Rayuanku sempena Hari Bumi

Opinion  |  Rahmat Haron
Diterbitkan  |  Dikemaskini

Manusia hidup berwujud dengan meneruskan kelangsungan hayat badan dan juga ingatannya. Naluri hidup itu telah membawa kita sampai ke hari ini. Manusia hidup dengan beradaptasi terhadap persekitarannya.

Tetapi sejarah manusia turut menunjukkan manusia boleh melakukan perkara yang berlawanan dengan nalurinya untuk hidup. Perkembangan ekonomi, sains teknologi, perindustrian, perbandaran dan pembangunan yang tidak mapan dan tidak mesra alam telah menjadikan kita sampai ke tahap kritikal kelangsungan hidup manusia.

Perubahan cuaca bukan lagi dongengan manusia-manusia paranoia. Ia hakikat yang perlu diterima dan dihadapi – terutamanya buat generasi akan datang.

Di Malaysia kita telah mengalami cuaca mendung dan panas yang luar biasa. Saban tahun, banjir dan kemarau, hujan dan jerebu silih berganti.

Ya, Hari Bumi telah pun pergi, pada 22 April yang lalu. Boleh dikatakan hampir tiada sambutan peringkat nasional, mahupun setempat di Malaysia.

Kira-kira 30 tahun lepas, pada 26 April 1986 berlaku malapetaka alam sekitar buatan manusia di Chernobyl, Ukraine. Reaktor nuklear di bandar Pripyat, Ukraine (ketika itu bawah Soviet Russia) meletup. Ia menyebabkan kira-kira 300,000 orang kehilangan tempat tinggal dan menyebarkan racun radioaktif – santau yang tidak berbau, berasa dan nampak dek mata kasar – ke seluruh Eropah.

Lima tahun yang lalu pula, loji nuklear Fukushima di Jepun mengakibatkan ratusan ribu warga kehilangan tempat tinggal, penghidupan dan berdepan risiko kesihatan akibat santau radioaktif.

Menurut satu kenyataan NGO Greenpeace , malapetaka nuklear Chernobyl melepaskan racun radiasi sebanyak seratus kali ganda daripada kesan bom atom yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki.

Pulau sampah

Jutaan orang mendapat akibatnya. Manakala ribuan lagi masih menanggung kesannya yang jelas dan menyakitkan.

Kenyataan Greenpeace itu juga memetik para ahli ekonomi dan saintis yang memperakui tenaga nuklear merupakan sumber elektrik yang paling mahal. Ia mengambil kira perbelanjaan membina, mengendalikan dan menutup satu-satu stesen tenaga nuklear.

Namun demikian analisa ekonomi semata tidak dapat mengira kerugian akibat kerosakan yang dilakukan santau radioaktif terhadap genetik manusia sebagai asas penghidupan dan kelangsungan hayatnya.

Tenaga nuklear bukanlah penyelesaian terhadap masalah perubahan cuaca akibat pemanasan global buatan manusia ini.

Tenaga nuklear sangat bergantung kepada subsidi kerajaan yang besar. Ia memperlahankan revolusi tenaga lestari, boleh diperbaharui, bersih dan mesra alam sebagai jawapan terhadap masalah perubahan cuaca ini.

Ya, hari bumi telah pun pergi, pada 22 April yang lalu. Hari itu, saya menonton dokumentari yang dibuat Vice.com , tentang kewujudan kepulauan sampah di lautan Pasifik.

Pulau sampah yang berpunca daripada sampah-sampah bertoksik dan plastik yang tidak boleh dikitar semula yang dibuang manusia ke laluan air, mengalir ke laut, lantas dibawa arus berkumpul membentuk pulau sampah yang cukup luas.

Bayangkan pulau sampah – kebanyakannya plastik – seluas negara Turki, lebih 300,000 batu persegi. Bayangkan kesannya terhadap rantaian hidupan dan alam sekitar, kepada kita juga. Bukankah ini kezaliman? Kezaliman kita semua juga.

PM, tolonglah bersara

Saya sendiri, meski masih lagi belum sepenuhnya bebas guna plastik, akan cuba untuk menjadi pengguna plastik yang paling sedikit – seboleh-bolehnya akan cuba untuk mengitar dan guna semula plastik.

Tetapi tidak semuanya khabar buruk untuk hari-hari depan kita. Keindahan alam akan hadir dengan kebahagiannya pada masa akan datang, jika kita sanggup mengorbankan gaya hidup kepenggunaan kita sekarang.

Saya sedar telah hampir dua penggal kerajaan negeri Selangor membuat peraturan bebas guna plastik beg pada setiap hari Sabtu.

Kerajaan pusat pula melalui Dasar Teknologi Hijau mensasarkan pembangunan dan aplikasi produk, peralatan dan sistem yang dapat memelihara alam sekitar dan semulajadi.

Misalnya Akta Pembangunan Tenaga Lestari 2011 , mengenakan caj tambahan terhadap para pengguna dengan bil elektrik yang mencecah RM77 dengan kadar penggunaan 300 kW ke atas. Caj ini menjadi dana pembangunan tenaga lestari dalam Kumpulan Dana Teknologi Lestari.

Manakala kerajaan negeri Johor dan Perak pula mengambil langkah radikal dengan mengharamkan langsung penggunaan plastik dan polisteren.

Ini bermakna, bukanlah tidak ada langsung langkah-langkah dan tindakan yang telah diambil. Tetapi ia belum cukup kuat untuk berlakunya perubahan drastik ke arah pemuliharaan alam sekitar yang punah-ranah ini.

Di sebalik sikap sinis saya terhadap masalah rasuah, salah guna kuasa dan kezaliman pemerintahan, saya masih memasang impian lahirnya suatu kesedaran bercahaya di peringkat elitnya.

Kita perlukan penguatkuasaan dan iltizam politik yang kuat daripada kepimpinanan pihak berkuasa negara ini yang berencam darjat dan lapisannya – raja-raja dan bangsawan, perdana menteri dan parlimen, agamawan dan institusinya, kapitalis dan perniagaannya, undang-undang dan peraturan, keluarga dan orang-orang tuanya.

Sebagaimana yang kita sedia maklum kepatuhan rakyat Malaysia terhadap pihak berkuasa sangat tinggi.

Keikutsertaan dan penurutan rakyat umumnya tidak berbelah bahagi terhadap Tuhan, raja-raja dan bangsawan, pemimpin parti, ketua-ketua agama, pengarah-pengarah korporat, jabatan, kelab dan keluarga.

Terlalu banyak beban penanggungan penyerahan dan kepatuhan diri. Inilah ikatan feudal pentadbiran pasca kolonial yang secara umumnya mendasari pembudayaan masyarakat kita hari ini.

Namun aspek pembudayaan masyarakat ini dapat berperanan untuk membantu menyelamatkan alam sekitar, jikalau berlaku perubahan kesedaran besar-besaran di kalangan para pemegang amanah kekuasaan – negara, kerajaan, agama, wang, kekayaan, pengetahuan, masyarakat dan keluarga.

Ya, Hari Bumi telah pun pergi, pada 22 April yang lalu. Kepada PM Najib Razak, saya juga merayu, cukup-cukuplah, tolonglah bersara. Jasa, sumbangan dan pengorbanan anda terhadap dunia amat besar sekali.

Lynas untuk panel solar. Bauksit untuk aluminium ganti plastik. TPPA kononnya untuk penyelarasan undang-undang alam sekitar. Tanah rel KTMB sebagai peparu hijau kota Singapura. 1MDB dan pelaburannya yang lebur.

Memandangkan negara Malaysia ini sebenarnya dimiliki raja-raja Melayu dan para bangsawannya, para pemimpin Umno dan kerajaannya, saya juga merayu, cukup-cukuplah pembalakan hutan dilakukan.

Kerana kita sudah tidak punya hutan lagi, yang tersisa hanyalah taman-taman Negara yang masih berlaku pencerobohan. Jangan dibiarkan waktu berlalu dengan dirugikan begitu sahaja, bertindaklah. Dunia ini milik kamu.