Islamkah demokrasi?
Saya tertarik dengan perbincangan mengenai Islam dan demokrasi antara Sri Bunian, Raja Petra dan Nik Nazmi Nik Ahmad. Rasanya taktik Raja Petra yang juga editor Malaysiatoday untuk "memprovokasikan pemikiran dan perbincangan" telahpun menampakkan kesannya.
Saya tertarik dengan perbincangan mengenai Islam dan demokrasi antara Sri Bunian, Raja Petra dan Nik Nazmi Nik Ahmad. Rasanya taktik Raja Petra yang juga editor Malaysiatoday untuk "memprovokasikan pemikiran dan perbincangan" telahpun menampakkan kesannya.
Rencana ini ditulis kerana digalakkan oleh sikap Saudara Khalid Jaafar yang begitu mementingkan kekuatan akal manusia dan bersandar kepada realiti zaman kini, berbanding dengan hujah-hujah dogmatik yang sering dipaparkan, seperti yang terkandung dalam wawancara beliau dengan UmmahOnline Team , yang akan saya bincangkan pada minggu depan.
Sri Bunian (Islamkah Demokrasi? Laman M@rhaen, 9 Januari 2005) menggunakan dalil-dalil al-Quran untuk membuktikan bahawa Islam dan demokrasi adalah dua sistem yang bukan sahaja berbeza, malahan bercanggah antara satu sama lain, kerana:
Kebenaran yang hakiki adalah yang datang dari Allah s.w.t., bukan kerana sokongan majoriti;
Demokrasi yang bersandar kepada sokongan majoriti sering menghalalkan apa yang diharamkan Allah s.w.t. dan mengharamkan apa yang dihalalkan Allah s.w.t.;
Hak menentukan hukum adalah hanya milik Allah, sementara demokrasi membenarkan penggubalan undang-undang mengikut kesesuaian dan kemahuan manusia;
Bagi demokrasi, rakyat yang memilih pemimpin, Islam sebaliknya menggariskan bahawa setiap pemimpin adalah dipilih oleh Allah s.w.t. yang diamanahkan untuk membimbing rakyat berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadith.
Nasionalisme
Raja Petra (Is Democracy Islamic? Malaysiatoday , 10 Januari 2005), pada pokoknya bersetuju dengan Sri Bunian bahawa Islam dan demokrasi tidak dapat diselaraskan, malah berpendapat bahawa nasionalisme yang merupakan asas perjuangan Umno, juga bertentangan dengan ajaran Islam.
Namun demikian, beliau tetap berpendapat bahawa Muslim Malaysia yang kebanyakannya anti-Barat, anti-Amerika, anti-Eropah, dan anti segala-gala yang bukan-Islam, tetap memilih Sistem Westminster British sebagai sistem politik negara kita.
Sebaliknya pula, Nik Nazmi Nik Ahmad (Demokrasi dan Islam tidak semestinya bertentangan, Laman M@rhaen , 10 Januari 2005) berhujah, meskipun Islam tidak mensyariatkan demokrasi secara spesifik, namum tidak salah untuk menerima demokrasi berasaskan kepada ciri-ciri berikut:
Ia membolehkan pergantian pimpinan dilakukan secara aman dan diterima oleh majoriti rakyat;
Demokrasi merupakan cara lazim yang digunakan untuk memenuhi konsep musyawarah yang dipentingkan oleh Islam; dan
Demokrasi yang merupakan nilai dominan dunia sekarang boleh disesuaikan dengan Islam yang sentiasa mengikut peredaran zaman.
Mengenai dilema bila kehendak majoriti bertentangan dengan kepentingan syarak, Nik Nazmi berhujah bahawa konsep keluhuran undang-undang dan juga konsep mempertahankan nilai-nilai hak asasi manusia agar golongan majoriti tidak boleh menindas dan menzalimi golongan minoriti telah diwujudkan.
Kaedah konvensional
Dalam 'Penjelasan mengenai "Islamkah Demokrasi"'(Malaysiatoday, 13 Januari 2005), Sri Bunian mengkategorikan Raja Petra dan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam golongan yang 'tidak yakin' bahawa Islam itu boleh memerintah.
Beliau menganggap sikap mengesyaki kemampuan politik Islam adalah prejudis, kerana mengikut logik akal, bagaimana boleh kita katakan sesuatu makanan itu tidak sedap sebelum kita merasainya?
Selain mengulangi prinsip-prinsip utama seperti yang dihujahkan dalam rencana pertama, Sri Bunian juga menyebut tentang kegagalan kaedah-kaedah konvensional (demokrkasi-kapitalis-komunis-sosialis) dalam mengurus sistem kehidupan manusia dan perlunya kembali kepada politik Islam, tetapi terlalu lemah dalam mempromosikan "produk politik Islam", terutamanya dalam konteks realiti, untuk meyakinkan bahawa politik Islam sanggup berjaya di mana kaedah-kaedah konvensional gagal.
Beberapa pandangan blogger yang menyertai perbincangan terbabit, juga amat memprovokasikan pemikiran, umpamanya seorang 'anonymous' bertanya: Malaysia dan Turki adalah segelintir negara sekular dan demoktratik dalam dunia Islam, dan kebetulan juga merupakan yang paling progresif dalam dunia Islam. Adakah Islam menentang pembangunan yang progresif dalam sesebuah negara?
Beliau juga tanya: Mengapa sebahagian besar orang Islam hidup di bawah pemerintahan autoritarian atau hidup dalam negara Islam yang mengamalkan pemerintahan beraja atau ulama yang menyekat kebebasan. Adakah kita menamakannya sebagai satu bentuk sistem pemerintahan Islam? Adalah Islam menentang kebebasan untuk membuat pemilihan?
Kita tidak dapat menafikan adakalanya kebenaran mungkin berada pada minoriti, dan suara terbanyak adakalanya juga boleh salah. Namun kita juga harus mengaku bahawa dalam proses membuat keputusan, bersandar kepada suara terbanyak melalui mesyuwarah biasanya lebih munasabah daripada keputusan minoriti yang dipaksakan.
Kepada umat Islam, sungguhpun konsep "kebenaran hakiki" yang berpunca daripada Allah seperti yang tertera dalam al-Quran dan al-Hadith tidak dapat dipertikaikan, namun mengikut Sri Bunian: "Nabi telah berpesan kepada umatnya bahawa di akhir zaman kelak, terdapat 77 golongan umat Islam, hanya satu golongan sahaja yang selamat. Golongan yang selamat itu ialah golongan yang menjadikan al-Quran dan al-Hadith sebagai panduan hidup."
Saluran demokrasi
Jangankan 77 golongan, 7 golongan pun sudah mencukupi untuk mengelirukan umat Islam, kerana setiap golongan tentu cuba dengan sedaya upaya untuk berlagak sebagai "Yang Terpilih" oleh Allah untuk membimbing umatnya berpandukan al-Quran dan al-Hadith.
Dengan kata lain, seorang diktator atau segelintir manusia yang zalim dan gilakan kuasa juga berpeluang untuk "dipilih"sebagai pemimpin negara, bertentangan dengan kepentingan umat Islam pada keseluruhannya. Bukankah ini lebih bahaya dan memudaratkan?
Pemimpin yang dipilih Allah (padahal oleh segelintir manusia atau minoriti atas nama Allah) terpaksa diterima kerana "Yang Terpilih" sekaligus memiliki legitimasi yang tidak dapat dipersoalkan dan ciri maksum yang berpunca daripada Allah; sedangkan pemimpin yang dipilih oleh suara terbanyak masih ada kemungkinan ditumbangkan menurut saluran demokrasi yang sama, kerana pemimpin yang terpilih juga manusia biasa yang boleh dicabar dan digantikan.
Bagaimanapun, Sri Bunian bersetuju dengan Nik Nazmi bahawa perubahan yang hendak dilakukan mesti secara evolusi bukan secasra revolusi untuk mengekalkan keamanan dan terus mendapat sokongan ramai terutama dari rakyat yang bukan Islam.
Namun, saya amat sangsi sistem politik Islam seperti yang diinterpretasikan Sri Bunian dapat diterima masyarakat bukan-Islam, sekiranya ia menafikan nilai demokrasi yang menghargai suara terbanyak serta nilai-nilai keluhuran undang-undang dan hak-hak asasi manusia.
Jelas juga sistem politik Islam seperti ini tentu tidak bersesuaian dengan masyarakat kita yang majmuk dan selama ini, menghargai nilai-nilai demokrasi, keluhuran undang-undang dan hak-hak asasi manusia, tanpa mengira kaum agama atau apa corak ideologi politik.

