Malaysiakini telahpun menyambut ulang tahunnya yang kelima. Majlis makan malan bagi menyambut "birthday" itu telah diadakan di Hotel Flamingo, Ampang pda 27 November lalu. Khabarnya meriah dan penuh bermakna.

Sayang sekali penulis tidak dapat menghadirinya kerana mempunyai komitmen lain. Namun majlis itu sebenarnya amat bermakna bagi penulis. Maklumlah detik bersejarah itu juga bermakna kolum TANAHAIRKU sudah hampir mencapai usia lima tahun.

Lima tahun bagi usia manusia mungkin masih terlalu mentah, baru setahun jagung. Namun bagi sebuah lamanweb berita yang bebas, ia adalah satu sejarah yang panjang, penuh berliku. Mungkin kemampuan malaysiakini bertahan hingga sekarang juga merupakan satu rekod dunia!

Di negara kita, tidak perlu dipertikaikan lagi, tiada yang lebih unggul dari malaysiakini . Memang ada lamanweb berita muncul seiring dengan malaysiakini beberapa tahun lalu, contohnya Agenda Malaysia.com dan Detik Daily.com , namun mereka tidak bertahan lama.

Begitu juga pelbagai lamanweb lain yang muncul bagai cendawan selepas hujan ketika musim reformasi sedang galak. Mahafiraun , Mahazalim , Teranungkite dan sebagainya, sekadar dapat bertahan setahun dua, lepas itu lenyap ditelan masa.

Sebagai kolumnis yang sudah bersama malaysiakini sejak dari awal lagi, penulis menyaksikan dan merasakan sendiri jatuh bangun lamanweb ini. Perintis yang masih kekal ialah Steven Gan dan Premesh Chandran. Fathi Aris yang gagah menulis dan mengkritik dulupun sudah mengundurkan diri. Ein Azmi dan Susan Loone juga sudah mencari kerjaya lain.

Para wartawan dan editornya datang dan pergi, namun malaysiakini terus bertahan. Lamanweb itu terus hidup bukan kerana populariti nama para pertugasnya. Ia bertahan dan terus dilayari kerana kredibilitinya.

Kebebasan media

Sebenarnya, pada awal kelahirannya, tidak ramai yang percaya malaysiakini boleh kekal hingga ke hari ini. Malah, penulis juga berasa sangsi kerana bukan mudah bagi sebuah lamanweb berita bebas untuk kekal di negara ini.

Kita semua tahu pada era Tun Dr Mahathir Mohamad dulu, kebebasan media agak terhad. Lebih-lebih lagi ketika gelombang reformasi sedang kuat dan pengaruh kerajaan sedang meleset. Media yang bersikap seimbang dan lantang dengan mudah dikuburkan.

Ancaman dari pihak berkuasa sentiasa menggugat kewujudan malaysiakini . Walaupun Kementerian Dalam Negeri tidak boleh bertindak menarik permit sebagaimana yang dikenakan ke atas media cetak atau eletronik, namun pelbagai undang-undang lain boleh dikenakan ke atas lamanweb ini.

Malaysiakini telah melalui pelbagai dugaan hingga diserbu pihak poils dan dirampas peralatan komputernya. Tekanan dan tindakan itu dilihat sebagai usaha untuk melumpuhkan media alternatif ini.

Selain itu, kesangsian juga timbul terhadap kekuatan sumber kewangan malaysiakini . Apakah sumber pendapatannya, sedangkan kos pengendaliannya agak tinggi. Gaji para pekerja perlu dibayar, sewa pejabat mesti dilunasi setiap bulan dan pelbagai kos penylenggaraan serta bil perlu dibayar.

Tetapi segala isi kandungan malaysiakini dihidangkan secara percuma kepada para pembaca. Di samping itu, tiada iklan memasuki lamanweb ini.

Jadi di mana sumber kewangannya untuk terus bertahan? Tidak hairanlah mengapa banyak pihak bersikap sinis terhadap masa depan malaysiakini ketika itu. Malah, kalangan pemimpin negara ketika itu juga berpendapat malaysiakini tidak akan mendatangkan impak kepada masyarakat kerana usianya tidak akan panjang.

Sumber maklumat dipercayai

Namun, berkat sumbangan dan sokongan pelbagai pihak dan pelabur, lamanweb kesayangan anda ini dapat bertahan. Malah, kini malaysiakini melangkah ke tahun kelimanya dengan gagah dan yakin. Ini ditunjukkan dengan keberaniannya mengenakan bayaran untuk para pembaca melayari isi kandungannya.

Sokongan pembaca terhadap dasar "bayar untuk baca" ini amat menggalakkan. Ia dapat dilihat dengan jumlah "hits" yang telah mencapai lebih 200 ribu setiap hari. Jelas sekali sikap pembaca sudah berubah, mereka sanggup membayar asalkan berita dan rencana yang dihidangkan berbaloi untuk dibaca.

Kini malaysiakini bukan lagi dipandang sebagai "media picisan". Keberanian dan kredibilitinya telah menyebabkan suara dan pandang yang diutarakannya dipandang serius oleh pelbagai pihak, termasuk kerajaan.

Walaupun kerajaan masih enggan mengisytiharkan malaysiakini sebagai sebuah media eletronik nasional (kerana sehingga kini para petugas malaysiakini masih tidak diberikan kad akhbar oleh Jabatan Penerangan), namun bagi khalayak pembaca Malaysia, lamanweb ini adalah satu sumber maklumat yang sangat dipercayai.

Malah melayari malaysiakini bagi sebahagian pembaca yang "intelligent" adalah satu kemestian setiap hari. Hidup dirasakan tidak lengkap jika tidak menatapinya saban malam. Malaysiakini pasti akan menyambut ulang tahunnya yang ke-10 lima tahun lagi, selagi ada sokongan para pembaca yang bijaksana.

Beramai-ramai kita ucapkan selamat panjang umur kepada malaysiakini dan semua para pendukungnya.