Saya masih ingat lagi pada satu ketika dahulu di zaman kanak-kanak. Ada satu tahun musim buah gagal sampai ke kampung saya. Ketika itu saya dalam darjah tiga atau empat. Pada ketika itu kami anak-anak sekolah tidak tahu menahu tentang Jelebu - wilayah kampung kami - sebagai daerah yang paling panas dan kering di Malaysia.

Bila musim buah tak sampai, bila durian, manggis dan langsat tidak muncul-muncul, maka kami anak-anak sekolah mula bersembang. Pendapat dan pandangan yang pastinya kami pungut daripada emak atau abah atau datuk dan nenek. Pendapat paling meyakinkan saya ketika itu ialah musim buah gagal sampai ke kampung kami kerana Datuk Undang Jelebu belum dilantik. Ditakdirkan ketika itu kerusi Undang Jelebu kosong.

Datuk Mendeka Menteri Akhir Zaman Undang Luak Jelebu ketua adat yang pada anggapan kanak-kanak pastilah memiliki kuasa atau ‘komat’ untuk membawa musim buah. Malah jika musim buah lumayan atau padi melimpah ruah maka semuanya pada anggapan kami kerana Datuk Undang berjaya menjaga daerah kami dengan baik.

Pada tahun 2016 ini - ketika panas sedang menyerang - masih ada sosok-sosok yang memberi jawapan bahawa perubahan cuaca ini adalah kerana maksiat semakin menjadi-jadi dalam negara kita. Ketika banjir besar melanggar Kelantan tahun lalu, kita terdengar juga hujah sedemikian. Bukan muncul dari mulut budak sekolah tetapi dari yang alim lagi berani mengaku ulama.

Hujah-hujah sedemikian sama tarafnya dengan hujah budak sekolah darjah tiga lima puluh tahun dahulu. Hujah hampeh yang tidak membawa apa-apa makna jika terkeluar dari mulut sosok dewasa yang berfikrah.

Pada tahun 2016 kita wajib memiliki kesedaran yang lebih ilmiah untuk memahami kenapa cuaca berubah. Menyalahkan maksiat atau sumpahan jin atau sumpah Mahsuri atau semua bala dihantar oleh Yang Maha Esa adalah jawapan karut. Jawapan sedemikian tidak memberi apa-apa pencerahan dan manafaat kepada umat manusia. Jauh sekali dapat menyelesaikan masalah.

Satu perkara yang wajib kita semua terima pada ketika ini: cuaca dunia telah berubah. Panas yang sampai ke wilayah kita ini akan berterusan. Pada tahap ini belum dapat dilihat bahawa cuaca yang dahulu akan kembali. Panas yang ada hari ini berkemungkinan akan menjadi lebih panas dan ganas.

Satu lagi perkara yang amat penting yang wajib kita semua terima ialah cuaca ini berubah bukan kerana ‘komat’ Datuk Undang Jelebu atau kerana maksiat atau kerana bala dari Tuhan.

Pada bulan Febuari 2016 yang lalu telah dicatat satu rekod kepanasan dunia semenjak bumi manusia ini wujud. Cuaca panas inilah yang sedang membawa bencana kepada umat manusia.

Kemarau telah dan sedang berlaku di beberapa negara - di India, Somalia, Siam dan Uganda. Malah di Palau di Lautan Teduh telah juga diserang kemarau.

Di Amerika, Sungai Colorado mulai susut. Di Carlifornia banyak telaga air kering. Di Eropah Tengah kemarau berpanjangan. Di Honduras Amerika Latin juga sedang mengalami kemarau.

EL-Nino, La Nina bertembung

Sungai Zambezi adalah sungai terpenting di Afrika. Sungai sepanjang 2,574 kilometer ini bermula di Zambia melintasi Angola, Namibia, Botswana, Zimbabwe dan Mozambique sebelum masuk ke Lautan Hindi. Sungai Zambezi ini begitu penting kerana ia mewujudkan lembah pertanian subur seluas 1,390,000 kilometer persegi. Ini lembah makanan Afrika. Sungai Zambezi ini untuk pertama kalinya dalam masa 30 tahun telah susut.

Manakala di Asia Tenggara, lembah selatan Sungai Mekong Vietnam yang menjadi wilayah sawah padi telah mengalami kemarau. Sungai Mekong telah juga susut pertama kali semenjak tahun 1926.

Semua berita kemarau dan keadaan cuaca yang saya tulis di atas berlaku pada bulan Februari hingga April 2016 ini. Pada bulan yang sama juga untuk pertama kali dalam sejarah Malaysia, sekolah-sekolah telah ditutup di Kedah dan Perlis kerana panas.

Lima enam tahun yang lalu, sebelum panas tahun ini menyerang, kita selalu mendengar nama El-Nino disebut-sebut. Akhbar ada melaporkan kesampaian El-Nino yang akan membawa panas. Ramai juga Pak Menteri menyebut-nyebut hal ini. Saya tidak tahu sama ada ini hanya retorik politik yang mereka hamburkan apabila melihat kampung-kampung mulai kering kontang. Tetapi panas lima tahun dahulu tidak sepanas minggu ini. Justeru lima tahun dahulu tidak ramai yang ambil pot tentang El-Nino.

Justeru menjadi amal jariah kepada saya untuk memberi pencerahan tentang EL-Nino dan panas. Saya berharap anak semua bangsa mulai sedar kenapa kita dibakar dan apa yang sedang membakar kita semua. Dan kenapa dunia terbakar. (Malah untuk saya - sebelum saya ke penjara - inilah jihad saya untuk memberi pencerahan seberapa yang boleh.)

El-Nino ini ialah udara panas yang membawa pemanasan air di permukaan Laut Teduh atau laut Pasifik di bahagian Khatulistiwa. Kawasan air laut panas ini termasuk ke Laut Teduh di wilayah Amerika Latin. El-Nino ini bahasa Sepanyol - nama untuk Nabi Isa dari Nazareth yang baru dilahirkan. El-Nino membawa udara panas sebelum Hari Krismas menyusul.

Pemanasan air laut ini menolak udara panas naik ke atas dan menjemput udara sejuk yang dipanggil La Nina. La Nina ini anak kecil perempuan dalam bahasa Sepanyol. La Nina membawa udara sejuk berlawanan dengan El-Nino yang membawa panas.

EL-Nino dan La Nina ini bertembung. Pertembungan ini melahirkan satu perubahan cuaca. Pengaruh dari tekan ini membawa tambahan hujan, seperti banjir. Atau mengurangkan hujan, menjadi kemarau.

Lalu persoalan timbul, kenapa Laut Teduh menjadi panas?

Laut Teduh menjadi panas kerana wujudnya pemanasan dunia. Kenapa wujud pemanasan dunia atau global warming ? Inilah persoalan yang wajib kita tanya setiap saat apabila kita berhadapan dengan panas, kemarau atau banjir. Apa telah berlaku?

Pemanasan dunia ini berpunca daripada udara karbon diosida ( C02) yang sedang menutup ruang atmosfera kita. Semenjak kun fi ya kun, semenjak alam ini wujud, CO2 telah wujud sama. CO2 lahir dari dedaun, haiwan dan proses fotosintesis tanaman. fotosintesis proses dedaunan melalui cahaya matahari siang menyedut C02. Udara C02 yang disedut ini dimuntahkan di waktu malam sebagai oksigen yang kita perlukan untuk bernyawa.

Untuk sekian lama, berjuta juta bilion tahun wujud imbangan antara C02 dengan oksigen. Dunia, haiwan, tanaman dan umat manusia hidup amat permai bersama alam.

Kini imbangan itu tidak wujud lagi. Kenapa dan apa yang menyebabkan imbangan terkocak dan tidak wujud lagi. Soalan sedemikian adalah soalan falsafah, soalan politik dan soalan ekonomi.

Merayakan moderniti

Pada hemat saya keseimbangan dunia hari ini telah dirosakkan oleh fikrah manusia itu sendiri. Keupayaan manusia berfikir telah membawa kerosakan yang maha sangat kepada alam ini. Manusia satu jenis haiwan yang memiliki akal fikiran. Haiwan ini ingin tahu semua hukum-hukum alam. Haiwan ini berpendapat dengan mengetahui hukum alam maka alam akan dapat ditundukkan untuk keselesaan perjalanan hidup umat manusia.

Mengenal dan mengetahui hukum hukum alam ini dan kemudian berusaha untuk menundukkan alam menjadi satu pedoman. Ini dikenali sebagai moderniti. Falsafah moderniti inilah yang sedang membawa porak peranda kepada kita semua sekarang ini.

Kalau dahulu C02 hanya datang dari tumbuhan-tumbuhan. Hari ini C02 telah bertimbun dan bergantang gantang keluar dari pembakaran fosil. Apa itu fosil? Fosil adalah bahan haiwan dan tumbuhan yang telah berjuta-juta tahun terkambus dan tersimpan dalam perut bumi ini. Fosil ini telah menjadi arang batu atau minyak petroleum.

Penemuam arang batu sebagai bahan bakar telah boleh membakar air untuk mewujudkan wap telah berlaku 200 tahun dahulu. Wap pula boleh menggerakkan enjin. Ini satu penemuan moden.

Pada awal penemuan pembakaran arang baru manusia tidak mengetahui apa yang akan terjadi 200 tahun kemudian. Ketika itu manusia bergembira kerana dapat bergerak dengan pantas ke wilayah yang jauh. Manusia ada kereta dan kereta api. Ini tanda utama moderniti.

Kemudian bahan bakar petroleum ditemui. Ini 150 tahun dahulu. Petroleum juga adalah fosil. Dengan penuh kegembiraan manusia sekali lagi menyambut kedatangan petrol untuk mengambil alih peranan arang. Moderniti dirayakan.

Bahan bakar petroleum adalah menjadi asa tamadun moden. Malah tamadun kita hari ini adalah tamadun petroleum. Hari ini kehidupan manusia moden adalah kehidupan petroleum. Apa sahaja yang kita usik, apa sahaja yang kita pakai, apa sahaja yang kita gunakan, semuanya berasaskan bahan bakar petrol. Dari berus gigi hingga ke hidangan makanan yang kita nikmati, semuanya berasaskan bahan bakar petrol.

Fosil dibakar - apabila arang batu atau minyak petrol dibakar untuk dijadikan tenaga. Keluar bersama tenaga ialah C02.

Pada tahun 2016 keseimbangan sedutan oleh dedauan terhadap C02 tidak dapat berlaku lagi. Deduan , pokok tumbuhan dan hutan yang bertanggungjawab membersihkan dan menukar C02 untuk menjadi oksigen semakin berkurangan. CO2 yang dikeluarkan kerana pembakaran fosil bertambah berkali ganda. Manusia kini hidup dalam rumah kaca. Yang memagari kita ialah C02.

Data pada tahun 2014 menunjukkan dalam dunia kita hari ini telah wujud dua bilion kereta. Ini data tahun 2014. Saya tidak tahu berapa tambahan telah berlaku dalam masa dua tahun ini. Di Malaysia, berdasarkan laporan portal MotorTrader sahaja terdapat 21.25 juta jenis kereta bermotor yang telah berdaftar.

Kegilaan manusia - anak semua bangsa untuk berkereta - tidak puas-puas. Obsesi manusia dengan kereta tidak padam-padam. Ini tanda moderniti. Akhirnya di Malaysia Kancil tidak lagi tinggal dalam hutan. Kelisa tidak lagi bernafas dalam air.