang melihat bagaimana teknologi moden digunakan dalam sektor pertanian.
Selain itu, pelbagai laman bertemakan agromakanan turut disediakan, termasuk Laman Sayur, Laman Herba, Laman Kelulut, Laman Padi, Laman Veterinar dan Laman Nanas.
Dari segi pengisian, Dewan A memberi fokus kepada pameran utama termasuk Go Global, International Country Pavilion, Exporter’s Club dan Hosted Buyer Programme. Dewan A turut mengetengahkan elemen advokasi dan pendidikan bagi memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai kepelbagaian serta potensi sektor agro negara. Pendekatan interaktif ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya generasi muda, terhadap peluang dan masa depan sektor agro.
Dewan C pula mengetengahkan teknologi melalui konsep Immersive Agrotech, manakala Dewan D memberi fokus kepada Agrotourism, Rest & Relax dan Food Empire.
Lebih istimewa, pada malam Ambang Merdeka akan diadakan pertunjukan cahaya termasuk persembahan khas yang menggabungkan pertunjukan dron bersama bunga api.
Para pengunjung yang hadir turut berpeluang menikmati pelbagai tawaran diskaun bagi produk agro sepanjang penganjuran MAHA 2026.
Empat tunjang pertanian jadi fokus MAHA 2026
Selain pelbagai tarikan, MAHA 2026 turut memberi tumpuan kepada empat bidang utama yang mencerminkan masa depan sektor pertanian Malaysia.
Agri-Tech mengetengahkan teknologi seperti dron, IoT dan AI, manakala Agromakanan merangkumi pemprosesan, pembungkusan, pembuatan makanan serta produk agromakanan tempatan.
Agropelancongan pula menggabungkan pertanian dengan pengalaman seperti Agro Safari dan pasar terapung, sementara Kelestarian menekankan amalan pertanian organik, pengurangan sisa, tanaman tahan iklim dan tenaga boleh diperbaharui.

Dengan gabungan teknologi, inovasi, peluang perniagaan dan pelbagai pengalaman untuk pengunjung, MAHA 2026 membuka ruang untuk melihat sektor agromakanan sebagai pemacu penting kepada pertumbuhan ekonomi.
Untuk maklumat lanjut mengenai tarikan, program dan aktiviti sepanjang 10 hari penganjuran, layari laman rasmi MAHA 2026.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/08/abd52dd5877024972f339cd93740577d.png)
