Selepas selesai pilihanraya umum yang memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN), kini tumpuan beralih pula kepada pemilihan Umno yang bakal menyaksikan perebutan sengit bagi jawatan naib presiden parti.

Perhimpunan agung Umno yang dijadualkan Jun depan akan mengesahkan kedudukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai presiden serta Datuk Seri Najib Razak sebagai timbalan presiden Umno.

Berikutan itu, wujud satu kekosongan bagi jawatan naib presiden. Dua lagi penyandang jawatan tersebut ialah Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kehangatan bagi pertandingan jawatan utama dalam Umno kali ini sudah dirasai berikutan langkah Abdullah membawa balik ramai muka lama dalam Umno, yang tersisih sebelum ini, sama ada kerana pernah bersama Tengku Razaleigh Hamzah dalam parti Semangat 46 (S46) ataupun merupakan bekas penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini termasuklah Datuk Radzi Sheikh Ahmad (S46) dan Datuk Affifuddin Omar (penyokong Anwar) yang bukan sahaja dipilih semula untuk bertanding kerusi Parlimen - masing-masing di Arau dan Kuala Nerang - tetapi juga turut dilantik menganggotai kabinet baru Abdullah.

Mereka dan beberapa muka lama yang kembali semula dalam kerajaan, terutama yang telah dilantik sebagai menteri, timbalan menteri dan setiausaha Parlimen, pastinya mengambil peluang untuk mencari jawatan selesa dalam Umno melalui pemilihan parti kali ini.

Mesej

Bagi para perwakilan, perubahan yang dilakukan oleh Abdullah dalam senarai calon pilihanraya dari Umno dan senarai baru kabinet juga akan dianggap sebagai satu 'mesej' jelas mengenai barisan kepimpinan Umno yang dikehendaki Abdullah.

Begitu juga keputusan Abdullah untuk mengekalkan menteri besar dan ketua menteri yang pada awalnya dijangka diletak bertanding di kerusi Parlimen. Ini tidak menjadi kenyataan di Perak, Kedah, Perlis, Melaka dan Johor.

Hanya Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad sahaja yang diletak bertanding kerusi Parlimen dan dijadikan menteri kabinet..

Para pemerhati politik melihat tindakan Abdullah itu sebagai satu strategi untuk memperkukuhkan sokongan terhadap beliau di peringkat negeri, dan sekaligus turut mencerahkan peluang calon-calon yang dikaitkan dengannya untuk memenangi jawatan tertentu dalam parti.

Ini berikutan desas-desus bahawa para menteri besar dan ketua menteri dari Umno akan bersama-sama memastikan senarai calon Abdullah mendapat sokongan para perwakilan di negeri masing-masing.

Berikutan itu, mereka akan mengemukakan seorang calon tunggal di kalangan menteri besar atau ketua menteri untuk bertanding kerusi naib presiden yang dikosongkan oleh Najib. Ini bermakna perubahan mungkin berlaku dalam barisan naib presiden kali ini.

Nama yang disebut bakal dicalonkan ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam atau Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman.

Jawatan naib presiden

Kedudukan Muhyiddin dijangka tidak tergugat tetapi kedudukan Muhd Taib sebagai naib presiden mungkin tidak begitu selesa memandangkan beliau tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan sejak sekian lamanya.

Pada mulanya beliau dijangka turut terpilih bertanding kerusi Parlimen kali ini berikutan pemilihannya sebagai ketua penaja Umno bahagian Kelana Jaya di Selangor, dan kemungkinan pula turut dipilih menganggotai kabinet.

Dengan kedudukan sedemikian, beliau dijangka tidak menghadapi masalah untuk mempertahankan kerusi naib presiden yang disandangnya sejak tahun 1993. Bagaimanapun, ianya tidak menjadi kenyataan, dan sekaligus menggugat kedudukan beliau sebagai naib presiden.

Keadaan ini membuka peluang kepada Datuk Hishamuddin Hussein untuk mengulangi langkah ketua-ketua Pemuda Umno sebelumnya - Najib dan Anwar - yang menggunakan pergerakan itu sebagai batu loncatan ke jawatan naib presiden.

Ini kerana Pemuda Umno menghantar kira-kira 30 peratus daripada jumlah perwakilan ke perhimpunan agung Umno. Jika pergerakan itu mampu mewujudkan kerjasama dengan team menteri besar, sudah tentu peluang untuk Hisham terpilih, memang cerah.

Ini memungkinkan jawatan Ketua Pemuda Malaysia dipertanding semula. Jawatan itu tidak pernah dipertanding sejak Najib mengambil alih terajunya daripada Anwar. Kali terakhir pertandingan diadakan jawatan tersebut ialah ketika Anwar menewaskan Datuk Suhaimi Kamaruddin pada tahun 1982.

Pemuda Umno

Jika ianya menjadi kenyataan, nama-nama yang disebut bakal dicalonkan untuk jawatan Ketua Pemuda ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, naib ketua pemuda sekarang, Datuk Aziz Sheikh Fadzir serta ketua penerangan Pemuda Umno, Datuk Azimi Daim.

Perebutan bagi jawatan Majlis Tertinggi juga dijangka hangat kali ini. Perebutan kali ini dijangka membabitkan kalangan menteri besar, menteri dan timbalan menteri yang baru dilantik.

Ketua Puteri Umno kerana Datuk Azalina Othman yang sudah cukup umur 40 tahun akan melepaskan jawatan itu, tetapi dijangka tiada pertandingan bagi jawatan tersebut.

Difahamkan, kemungkinan besar hanya nama naib ketuanya sekarang, Noraini Ahmad akan dicalon untuk mengisi jawatan tertinggi dalam pergerakan tersebut.

Manakala Ketua Puteri Umno Kedah, Suraya Yaacob yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang, dijangka dipilih untuk menggantikan Noraini.

Azalina pula dijangka tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kerusi Majlis Tertingginya dalam pemilihan kali ini. Oleh itu, beliau dijangka tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam Pergerakan Wanita Umno.

Tiada perubahan besar dijangka berlaku dalam Wanita Umno kerana ketuanya sekarang, Datin Paduka Rafidah Aziz dijangka akan dipilih semula menerajui pergerakan tersebut. Begitu juga dengan naib ketua, Datuk Shahrizat Jalil.


NASH RAHMAN adalah pengarang berita malaysiakini .