Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya merakam kembali pensejarahan Baling 74 ini kerana dua perkara. Pertama munculnya kembali suasana kemiskinan di Baling yang pernah wujud 40 tahun dahulu. Ini berikutan dengan jatuhnya harga getah.

Suasana ini bertambah meruncing apabila saya terbaca warga FELDA di Kampung New Zealand Pahang baru-baru ini telah juga berdemo kerana turunnya harga getah.

Kedua, saya ingin membetulkan beberapa fakta sejarah. Ini penting kerana fakta sejarah ini akan menjadi bahan rujukan kepada kita sendiri. Sejarah akan memberi kita tahu dari mana kita datang, kenapa kita di sini dan ke mana arah tujuan kita. Mereka yang lupa sejarah – lupa asal usul - akan lupa ke arah mana tujuan hidup mereka.

Minggu lalu saya merakamkan tentang pohon buluh di mana banyak keputusan 'politik bangun melawan' telah diambil oleh pemimpin Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya dan Kelab Sosialis. Saya juga telah menulis walau pun pada ketika itu Kelab Sosialis diharamkan, kami sebagai satu organisasi terus bergerak cergas.

Didaftar atau tidak kami tidak ambil peduli. Hakikatnya Kelab Sosialis mula bergerak bawah tanah.

Kelab Sosialis telah menghantar Abu Zer Ali ke Baling. Abu Zer belas pelajar SDAR Tanjung Malim telah memainkan peranan yang amat penting dalam kes Baling. Abu Zer dihantar ke Baling kerana Kelab Sosialis berpendapat, tanpa siasatan, tanpa fakta kami tidak boleh bertindak. Ini adalah falsafah politik dari mazhab kiri yang hingga ke hari ini masih lagi tepat dan ilmiah.

Untuk anak-anak muda hari ini – sila ambil perhatian – pada tahun 1974 kami tidak ada telefon bimbit. Tidak ada Facebook. Tidak ada Twitter untuk menyebar propaganda. Bahan propaganda kami cetak melalui mesin saikostail. Kendati pun demikian ianya tidak menghalang anak-anak muda dari berani berkata benar. Atau menghalang anak muda dari menentang kezaliman.

Teknologi boleh membantu tetapi yang menjadi rukun iman ialah ideologi perjuangan. Tanpa ideologi perjuangan segala bentuk teknologi termoden tidak membawa apa-apa makna.

Empat hari kemudian Abu Zer pulang dari Baling. Dia terus datang ke bawah pohon buluh. Saya masih ingat lagi dia mengendong 'sesuatu' dalam buntil kain. Apabila buntil ini dibuka maka ternampaklah beberapa ketul ubi gadong. Saya akui walau pun dibesarkan di kampong, saya tidak pernah melihat atau mengenali ubi gadong.

Abu Zer terus bersurah: Warga di Baling telah kelaparan. Ubi gadung ini sedang menjadi bahan makanan warga Baling. Mengikut apa yang diselidiki oleh Abu Zer, memasak ubi gadung ini memerlukan satu cara yang khusus. Setelah ubi ini ditemui liar dalam hutan, ia perlu direndam dalam air yang bergerak selama dua hari. Ubi gadung ini tidak boleh dimakan serta-merta. Ubi gadong mengandungi racun.

Aduh! Berita sedemikian memeranjatkan kami yang amat selesa dalam kota Kuala Lumpur. Berita warga Baling makan ubi gadong telah mula tersebar luas. Bagaimana ia tersebar luas, walhal kami tidak ada Facebook? Berita ini tersebar dari mulut ke mulut, dari kolej ke kolej. Kami tidak dapat lagi mencetak bahan propaganda kerana rumah persatuan telah disita.

Apa lagi surah yang dibawa oleh Abu Zer?

Apa yang dilihat oleh Abu Zer Ali pada hujung November 1974 adalah sejarah. Tetapi bahan sejarah ini masih ditenggelami. Mengikut surah Abu Zer pada akhir bulan November 1974, jalan hendak masuk ke Baling dari Sungai Petani telah ditutup beberapa batu sebelum sampai ke Baling. Polis dan polis hutan mengawal jalan raya. Ini kerana satu minggu sebelumnya telah berlaku satu demo besar telah berlaku.

Polis dan polis hutan telah dibawa masuk ke Baling untuk mengawal keadaan. Jalan keluar masuk telah disekat. Polis akan membaca kad pengenalan dengan teliti. Sesiapa sahaja yang bukan beralamat Baling tidak akan dibenarkan meneruskan perjalanan.

Muka yang paling diperhatikan ialah muka anak muda yang kelihatan 'urban', yang dilihat bukan budak kampung, muka yang dianggap mahasiswa. Ini kerana pihak polis dan Special Branch sedar ketika ini Universiti Malaya sedang bercuti, justeru pasti ada pelajar anak Kedah yang akan 'menjenguk' Baling.

Wajib saya rakamkan di sini bahawa ramai pemimpin Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya datang dari Kedah dan Kelantan. Ini kerana wilayah mereka masih ada tradisi sekolah pondok. Justeru jika muka-muka mahasiswa ini dilihat maka 100 peratus mereka akan dihalau pulang.

Bagaimana Abu Zer boleh sampai?

Kami dari Kelab Sosialis bukan sahaja bijak dalam ilmu pembelajaran di universiti, malah kami juga lincah dalam cara dan teknik menghindar dan mencium musuh. Justeru satu batu sebelum sampai ke road-block , Abu Zer telah turun dari bas.

Dia telah mengikuti jalan belukar dan masuk ke dalam sawah untuk menghindari polis dan polis hutan. Kemudian dia terus menapak ke Baling. Abu Zer melalui budi bahasa tutur katanya telah dapat menumpang di rumah petani muda beranak dua. Ini sejarah.

Mengikut Abu Zer orang-orang di Baling pada tahun 1974 memang miskin. Hujan tidak berhenti hampir satu bulan. Ekonomi Baling ialah getah dan sawah padi. Penduduk Baling 100 peratus adalah orang Melayu. Sebulan hujan ertinya sebulan tidak menoreh.

Ertinya sebulan tidak ada pendapatan. Semua duit simpanan telah kering. Penduduk miskin desa tidak ada harta untuk digadai. Maka mereka ke hutan mencari ubi gadong. Maka di sinilah muncul kesah 'orang Baling mati kebuluran'.

Hingga ke hari ini anak lelaki Iskandar Kutty akan menimbulkan kesah 'mati kebuluran' ini sebagai fitnah dari Anwar Ibrahim. 'Warga Baling mati kebuluran' – mengikut labunnya adalah fitnah yang dirancang oleh gerakan pelajar 1974 untuk memburukkan kerajaan dan United Malays National Organisation.

Dalam tulisan saya ini, saya merakamkan bahawa memang ada kematian di Baling kerana kebuluran. Mereka bulur tak makan lalu mereka makan ubi gadong yang beracun. Ini fakta yang saya pungut dari perawi sahih Abu Zer Ali anggota Kelab Sosialis.

Apa lagi yang disurah oleh Abu Zer?

Abu Zer telah menjadi tamu seorang petani muda. Malah kesampaian Abu Zer memang tepat pada waktunya. Abu Zer sempat bersama melihat bagaimana warga miskin desa telah disusun untuk keluar beramai-ramai berdemo. Mengikut Abu Zer dia ternampak 'aktivis kampung' ke hulu ke hilir berbasikal dan bermotor menjemput orang ramai untuk keluar berdemo.

Sejarah telah merakamkan bagaimana ribuan penduduk Baling, Sik, Sungai Petani, Tikam Batu telah keluar berdemo. Di sini saya wajib dibetulkan jika fakta saya salah. Mengikut ingatan saya demo besar ini ialah pada Jumaat 29 November minggu akhir.

Dari surah Abu Zer dan dari gambar-gambar sejarah kita telah melihat bagaimana ribuan warga miskin desa – yang tua, muda, kanak-kanak, lelaki dan perempuan telah turun ke jalan raya.

Mereka membuat sepanduk dengan kertas kotak. Tidak ada kain rentang. Tapi yang jelas tertera dari sepanduk mereka ialah keberanian mereka turun ke jalan raya melawan. Orang kampung telah berani memperlihatkan kegagalan dasar pembangunan kampung United Malays National Organisation.

Mereka berarak membawa sepanduk dari kampung masing-masing menghala ke padang pejabat kerajaan. Mereka menuntut harga getah dinaikkan. Mereka menuntut hak mereka untuk mendapat bantuan. Berita tunjuk perasaan Baling 74 ini tidak dilaporkan oleh RTM, Utusan atau Berita Harian . Semua media milik United Malays National Organisation telah tutup mulut.

Pada hari yang bersejarah itu, Abu Zer Ali ahli Kelab Sosialis telah bersama ribuan warga Baling berdemo. Malah Abu Zer bukan sahaja memerhati dan melihat tetapi turut sama membantu menyusun tunjuk perasaan Baling 1974.

Di padang pejabat kerajaan ribuan penduduk menunggu. Orang-orang kampung telah difahamkan bahawa ada 'orang besar' dari Kuala Lumpur akan datang. Polis, polis hutan dan tentera telah siap sedia. Mukhabarat Special Branch berkeliaran untuk memahami apa yang sedang terjadi.

Suasana menjadi tegang kerana yang ditunggu tak kunjung sampai. Tiba-tiba dari jauh sebuah helikopter kedengaran menuju ke arah padang. Siapa yang dibawa oleh helikopter ini?

Bersambung...


Bahagian I : Sejarah Baling

Bahagian 2 : Baling Nov/Dis 1974

Bahagian 3 : Baling 1974-2014

ADS