Memahami reformasi 20 September
Banyak air telah melintasi jambatan. Banyak daun telah hanyut ke laut. Banyak air liur telah ditelan. Ramai kawan-kawan yang aktif dalam Gerakan Reformasi telah meninggal dunia. Yang telah pulang ke alam baqa tidak dapat melihat kemenangan tahun 2008 dan 2013. Lima belas tahun satu jangka masa yang panjang. Tapi dalam perjalanan tamadun manusia 15 tahun ini terlalu singkat untuk dihitung.
Saya masih ingat lagi petang 20 September. Suasana di Masjid Negara dan Dataran Merdeka agak tegang. Ini sejarah tunjuk perasaan yang paling ampuh. Tarikh dan tempat demo ini hanya disampaikan dari mulut ke mulut. Ledakan kemarahan terutama Manusia Melayu terhadap Mahathir cukup jelas. Justeru, kerana itu hampir 80,000 telah keluar untuk menyokong Anwar dan menibai Mahathir.
Secara tetiba sejarah siapa dia Mahathir dibuka kembali. Kejahatan Mahathirdari zaman Tunku mula diketahui umum. Peranan Mahathir sebelum dan sesudah Mei 13 dibaca kembali dalam buku Tunku. Nama Mahathir berubah menjadi Mahathir Iskandar Kutty. Kemudian nama pop muncul apabila sebuah laman MAHAZALIM memanggil Mahathir Muhamad MAHAFIRAUN. Dengan serta merta Mahathir Muhamad kini menjadi musuh utama manusia Melayu.
Laman Mahazalim sebuah laman siber ‘bawah tanah' menjadi teras memangkin gerakan Reformasi. Mahafiraun kini menjadi sasaran musuh utama lamansiber Mahazalim. Pandangan manusia Melayu terhadap ‘Wira Dunia Ketiga' beralih serta-merta. Pepatah dan petitih muncul. Kalau suka berbohong akan diumpamakan ‘sebagai Mahathir'. Kalau kaki putar alam akan dipanggil ‘menjadi Mahathir'. Ibu bapa Melayu mula mendidik anak-anak bersopan dan berbudi bahasa agar ‘jangan besar jadi Mahathir'.
Mahathir Muhamad 15 tahun dahulu rata-rata di mata Melayu, terutama anak-anak muda dilihat sebagai sosok yang amat zalim. Mahathir menjadi kata sifat membawa makna sosok India yang menyamar sebagai Melayu, yang menghina Nabi, berperangai zalim dan amat licik. Semua ini dibawa oleh ombak pemecatan Anwar Ibrahim
Untuk saya semua ini adalah bentuk perlawanan permulaan manusia Melayu. Mereka hanya berupaya melihat satu kezaliman dan ketidakadilan yang telah dihempapkan kepada Anwar Ibrahim. Majoriti manusia Melayu sama ada dalam parti United Malays National Organisatioan atau di luar kerangka parti dan politik melihat satu kezaliman telah berlaku.
Anwar Ibrahim pada ketika itu dilihat sebagai bakal perdana menteri yang berkemungkinan membawa perubahan ke atas hidup mereka. Dalam analisa manusia Melayu yang muncul spontan pada ketika itu, mereka berpendapat jika Anwar tidak ditendang maka masa depan mereka dan masa depan Malaysia akan cerah gemilang.
Justeru pada petang 20 September itu kita melihat Khir Toyo, Ahmad Sibi, Abim Brothers dan pemimpin tinggi Pemuda United Malays National Organisation turun berdemo. Mereka dikatakan memiliki simpati dengan Anwar. Mereka melihat kezaliman dan ketidakadilan telah dilakukan oleh Mahathir. Tetapi untuk saya ini bukan sebab utama yang menjemput mereka ke jalan raya.
Benggolan-benggolan turun ke jalan raya kerana mereka ingin membeli saham. Kehadiran mereka di Dataran Merdeka pada 20 September adalah tanda pembelian saham. Dalam hitungan fikrah kontot benggolan ini, dalam masa dua tiga minggu Mahathir akan jatuh. Jika Mahathir jatuh maka saham 20 September mereka akan ranum untuk dijual. Mereka akan sekali lagi berkenduri kendara mengumpul pink form .
Harus saya beritahu apakah bendanya pink form ini. Begini kisahnya: Di zaman Anwar menjadi menteri kewangan dahulu banyak harta rakyat telah diswastakan. Sejumlah 30 peratus harta rakyat yang diswastakan ini wajib diagihkan untuk dimiliki oleh Melayu dan Bumiputera. Sebanyak 30 peratus saham syarikat rakyat ini akan dijualkan terus kepada Melayu Bumiputera. Di sinilah Brother Anwar akan mengagihkan pink form kepada Melayu dan Bumiputera yang difikirkan ‘sesuai' untuk memiliki sebahagian dari 30 peratus saham Melayu ini. Warna kertas saham ini ialah merah jambu - ie pink form .
Sesiapa mendapat pink form ini boleh menggadaikan borang ini kepada bank. Bank dengan senang hati akan meminjamkan dana. Ini kerana brother yang membawa pink form ini akan pasti mendapat jumlah saham yang tertera dalam borang. Nilai harta rakyat yang diswastakan sengaja dijual dengan harga murah. Apabila diapungkan di pasaran bursa saham maka dengan serta merta nilai saham ini akan naik. Brother pemegang pink form boleh menjualkan saham yang dimiliki. Ini jalan pintas untuk para brother penyokong Anwar dan para penyokong parti United Malays National Organisation untuk menjadi kaya-raya.
Sahih! Benggolan-benggolan ini turun ke jalan raya bukan kerana kezaliman atau ketidakadilan. Jika mereka menentang kezaliman atau ketidakadilan kemana mereka menghilang selama ini? Kezaliman dan penindasan masih berterusan - bukan berkurang malah bertambah.
Ramai benggolan yang berdemo pada 20 September 15 tahun dahulu atau telah telah menjadi kaya raya dengan pink form kini telah menghilangkan diri. Hanya ada beberapa ekor muncul terutama di ambang PRU13. Ada yang menawar diri untuk menjadi calon. Ramai pula yang mula membeli saham sekali lagi dengan harapan Pakatan Rakyat akan menang dan Brother Anwar akan menjadi perdana menteri.
Saya amat yakin bukan hanya kabilah pink form yang berharap Mahathir akan jatuh dalam masa dua atau tiga minggu. Ramai di kalangan orang biasa juga berharap begitu. Justeru kerana itu pada awalnya kita melihat ramai penyokong Anwar' yang ditangkap oleh Mahathir Muhamad dengan menggunakan ISA.
Kawan-kawan Anwar dalam ABIM, penyokong kental Anwar dalam parti, penyokong Anwar di luar United Malays National Organisation semuanya dibungkus oleh Mahathir dengan ISA. Zahid Hamidi ketua Pemuda Ketuanan Melayu adalah contoh terbaik di mana ISA telah digunakan oleh Mahathir untuk mematahkan penentangan. Bila ISA digunakan maka benggolan pink form senyap. Mereka mengundur diri. Ada ke Jakarta, ada ke Eropah, ada ke Australia dan ada ke Amerika.
Tetapi api reformasi tidak dapat dipadamkan lagi. Penangkapan Anwar menjadikan suasana politik di Malaysia subur untuk ditanam dengan benih politik baru. Agenda untuk menumbangkan United Malays National Organisation kelihatan semakin cerah. Ini bukan bermakna Gerakan Reformasi tidak bersimpati dengan Anwar Ibrahim atau kaum keluarga Wan Azizah. Adalah salah untuk mengenepikan fakta pemecatan Anwar dan penangkapan Anwar sebagai pendorong reformasi. Tetapi sosok Anwar Ibrahim itu bukan agenda Reformasi.
Apa yang lebih tepat ialah Gerakan Reformasi telah melintasi sosok Anwar Ibrahim. Telah melintasi kezaliman terhadap individu. Gerakan Reformasi bertujuan untuk menumbangkan United Malays National Organisation. Gerakan Reformasi bercita-cita untuk mendirikan satu politik baru untuk Malaysia. Malaysia baru untuk anak semua bangsa. Mentalkinkan Ketuanan Melayu menjadi pendorong Reformasi.
Agenda, laungan dan program yang diajukan oleh Gerakan Reformasi sebenarnya bukan satu agenda baru. Penghapusan ISA. Kebebasan media. Membenteras rasuah dan penyalahgunaaan kuasa. Melawan perampasan tanah orang kampung. Melawan cukong dan kroni merampas tanah penduduk miskin kota. Semua ini adalah sebahagian dari agenda yang telah lama diajukan oleh Parti Rakyat, oleh Parti PAS, oleh DAP dan oleh NGO.
Agenda-agenda ini disatukan sekali lagi dalam satu penggalangan yang maha luas. Penggalangan satu harapan.
Anwar ditendang, Anwar dilucut dari semua jawatan, Anwar dibelasah dalam penjara dan Anwar dimasukkan ke dalam penjara adalah hujan lebat yang mengubah banyak sungai. Hujan lebat membawa pelbagai gelodak. Ada pembasmian dan ada pembersihan. Seperti ledakan Karakatoa, ia bukan sahaja membawa huru-hara tetapi juga menabur baja ke atas bumi politik. Baja dari muntahan Reformasi ini amat subur untuk menanamkan benih-benih perlawanan.
Lima belas tahun dahulu saya telah menulis, saya telah berceramah untuk menunjukkan kepada umum bahawa reformasi ini adalah satu penggalangan, barisan bersatu harapan. Di dalam arus Reformasi ini kita mendapati pelbagai bentuk kabilah dan mazhab pandangan politik. Untuk saya ini bukan penghalang malah inilah yang memperkasa Gerakan Rerormasi.
Reformasi disatukan dan diikat dengan harapan - a united front of hope . Harapan dan cita-cita untuk menumbangkan United Malays National Organisation dan mendirikan Malaysia baru mengikat banyak kabilah. Kepelbagaian pandangan dan mazhab ini akan menguji kecekalan, sikap gerak kerja dan hujah masing-masing.
Lima belas tahun kemudian kita melihat jelas bagaimana gelodak pembersihan awal telah berlaku. Kita telah melihat bagaimana ‘reformis pink form ' hilang lenyap. Kemudian ramai pula pemimpin Angkatan Muda Keadilan pencong dan cabut lari. Kemudian beberapa pemimpin Parti Keadilan sendiri belot dan lari ke pangkuan musuh.
Mereka mengundur dari garis reformasi kerana niat dan akidah mereka ialah jawatan dan pink form . Selepas 2008, sekali lagi kita lihat ramai ‘pemadat projek' atau project jungkies bukan sahaja lari malah menyerang Gerakan Reformasi.
Lima belas tahun kemudian cita-cita dan akidah Gerakan Reformasi telah mencapai kejayaan awal. Benih bangun melawan dan benci kepada konsep Ketuanan Melayu telah subur merebak di kalangan anak-anak muda. Tetapi Reformasi belum sampai ke matlamat akhir. Matlamat akhir Reformasi ialah menjatuhkan Parti Ketuanan Melayu dan mendirikan Malaysia baru dengan kontrak sosial baru. Apa yang saya lakar di atas ialah sejarah. Yang saya tulis itu adalah realpolitik. Sejarah dan realpolitik boleh diabaikan atau boleh dijadikan ilmu panduan. Period.

