Kebimbangan mereka ada sebab. Mereka bimbang kerana (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) bukan pilihan Pak Lah yang sebenar. Justeru itu dia dihantui oleh Najib yang dianggapnya mempunyai agenda tersendiri untuk memburu kuasa dan menjadi bakal Perdana Menteri.

Baru setahun menjadi Perdana Menteri, Pak Lah dibuai gelisah kerana dia merasakan Najib hanya menunggu ketika yang baik untuk mencabar kepimpinannya. Kalau tidak pada tahun 2007, barangkali pada 2010 untuk pemilihan pucuk pimpinan Umno kelak.

Tidak dinafikan Pak Lah lebih lama berkecimpung dalam Umno dari Najib dan mempunyai pengalaman luas di bidang pentadbiran sebelum melangkah menjadi orang politik. Bapa Pak Lah juga orang politik yang terkenal di Pulau Pinang dan merupakan salah seorang pengasas Umno. Ahmad Badawi, bapa Pak Lah, yang menetapkan hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Seperti Najib, Pak Lah juga hidup dalam lengkungan politik Umno sejak kecil lagi. Berbeza dengan Pak Lah, Najib anak Perdana Menteri walhal Ahmad Badawi hanya menjadi anggota exco kerajaan Pulau Pinang dan pernah menjadi pemangku Ketua Menteri Pulau Pinang sekali.

Melihat dan latarbelakang keluarga nyatalah Najib mempunyai pengalaman dan asas kepimpinan yang baik dan bapanya. Tun Razak bukan saja menjadi seorang pemimpin yang dihormati ramai tetapi terkenal kerana kegigihannya memperjuangkan orang Melayu agar orang Melayu tidak menjadi pengemis di tanah air mereka sendiri. Najib banyak belajar dari bapanya. Dia tahu sepak terajang politik. Dia tahu mainan politik Umno.

Dia sendiri menjiwai perjuangan bapanya; dari Tengku Razaleigh Hamzah beliau banyak mempelajari liku-liku dunia korporat. Ku Li menjadi orang kepercayaan Tun Razak di bidang korporat dilantik sebagai pengerusi Bank Bumiputra, Pernas dan Petronas. Najib pada mulanya bekerja di Petronas selepas kembali dari Britain di mana beliau mendapat ijazah di bidang ekonomi. Ilmu dan pengalaman hidup yang diperolehi dari kedua sumber menjadikan Najib seorang pemimpin muda yang penuh keyakinan diri bila melangkah masuk ke dalam gelanggang politik.

Malah banyak orang berpendapat Najib mempunyai banyak persamaan dengan bapanya Tun Razak dalam segi perjuangan, komitmen untuk memajukan rakyat dan negara dan semangat mesra rakyat. Seperti bapanya Najib juga berwajah serius menyebabkan orang agak segan mendekatinya. Menurut beberapa orang yang mengenali Najib dan dekat beliau memang berwajah serius tetapi tidaklah bermakna beliau sukar ditemui rakyat.

Sebenarnya banyak pemimpin politik terhutang budi kepada allahyarham Tun Razak. Tun Dr Mahathir kembali semula dalam Umno dan diberi jawatan menteri kabinet atas ihsan Tun Razak. Memang ada persefahaman dalam perjuangan antara Tun Razak dengan Mahathir. Justeru itu Mahathir yakin Najib boleh menjadi pemimpin yang lebih berwibawa dan bakal Perdana Menteri selepas era Pak Lah.

Kini suasana politik sudah bertukar corak. Sejarah telah menentukan Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kedua-dua mereka bercita-cita tinggi. Kedua-duanya cuba mencari pengaruh di kalangan Umno agar masa depan politik mereka lebih gemilang, cemerlang dan terbilang dari sekarang. Mereka yang bergayut pada ihsan Pak Lah akan cuba memperkukuhkan kedudukan beliau. Media massa sudah dikuasai puak Pak Lah.

Namun setakat ini tidak ada usaha secara sedar untuk menggelapkan segala berita mengenai Najib.

Network Najib

Kalangan Pak Lah tidak boleh menolak kemungkinan Najib mencabar Pak Lah pada pemilihan akan datang. Masa depan Umno dan orang Melayu mesti ditentukan oleh barisan pemimpin yang bermaruah, berilmu, berwibawa dan berpandangan jauh supaya Melayu tidak menjadi seperti Lebai Malang atau Pak Kaduk menang sorak kampung halaman dan negara tergadai. Sekiranya kepimpinan Pak Lah dianggap lemah dan tidak mampu membawa perubahan yang ditunggu-tunggu rakyat, maka rakyat berhak untuk memilih pemimpin lain. Apakah tiga juta ahli Umno sanggup membiarkan parti mereka menghadapi kemurkaan rakyat dan hilang kuasa politik?

Sekiranya Umno tidak berani menukar pemimpin yang lemah dan memilih mereka yang berwibawa dan dinamik sebagai pengganti, maka janganlah salahkan bangsa Melayu kalau mereka menolak Umno dalam pilihanraya akan datang, dan memilih parti pembangkang Melayu sebagai jurubicara mereka.

Apa yang dikhuatiri Khairy sudah mengumumkan kepada dunia bahawa sebelum mencapai usia 40 tahun dia akan menjadi bakal Perdana Menteri. Mereka yang bijak berpolitik tentulah tidak menghebahkan hasrat di hati. Lain dengan Khairy. Musuh politiknya kini ialah Najib kerana Najib dianggap penghalang bagi dia meluaskan pengaruh di 191 bahagian Umno.

Tapi Najib dalam diam-diam telah lama mengatur strategi dan 'networknya' dikatakan paling baik sekali. Rakan-rakannya dalam Pemuda, sewaktu dia menjadi Ketuanya, kini sudah menjadi ketua bahagian dan setengah dari mereka mempunyai kedudukan yang baik di peringkat kerajaan Negeri dan Persekutuan. Mereka tetap setia dengan Najib kerana mereka menghormati kepimpinan dan stail politik anak Tun Razak itu. Hingga sekarang hubungan Najib dengan mereka dikatakan paling intim.

Khairy kini cuba menggunakan kedudukannya sebagai Naib Ketua Pemuda untuk meraih sokongan bagi memperkukuhkan masa depannya, dan dalam masa yang sama, membantu Pak Lah. Setakat ini dia tidak berjaya meraih sokongan yang padu kerana tindak-tanduk dan keangkuhannya menimbulkan kebencian di kalangan Pemuda, dan juga di kalangan pemimpin Umno.

Orang ramai melihat Khairy sebagai orang muda yang tidak sabar-sabar hendak menjadi pemimpin negara tanpa mengukur baju di badan sendiri. Di dalam Perhimpunan Pemuda yang dihadiri emak mentua dan isterinya, dia diboo dua kali dalarn perhimpunan itu. Demi menunjukkan para pemimpin Pemuda sendiri tidak dapat menerimanya sebagai pemimpin mereka apalagi hendak menjadi bakal Perdana Menteri.

Banyak orang berkata akibat mainan politik Khairy yang dibenci oleh kebanyakan pemimpin Umno, maka harapan Pak Lah untuk mengekalkan jawatan parti dan kerajaan melebihi dua penggal agak sulit. Malah banyak orang berpendapat Khairy adalah penyebab utama mengapa rakyat dan ahli-ahli Umno memandang serong terbadap Pak Lah. Ada orang berpendapat Najib tidak perlu mencabar Pak Lah untuk menjadi bakal Perdana Menteri. Teruskan dengan kerja-kerja yang baik, dampingi rakyat, tunaikan tanggungjawab dan jangan sekali-kali mengkhayalkan rakyat dengan janji-janji yang tidak mampu ditunaikan. Hari ini rakyat lebih cerdik dari setengah pemimpin politik. Mereka tidak boleh disogok dengan janji-janji palsu dan menerima mereka yang dianggap tidak prihatin terhadap nasib rakyat, bangsa, agama dan tanahair.

Orang ramai terlalu mengharapkan Pak Lah boleh membawa perubahan dan kemajuan yang hebat. Mereka mengharapkan beliau dapat mentafsirkan berbagai ayat-ayat suci Al-Qur'an dan Hadis Nabi untuk melaksanakan tanggungjawab yang berat sebagai pemimpin. Bukan jual janji. Bukan buat kenyataan. Bukan melalui wawancara dalam TV atau elusan-elusan dan puji-pujian dalam media massa yang menimbulkan berbagai tandatanya dan tanggapan negatif dan rakyat.

Pertindihan bidangkuasa

Pak Lah terperangkap dalam mainan politiknya sendiri. Oleh kerana dia memilih ahli-ahli kabinet yang kebanyakannya lemah, kurang wibawa dan tidak dinamik, maka kini dia juga tenggelam punca seolah-olah hilang pedoman, tanpa wawasan. Malaysia sebuah negara kecil tetapi kabinet Pak Lah mempunyai 93 orang ahlinya. Bagaimanakah hendak melicinkan pentadbiran negeri dan negara, yang cekap dan licin, kalau terlalu banyak menteri yang menguruskan perkara-perkara yang bertindih?

Menteri Penerangan menganggap pemberian lesen untuk multimedia adalah dibawah kementeriannya. Menteri Tenaga, Air dan Multimedia, Dr Lim Keng Yeik bermati-matian berkata isu lesen TV swasta adalah tanggungjawabnya, bukan Kementerian Penerangan. Dulu Kementerian pertanian bertanggungiawab tentang masalah air kerana sawah padi dan sebagainya memerlukan air yang banyak. Kini tanggungjawab mengenai air diambilalih oleh Kementerian Tenaga, Air dan Multimedia.

Oleh kerana BN mempunyai 14 parti komponen hingga sekarang, maka Pak Lah seolah-olah hendak memberi peluang dan jawatan kepada semua parti komponen supaya dia mendapat sokongan kuat dan BN tanpa memikirkan bahawa yang menentukan nasib ialah rakyat melalui undi mereka yang berharga.

Sebagai orang nombor dua dalam Umno dan kabinet Najib hanya mendengar segala kritik dan keluhan rakyat yang ditujukan kepada Pak Lah. Sebagai orang nombor dua dia tidak boleh mendahului orang pertama atau bertindak sesuatu yang ditafsirkan oleh Pak Lah dan menantunya sebagai membelakangi Perdana Menteri. Seperti Laksamana dalam hikayat Hindu purba Ramayana dia akan menjadi pengiring dan pembantu Rama. Seperti juga dengan bapanya Tun Razak yang menjadi Timbalan Perdana Menteri dalam era Tunku, beliau juga menuruti perintah dan arahan Tunku. Najib tidak mahu bertindak seperti Anwar Ibrahim yang dianggap Mahathir hendak mencabar kekuasaan dan kedudukan Perdana Menteri.

Boleh dikatakan sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Najib banyak membantu Pak Lah dalam pentadbiran negara dan politik. Tidak nampak usaha-usaha negatif, secara terang-terangan atau sebaliknya bahawa Najib merancang plot rneminggirkan Pak Lah.

Dari perbincangan saya dengan berbagai pemimpin Umno dari beberapa negeri, tidak terdapat orang menceritakan tentang rancangan sulit Najib untuk menjatuhkan Pak Lah. Kalau Najib menuruti jejak langkah Tun Razak yang memberi kesetiaan seratus peratus kepada Perdana Menteri, mengapakah diragui kesetiaan Najib?

Kebimbangan terhadap Najib ada sebabnya. (Apabila) akhirnya Mahathir sedar bahawa kritik rakyat terhadap kepimpinannya juga semakin meluas gara-gara isu Anwar. Isu mata lebam Anwar digunakan sepenuhnya oleh PAS dan Keadilan dalam pilihanraya tahun 1999 yang menjadikan PAS paling berpengaruh dan mengancam Umno. Kelantan kekal dengan PAS, Terengganu juga jatuh kepada PAS. Kedah hilang suara dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri bila Keadilan menang dalam pilihanraya kecil Lunas. Mahu tidak mahu beliau mesti memilih Timbalan Perdana Menteri menggantikannya. Mahathir tidak ada alternatif lain. Seorang Timbalan Perdana Menteri mesti diberi peluang untuk memimpin negara bilamana Perdana Menteri meninggalkan pentas politik buat selama-lamanya. Inilah tuah Pak Lah yang tidak dinikmati oleh Musa Hitam, Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim.

Setakat ini, setelah setahun menjadi Perdana Menteri, banyak orang berkata Pak Lah belum lagi memperlihatkan sesuatu yang boleh memperkasakan kewibawaan dan ketokohannya sebagai Perdana Menteri. Kini beliau sibuk memperkenalkan Islam Hadhari sebagai identiti dari kepimpinannya. Ada semacam agenda tertentu dan media massa untuk memperbesarkan sesuatu yang kecil dan remeh seolah-olah ingin menyermbunyikan kelemahan Pak Lah dari pengetahuan rakyat banyak. Rakyat juga sedar Pak Lah ingin menonjolkan menantunya sebagai penggantinya kelak dengan harapan rakyat dapat menerima Khairy sepertimana mereka menerima Pak Lah sebagai pengganti Mahathir.

Oleh kerana Khairy, menantu Pak Lah, sudah mengumumkan seluruh pelusuk alam bahawa dia bakal menjadi Perdana Menteri, maka tentulah mirnpinya itu menimbulkan berbagai reaksi di kalangan rakyat, kem Najib dan juga para pemimpin Umno serta komponen BN yang lain. Bagaimanakah seorang pernuda berusia 28 tahun yang baru empat tahun menjadi ahli Umno boleh mendabik dada akan rnenjadi bakal Perdana Menteri?

Kurang keyakinan

Pada masa ini hanya Najib yang dianggap paling layak menggantikan Pak Lah memandangkan beliau sudah menjawat Timbalan Perdana Menteri. Tentulah Pak Lah tidak akan bertindak seperti Mahathir yang menggugurkan beberapa bekas Timbalan Perdana Menteri untuk menggantikannya. Kalau Pak Lah meminggirkan Najib dan melantik menantunya sebagai Timbalan Perdana Menteri kelak, maka banyak orang meramalkan Umno akan menjadi bertambah gawat. Kestabilan politik akan terjejas. Umno akan menghadapi era kehancuran.

Mereka yang sinis berkata kalau Khairy seorang yang paling berwiba dan mempunyai sokongan meluas di kalangan Pemuda, mengapakah dia menang tanpa bertanding untuk Naib Ketua? Memang ada calon untuk Naib Ketua apabila mendengar berita awal dia tidak akan bertanding. Dia sendiri membuat kenyataan tersebut dalam akhbar. Mengapakah mereka semua menarik diri? Jawapannya rnudah. Mereka tidak mahu bersaing secara sihat dengan menantu Pak Lah. Kononnya mereka hormati Khairy yang dianggap super pintar kerana ada ijazah da Universiti Oxford! Tapi mereka yang menarik diri itu kini sudah menjadi exco kerajaan negeri, setiausaha politik dan sebagainya.

Umno tidak kurang para pemimpin yang berkeliber, berilmu, dinamik dan komited pada perjuangan Melayu dan Islam. Tetapi mereka tidak menonjolkan diri. Walaupun Najib menjadi wakil rakyat Pekan pada usia 23 tahun pada tahun 1976 di bawah pimpinan bapa saudaranya Tun Hussein Onn, namun dia tidak melonjak naik dengan cepat hingga rnencapai kedudukan sebagai Timbalan Perdana Menteri sekarang ini.

Dia pernah melalui berbagai pengalaman sebagai timbalan menteri (1976-82) sebelum dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan (1986-88), Menteri Pertahanan (1990), Menteri Pendidikan (1995), kembali menjadi Menteri Pertahanan hingga sekarang dan tahun 2004 dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Najib juga bermula sebagai Ketua Pemuda, Bahagian Pekan (1976-80). Lepas itu baru naik setakah sebagai Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan (1980-82), lepas itu sebagai Ketua Umno Bahagian Pekan (1982-88). Pada tahun 1982 Najib dilantik sebagai Menteri Besar Pahang merangkap sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang hingga 1983. Dan 1983-87 beliau menjadi Pengerusi, Badan Perhubungan Umno Pahang. Dri tahun 1978-82 beliau menjadi exco Pemuda (Kebangsaan), dan menjadi ahli Majlis Tertinggi (1981-87). Beliau menjadi Naib Ketua Pemuda (Kebangsaan) pada tahun 1986-87, dan Ketua Pemuda (1986-93).

Khairy tidak punya pengalaman yang luas serta mendalam seperti Najib. Kemenangannya sebagai Naib Ketua Pemuda tidak boleh dibanggakan kerana ia bukan pilihan para perwakilan. Dia hanya mengharapkan ihsan dan kuasa politik mertua untuk merancang agenda pribadi bagi meyakinkan ahli-ahli parti dan rakyat bahawa dia bakal menjadi Perdana Menteri 10 tahun dari sekarang.

Dia perlu diberi kedudukan sebagai Naib Ketua Pemuda tanpa bertanding kerana takut dia tidak akan mendapat sokongan yang besar di kalangan para perwakilan. Rupa-rupanya dia sendiri belum mempunyai keyakinan diri akan dipilih dengan undi terbanyak oleh para perwakilan. Tapi anak Mahathir, Mukhriz Mahathir, dengan sekali cubaan telah berjaya mendapat undi terbanyak antara calon-calon Pemuda untuk menjadi ahli exco pergerakan itu pada pemilihan kali ini.

Banyak orang berkata sekiranya Khairy seorang pemimpin muda yang berwibawa, apalagi sebagai menantu Perdana Menteri dan Datin Sen Endon Mahmood, tentulah dia dengan mudah merebut jawatan Naib Ketua. Kata orang dulu kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga. Dengan kata lain, Khairy terpaksa mendapatkan kuasa secara tidak bertanding untuk mempersiapkan dirinya bagi menghadapi cabaran dan gugatan yang lebih hebat dan sekarang pada pemilihan pucuk pimpinan tahun 2007 nanti.

Semalam: Khairy sebagai bakal PM?

Esok: Berbulan madu sudah berlalu


Sedutan daripada buku Khairy Jamaluddin: Bakal Perdana Menteri? tulisan Yahaya Ismail.