Akhirnya Pak Lah sendiri membuat pengisytiharaan bahawa setahun berbulan madu sudah berakhir baginya. Tidak pernah sebelum ini sejak zaman Tunku hingga ke era Mahathir, mereka menjadikan tahun pertama berkuasa sebagai setahun berbulan madu, dihanyut oleh khayalan kuasa yang memabukkan.

Banyak orang berpendapat Pak Lah mengambil langkah yang silap. Dia terlalu 'obsess' dengan keluarganya hingga kurang sensitif terhadap berbagai pandangan negatif dan orang ramai.

Keluarganya terlibat dalam politik dan menantunya pula terlalu gelojoh memburu kuasa, dan tidak malu memperagakan diri seolah-olah masa depan Umno dan orang Melayu terletak di bahunya yang kini menjadi penasihat politik utama kepada bapa mertuannya.

Mahathir sendiri melarang anak-anaknya melibatkan diri dalam politik sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri kerana tidak mahu dituduh sebagai menjaga kepentingan keluarga dan mengamalkan nepotisme.

Malah ada yang sinis berkata kalau mahu berjumpa Pak Lah atau mendapatkan sesuatu jumpa Khairy dulu. Kalau Khairy kata ok maka oklah jadinya. Begitu hebat sekali peranan Khairy yang dianggap lebih penting kedudukannya dalam parti dan kerajaan dan Timbalan Perdana Menteri sendiri.

Kak Endon, Nori, Kamaluddin dan Khairy dan Pak Lah perlulah insaf bahawa rakyat dan kalangan dalam Umno juga tidak senang dengan sikap penglibatan keluarga secara langsung atau pun tidak langsung dalam politik Umno dan negara. Pak Lah dipilih oleh rakyat untuk menjadi pemimpin negara. Dia memegang amanah mereka. Dia adalah hak rakyat juga. Dia mesti membalas batik segala budi dan harapan rakyat.

Menurut beberapa orang pemimpin parti, Pak Lah agak sibuk menemui berbagai pemimpin parti dan berbagai negeri untuk mempastikan mereka akan memberi sokongan terbesar kepadanya pada pemilihan pucuk pimpinann Umno yang akan datang. Dia ingin pastikan pemilihan pucuk pimpinan Umno tahun 2007 dia kekal sebagai Presiden sekiranya ada orang lain mencabarnya.

Pakatan dengan Anwar?

Melihat dan kepimpinannya yang lemah banyak pemimpin Umno mahukan perubahan dalam kepimpinan parti pada tahun 2007. Besar kemungkin Najib akan dipujuk oleh para pemimpin parti untuk menentang Pak Lah sekiranya Anwar Ibrahim dan Khairy berpakat menentang kepimpinan Najib kelak. Tapi sekiranya Anwar tidak mendapat pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong, bermakna dia tidak boleh aktif dalam parti politik atau memegang apa juga jawatan dalam apa juga organisasi.

Pengaruh politik Pak Lah dan Khairy tidaklah seberapa pada masa ini memandangkan majoriti pemimpin Umno tidak dapat menerima Khairy sebagai pemimpin Umno yang gemilang, cemerlang dan terbilang. Hanya Pak Lah dan keluarganya saja yang menjulang tinggi kepimpinan Khairy dan kira-kira 50 orang pemimpin Pemuda yang mendapat tempat sebagai calon dalam pilihan raya yang lalu.

Harapan Pak Lah hendak mewujudkan Dinasti Abdullah Badawi melalui menantunya berkecai sudah. Cara politik Khairy yang naf dan suka menunjuk-nunjuk menyebabkan Najib dan kumpulannya bersiap sedia untuk menghadapi ancaman Khairy. Kepada Khairy, Najib menjadi batu halangan untuk dia naik ke atas dengan cepat secara mi segera. Najib juga menganggap Khairy sebagai anak muda yang gelojoh, gila kuasa dan kurang pengalaman. Dia juga menganggap Khairy sebagai "pengacau" yang hendak menghalang Najib menjadi bakal Perdana Menteri kelak.

Khairy tidak layak dan akan ditolak mentah-mentah oleh para perwakilan kalau dia berminat menentang Najib untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Umno. Apa yang ditakuti kumpulan Najib sekiranya Pak Lah, Khairy dan Anwar bekerjasama untuk menumbangkan Najib pada pemilihan Majlis Tertinggi tahun 2007 akan datang, kalau dia mendapat pengampunan dari Agong atas ihsan Pak Lah sendiri.

Pakatan Pak Lah, Khairy dan Anwar, kalau menjadi kenyataan, pasti akan ditentang Najib dan mereka yang menyokongnya. Sekiranya Najib tumpas bermakna dia terpaksa menunggu masa yang lama untuk menjawat jawatan kedua tertinggi dalam parti kalau pakatan keluarga Pak Lah dan Anwar tidak tergugat oleh masa. Najib sudah berazam bukan saja mempertahankan jawatannya sekarang tetapi juga untuk memimpin Umno dan kerajaan di masa depan.

Kalau Kak Endon sihat walafiat sebelum 2007, Pak Lah akan bersemangat mempertahankan jawatannya. Hari ini dia berhadapan dengan lima isu besar yang meminta tindakan serentak. Seperti yang dikatakan tadi dia sangat bimbang kalau Kak Endon tidak lama bersamanya untuk melihat dia menjadi Perdana Menteri yang super gemilang, super cemerlang dan super terbilang. Kedua, dia berhadapan dengan berbagai masalah besar dalam kepimpinan negara. Janji sudah ditabur seperti pawang menabur beras kunyit kepada rakyat. Tindakan dan pelaksanaannya masih belum memuaskan hati rakyat lagi.

Pengampunan Anwar

Ketiga, dia bimbang terhadap Najib yang juga bercita-cita besar untuk menjadi bakal Perdana Menteri. Keempat, dia memikirkan masa depan menantu yang dikasihi agar berjaya menjadi bakal Perdana Menteri di masa akan depan. Kelima, apakah dia boleh mempercayai sokongan Anwar untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri merangkap Presiden Umno sekiranya dia mengusahakan pengampunan Anwar dari Yang di-Pertuan Agong.

Seperti kata Pak Lah lagi, setelah selesai berbulan madu selama satu tahun, maka tahun kedua akan bermula tindakan dan pelaksanaan berbagai dasar dan mungkin juga janji-janji yang pernah ia tabur untuk rakyat sebelum ini. Rakyat masih sangsi kerana terlalu lama Pak Lah mengambil masa berbulan madu dengan segala sorak-sorai, majlis makan, dan kenyataan akhbar yang hanya memagut isu-isu remeh yang seharusnya diatasi oleh menteri-menteri tertentu dalam kabinetnya.

Lima isu besar yang disebut di atas menghantuinya. Beliau harus bergelut dengan masa sebelum 2007 untuk memperkukuhkan kedudukan politiknya.Kewibawaannya sebagai pemimpin yang ada oomph masih lagi dipertikaikan. Malah ada yang berkata beliau mengalami perasaan rendah diri oleh kerana tidak berjaya melaksanakan berbagai janji kepada rakyat dalam masa yang singkat.

Malah banyak pemimpin Umno sendiri mempertikaikan perlantikan Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Annuar Musa, menggantikan Mustapa Mohamed. Annuar Musa dikatakan masih menghadapi kes di mahkamah dan oleh kerana itu jawatan yang disandangnya boleh menjejaskan imej Umno khasnya dan juga imej Pak Lah yang seolah-olah tidak dapat memilih pemimpin yang tidak bermasalah sebagai Ketua Perhubungan Umno Kelantan.

Perlantikan Pengerusi Bank Simpanan Nasional, Azim Zabidi sebagai bendahari Umno, yang pernah digantung atas tuduhan politik wang selama tiga tahun juga menimbulkan desas-desus di kalangan ahli-ahli parti. Pak Lah tahu kesalahan pemimpin tersebut tetapi dia tetap melantik juga orang itu seolah-olah dia tidak menghormati keputusan Jawatankuasa Disiplin, dan menempelaknya pula. Apakah keputusan yang dibuatnya selaras dengan visi Islam Hadhari yang hendak dipromosinya? Tanya pada Pak Lah.

Pak Lah tetap akan mempertahankan kepentingan menantunya. Kalau dia tersingkir sebagai Presiden Umno pada 2007 Khairy juga akan menghadapi cabaran paling sengit sekiranya dia hendak menjadi Ketua Pemuda ataupun mempertahankan jawatan sekarang. Banyak orang sokong Mukhriz menentang Khairy apa saja jawatan yang dihajatinya.

Pendek kata Pak Lah, Khairy dan para penyokong mereka akan menghadapi cabaran yang sengit dan kalangan Najib dan beberapa orang pemimpin lain.

Pening kepala Pak Lah. Anwar Ibrahim lagi memeningkan kepala Pak Lah. Dia tahu kewibawaan, kemampuan dan pengaruh Anwar dalam Umno di kalangan masyarakat dan juga di taraf antarabangsa.

Faktor Anwar

Kalau Mahathir pun ditentangnya, apalah Pak Lah dibandingkan dengan ketokohan dan kewibawaan Mahathir. Kalau boleh dia mahu berpakat dengan Anwar untuk kembali ke dalam Umno tetapi dengan bersyarat seperti yang dibicarakan sebelum mi. Tapi apakah Anwar akan teguh pada janji?

Apakah tidak mungkin Anwar juga berdrama di hadapan Pak Lah untuk mendapatkan pengampunan dari Agong, dan selepas itu menentang Pak Lah dan Khairy pula? Janji politik tidak ada hitam putih. Hanya air liur, jaminan mulut dan salam. Anwar dan Pak Lah boleh tidur sebantal tapi mimpi mereka lain-lain.

Apa kata kalau Anwar kembali semula dalam pelukan Umno dia pula menyokong Najib, dan inginkan Najib mengekalkan jawatan sekarang, dan dia menentang Pak Lah untuk merebut jawatan Presiden merangkap Perdana Menteri? Nahas Pak Lah!

Berbinau kepala Pak Lah. Najib dan Anwar bukan musuh politik seperti Pak Lah. Pak Lah dan Anwar menjadi saingan politik sejak Anwar menyertai Umno kerana kedua mereka datang dari Pulau Pinang. Kedua mereka sering merebut pengaruh dan kedudukan dalam parti untuk memperkukuhkan kedudukan politik masing-masing. Dengan Anwar, Pak Lah terpaksa tunduk mengalah kerana dia tidak mampu menyaingi Anwar bukan saja dan segi perhubungan awam tetapi juga merancang strategi politik yang berkesan.

Dan segi pidato dan teknik memukau rakyat Anwar tidak dapat ditandingi oleh Pak Lah dan pemimpin-pemimpin Umno lain. Anwar boleh menenggelamkan pengaruh Pak Lah, kata beberapa pemimpin Umno dari Pulau Pinang.

Takdirnya Anwar kembali semula ke dalam Umno dan boleh bergiat dalam politik selepas mendapat pengampunan dari Agong, ada kemungkinan dia berganding dengan Najib. Najib pernah bersama Anwar dalam Pemuda sewaktu Anwar menjadi ketuanya. Najib juga banyak menimba pengalaman dan tunjuk ajar dan Anwar dari segi perjuangan dan cara-cara berpidato yang berkesan.

Anwar juga tahu pengaruh Najib lebih hebat dan meluas dari Pak Lah. Apa guna dia seiring jalan dengan Pak Lah kalau Najib sendiri boleh menumbangkan Pak Lah untuk merebut jawatan Presiden Umno. Lebih baik dia bersama Najib dan mengatur strategi untuk menguasai Umno bersama.

Selain dari itu, tentulah para perwakilan Umno tidak dapat menerima Anwar sebagai bakal Presiden Umno selepas Pak Lah dan menjadi Perdana Menteri memandangkan kedua mereka datang dari Pulau Pinang. Memandangkan Anwar dan Najib tidak banyak perbezaan usia, iaitu dalam 5O-an, maka Anwar sanggup memberi peluang kepada Najib menjadi bakal Perdana Menteri selepas Pak Lah, dan dia pula menjadi bakal Timbalan Presiden merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Dilema Pak Lah

Kedua-dua pemimpin ada oomph, berwibawa dan boleh bekerjasama dengan baik kerana pernah menyelami jiwa masing-masing sewaktu dalam Pemuda dan juga dalam kabinet Mahathir. Ini dilema Pak Lah. Ini membuat Pak Lah cemas dan gelisah dengan mimpi politik yang menggerunkan. Menantunya juga tidak boleh menyelamatkan masa depan Pak Lah kerana dia sendiri pun dibenci oleh berbagai golongan dalam Umno dan juga Pemuda.

Belum tentu khayalannya menjadi bakal Perdana Menteri akan menjadi kenyataan memandangkan Pak Lah dan dia sendiri sedang menghadapi berbagai masalah kerana masih sukar diterima sebagai pemimpin yang berwibawa oleh majoriti rakyat dan ahli-ahli parti. Setahun sudah berlalu, setahun Pak Lah berbulan madu menerima julangan dan pujian yang melambung tinggi dan media massa yang diarah untuk membesar-besarkan berita Pak Lah walau pun kenyataan atau peristiwa yang dikaitkan dengan beliau dianggap remeh oleh orang ramai.

Media massa yang dikuasainya menjulang dan mencipta mitos tentang dirinya untuk meyakinkan rakyat bahawa anak ulama mi boleh memberi kepimpinan yang lebih baik dan lebih berkesan dan Tun Dr Mahathir di masa lalu.

Mahathir mengambil masa 22 tahun untuk membawa perubahan sikap masyarakat Melayu yang ia anggap masih gagal memgubah pemikiran bangsa Melayu menjadi bangsa yang berilmu dan dinamik untuk menghadapi cabaran hidup. Pak Lah yang dicipta sebagai mitos baru dalam politik nasional sudah memperkenalkan wawasan Islam Hadhari dalam masa setahun jagung sebagai Perdana Menteri, seolah-olah itulah yang paling hebat dan super gemilang dan terbilang dalam kepimpinan beliau selama mi.

Manusia boleh merancang tapi Allah yang menentukan segala. Pak Lah menjadi pemimpin yang paling berkuasa sekarang dan keluarganya menumpang tuah beliau. Setahun sudah berlalu sebagai Perdana Menteri merangkap Presiden Umno. Belum ada sesuatu yang hebat, yang memberi kesan mendalam pada rakyat dan negara. Islam Hadhari hanya slogan untuk memberi identiti keislaman dalam pemerintahan dan kepimpinan Pak Lah, seolah-olah Mahathir yang memimpin negara selama 22 tahun bukanlah pemimpin Islam yang tersohor.

Hanya jauhari yang mengenal manikam. Pak Lah membina mitos Islam dalam kepimpinannya dengan harapan ia akan memberi kekuatan politik kepadanya dan keluarganya. Kalau dulu Anwar menjadi imam, kini Pak Lah pula sering menjadi imam dan sering diabadikan dalam media cetak dan juga TV. Apakah tontonan begitu boleh menjamin ia akan terus disanjung tinggi dan kuasa politik kekal padanya?

Pentas boria sudah diatur

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Belum tentu dia akan dikekalkan sebagai Presiden Umno pada tahun 2007 nanti. Tidak ada yang kekal buat manusia. Kuasa yang dimiliki manusia hanya pinjaman dan Allah, dan Allah berhak menarik balik kuasa bila-bila masa saja.

Satu peristiwa yang tidak disangka-sangka telah berlaku di hadapan Pak Lah. Pada perayaan Hari Raya Aidiffitri di Dewan Milinium, Kepala Batas baru-baru ini. Ribuan orang membanjiri untuk menjamu selera dan menemui Perdana Menteri. Tiba-tiba keadaan menjadi kelam-kabut bila orang ramai berpusu-pusu hendak bersalam dengan salah seorang tetamu yang juga datang untuk tujuan yang sama.

Pak Lah terkejut melihat orang ramai menyambut tetamu tersebut dengan penuh hormat. Dia menjadi lebih terkejut lagi bila dia mengenali tetamu itu sejak puluhan tahun yang lalu. Dia adalah Anwar Ibrahim. Pak Lah menjadi serba salah. Tapi dia cepat sedar diri dan menjemput Anwar duduk di meja bersamanya dan Tan Sri Taib Mahmud, dan lain-lain orang kenamaan dan Sarawak.

Selama 40 minit Anwar berbual dengan Pak Lah. Apakah pertemuan di Hari Raya itu akan membuah sesuatu yang menyenangkan Pak Lah dan Anwar di masa akan datang? Kita tidak tahu.

Ada juga orang berkata Anwar hendak menunjukkan kepada Pak Lah bahawa dia masih ada oomph dan masih banyak pengikut. Di Kepala Batas, kawasan pilihan raya Pak Lah, Anwar mendapat sambutan yang hangat dan mereka yang sama-sama menghadiri jamuan Han Raya. Apakah ini sebagai suatu ujian untuk memberitahu Pak Lah agar jangan sekali-kali memperkecilkan Anwar?

Apakab Anwar hendak menunjukkan kepada Pak Lah bahawa dia juga masih popular dan boleh menawan hati dan sokongan mereka yang tinggal di kawasan Kepala Batas? Apakah tidak mungkin, pertemuan yang tidak disangka-sangka antara Pak Lah dan Anwar dalam majlis Hari Raya itu dirancang oleh Khairy? Apakah ini sebagai suatu muslihat politik untuk menunjukkan kepada pihak yang anti-Pak Lah dan anti-Khairy bahawa mereka ada pakatan tertentu dengan Anwar?

Ingat, Khairy adalah penyokong kuat Anwar Ibrahim sejak di kampus lagi. Kini menjadi penasihat politik kepada Perdana Menteri merangkap bapa mentuanya. Orang sudah dapat baca dalam kilat ada kilau. Pentas boria sudah mula diatur. Tukang karang sudah ada. Para penari sudah menunggu. Hanya tunggu masa untuk bermula.

Khairy sebagai bakal PM?

Mengapa Pak Lah dan Khairy bimbangkan Najib?


Ini adalah sedutan terakhir daripada buku Khairy Jamaluddin: Bakal Perdana Menteri? tulisan Yahaya Ismail.