Paling Popular
Terkini

Saat dijemput berucap di satu majlis kebudayaan dan kesenian Cina Kelantan yang disertai 46 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat Tionghua pada 11 Oktober 2002, Tok Guru meletakkan petikan ayat ini sebagai paksi:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalami pengetahuan (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat : 13).

Bersifat hikmah mengambil jalur dakwah dalam majlis yang berkepentingan multi etnik secermatnya, kata kunci yang sering ditonjolkan Tok Guru dari ayat wahyu ini ialah pertama: "Allahlah yang menjadikan kamu berbangsa-bangsa bersuku puak” dan kedua: Allahlah yang menjadikan ini semua “supaya kamu semua saling kenal-mengenal."

Dalam mana-mana ucapan, Tok Guru cukup teliti membina tapak bersumber ayat al-Quran terlebih dahulu sebelum membangun dan mengembangkan kata-katanya agar tidak lari antara teks dan konteks.

Manusia saling bersaudara

Melalui proses penyesuaian diri yang sempurna dengan tema dan tujuan sesebuah majlis, selalunya ucapan Tok Guru akan memasuki tali yang diputarnya perlahan-lahan.

Tanpa disedari, khalayak pula akan memasuki “permainan minda” itu yang diputar Tok Guru agar masing-masing rancak berfikir.

Lihat sebahagian dari kata-katanya dalam majlis tadi. Saya petik:

Adam dan Hawa:
“Menurut Islam, walaupun manusia terdiri daripada pelbagai keturunan dan bangsa, namun mereka semua adalah sama-sama berbapakan Adam dan beribukan Hawa. Jika ajaran ini benar-benar dihayati secara bersama, pasti akan timbul perasaan bersaudara-mara, kasih sayang dan perpaduan di kalangan seluruh manusia.

"Malangnya, terdapat manusia yang tidak bertanggung jawab, yang melaga-lagakan manusia untuk kepentingan diri sendiri atau kaum masing-masing.

"Seterusnya kita mesti mengaku bahawa kita sedang menerima kemudahan asas yang sama di bumi – air, cahaya matahari, makanan, udara dan lain-lain. Semua ini adalah kurniaan Allah untuk kesenangan hidup semua kita.

"Oleh yang demikian, kerajaan Kelantan yang didirikan atas sokongan semua bangsa dan agama, berharap kepada semua yang hadir agar menjaga asas-asas kehidupan ini supaya hidup kita berharmoni - berada dalam keadaan yang tidak bercanggah dengan tuan punya alam ini iaitu Allah SWT.

"Islam bukanlah agama paksaan. Namun, apa yang perlu difahami ialah semua gerak kerja dan aktiviti hidup kita di dunia ini biarlah mempunyai nilai sesudah kita mati di akhirat nanti. “

Ini sikap Tok Guru dalam majlis yang bersifat multi budaya kesan daripada perbezaan agama, keturunan dan kepercayaan. Beliau secara halus sentiasa menghidangkan juadah minda; menjadikan setiap majlis, bertukar menjadi sebuah medan fikir.

Terasnya agama Islam. Adat resam tradisional amalan setiap kaum yang tidak bercanggah dengan ajaran moral setiap agama masing-masing boleh saja datang dan boleh juga dirai. Ia boleh disesuaikan setelah di asing dan di saring.

Duduk atas tikar, kita bincang

"Jika ada perbezaan pandangan, semua orang boleh datang dan dipersilakan untuk duduk di atas tikar. Tak ada masalah. Kita mendengar dan kita boleh berunding,” bisik Tok Guru perlahan kepada saya di suatu awal petang ketika sedang membetul-betulkan kilas kain selendangnya dan bersiap-siap untuk turun ke Bilik Gerakan Negeri bagi mengetuai pertemuan dengan berbelas-belas ketua sami Budha yang mewakili 23 buah ketek (wat) dari seluruh negeri.

Isu yang ada di tangan ketika itu pula ialah status tanah ketek, bantuan kewangan dan hal-hal penghormatan yang dicadang untuk di legitimasikan oleh kerajaan negeri.

Isi sinopsis dialog dengan sami:

Pertemuan ini diatur sebagai hasil mesyuarat Majlis Sangha Kelantan yang diadakan pada 31 Julai 2006. Wakil jurucakap sami-sami menyentuh beberapa perkara seperti berikut:

  • Peranan dan kedudukan Majlis Sangha di Kelantan. Kes di Kelantan cukup unik kerana gelarannya ialah Serambi Mekah namun banyak pula kuil Buddha
  • Selain dari majlis Buddha negeri, ada satu lagi majlis yang disebut Majlis Sangha Kelantan diketuai oleh cha khun. Sejak 200 tahun, ketua atau cha khun ini dilantik oleh sultan Kelantan.
  • Mereka meminta agar kedudukan sami-sami diberikan status yang semulia-mulianya seperti dilantik oleh sultan.
  • Mereka mempunyai 23 wat. Oleh itu, mereka mencadangkan supaya kerajaan negeri mengeluarkan pekeliling meminta semua sami diberi layanan yang baik. Ia hendaklah diedarkan kepada ketua-ketua Jabatan.
  • Pengelola istana pernah buat surat. Sudah dikeluarkan surat penjelasan kepada cha khun.

Isu tanah ketek

Rumusan daripada mesyuarat pada 31 Julai 2006 juga memutuskan usul berbunyi: “Tanah wat ini tanah wakaf. Atas lot tapi tidak ditulis.” Ini keputusan dari segi status sebenarnya yang muktamad. Mereka meminta penjelasan rekod daripada kerajaan secara bertulis kepada majlis sangha untuk di rekodkan.

  • Dalam fahaman Majlis Sangha Kelantan, ada tiga kategori tanah untuk wat. Tidak kurang dari 200 tahun tanah-tanah itu telah dibina dengan wat. Ia telah wujud. Kategori-kategori itu ialah:
  • Tanah kawasan berpagar yang menjadi pusat pentadbiran dan peribadatan dengan terdapat bangunan-bangunan berkaitan. Bagi Majlis Sangha Kelantan, tanah ini tidak menjadi bimbangan.
  • Tanah-tanah perkuburan orang Buddha yang di luar kawasan wat. Ini membimbangkan mereka. Masalah berlaku apabila ia diceroboh, bahkan ada antara tanah-tanah ini dipohon oleh orang lain.
  • Tanah yang mengikut sumber lisan, iaitu tanah milik wat di luar kawasan berpagar wat.
  • Tanah milik orang Siam - Tanah yang dimiliki rakyat sebelum diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu 1931. Ini diambil dari sumber lisan. Untuk itu, mereka mohon jawapan bertulis berkaitan hal status pemiliknya daripada kerajaan negeri.

Respons menteri besar

  • Syukur kerana ketua-ketua sangha bersetuju datang mengunjungi beliau. Ia kali keenam pertemuan Tok Guru dengan ketua-ketua agama.
  • Walaupun berbeza; kita ada titk-titik persamaan. 'Kalimatin sawa' iaitu titik untuk sama-sama menjaga kemakmuran bumi Allah. Orang Melayu sebut Allah. Penganut agama lain menyebut God, Vishnu, Hudha.
  • Kita ini hamba Allah. Ada lagi kuasa lain yang lebih kaya, lebih gagah dan lebih bermulut masin.
  • Islam ajar bahawa manusia ini selalu diawasi oleh dua jenis malaikat - Raqib dan ‘Atid. Walaupun kita ada ibu bapa, guru, ustaz, polis, askar, kita masih ada lagi Allah Yang Maha Mengawasi. Mari kita pakat “besar-besarkan” kesedaran ini. Inilah cara untuk tangani masalah sosial yang sangat kritikal sekarang ini. Semangatnya ialah, jika polis tiada, Allah ada. Tuhan sentiasa ada dan sentiasa melihat perbuatan kita.
  • Di hujung kehidupan kita ini ada akhirat. Kita orang agama perlu besar-besarkan perkara ini. Mari kita sebarkan. Insya-Allah, agama akan jadi paksi kukuh untuk hapus jenayah dan makmurkan bumi , sekali gus dapat mengelak daripada bala bencana dan malapetaka.

Sikap kerajaan negeri

Sepanjang 16 tahun, kata Tok Guru kerajaan negeri tidak pernah ganggu.

"Duit tuan-tuan, harta tuan-tuan, itu hak masing-masing. Islam galakkan tutup aurat. Semua orang Islam wajib mengamalkan sikap hormat menghormati antara satu sama lain," katanya.

Masalah tanah - "Di sini, saya cuma ambil sikap untuk mendengar. Beri surat bertulis. Kita akan respons secara bertulis mengikut undang-undang tanah dengan segala peraturan yang berkuat kuasa."

Orang Islam dan Siam hidup harmoni - "Kenapa? Ini kerana orang Islam pegang agama. Dalam Islam, kita kena hormat orang asing. Orang Cina, India dan Siam boleh hidup dengan baik di sini. Ini kebaikan cara hidup Islam yang menjadi dasar kerajaan kita."

Bagaimana isu diberkas - "Kita kena bincang setelah mendapat surat bertulis. Beri surat dan kita akan kaji dan jawab kerana ia melibatkan undang-undang."

Bantuan kewangan - "Nak beri bantuan-bantuan tertentu kepada penjaga (tok siak) di wat. Kita akan bantu dalam bentuk sedikit wang."

Hormat pada sami - "Masalahnya, ada juga yang menipu. Paderi pun sebahagiannya ada juga yang berzina. Jadi masing-masing kena jaga kehormatan diri masing-masing. Baru datang hormat daripada orang lain.”

Majlis berkenaan lalu berakhir dengan bacaan doa daripada Tok Guru, dibalas pula dengan bacaan doa secara beramai-ramai diketuai oleh sami-sami dari dua wat untuk selamatkan Kelantan.

Jadi, fokusnya di mana? Jika inilah pertanyaan, maka di sana kita dapat saksikan wujudnya amalan dialog yang praktikal lagi sihat diamalkan oleh sebuah kerajaan Kelantan setiap kali dikunjungi isu.

Sepanjang 23 tahun, Tok Guru tidak banyak menyebut perkataan taawun, tetapi beliau cukup tahu bahawa perkataan itu bersemangatkan apa jua kegiatan tolong-menolong mengerjakan kebaikan demi sebuah kemaslahatan demi melahirkan masyarakat yang sentiasa rukun.

Prinsip saling menjamin yang tidak hanya memikirkan keuntungan sepihak menjadi paksi kepada wujudnya taawun. Di sini Tok Guru membuktikan kehadiran Islam itu menurunkan rahmat pembelaan untuk semua.

Tunduk dan merendah

Apa yang penting, taawun bukan sehelai tirai jarang yang dijadikan smoke screen oleh kerajaan yang boleh menyemai benih keraguan terhadap pemerintah.

Unsur kerjasama yang dikandungi perkataan taawun itu harus jujur membuktikan rahmat buat semua melalui pelaksanaan rundingan secara amali tanpa mengira antara sesama Islam atau antara Islam dan bukan Islam.

Tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan suku puak, pemimpin Islam harus dilihat berdiri dengan maruah. Pada kedua tangannya, pemimpin harus mampu dilihat rakyat sebagai seorang bapa yang sedang memberi layanan kepada semua anak-anaknya dengan tanpa diskriminasi.

Jika Tok Guru mengambil sikap mengehadkan taawunnya hanya kepada dan dengan kelompok Islam dan orang Melayu, maka apa akan jadi kepada suasana hidup bermuhibah dengan non-Muslim?

Mengambil dimensi secermat itu, Tok Guru selalu memilih sikap tunduk dan merendah. Ini kerana dia cukup tahu, sewaktu dalam keadaan itulah dia dengan mudah boleh 'mengutip' sesuatu. Dalam keadaan mendekati dan senang didekati itulah juga, dia membimbing dan mengasuh.

Dalam konteks taawun - pada Tok Guru - hidup bukan lagi soal berdiri lebih tinggi justeru kita dan bangsa kita sedang berkuasa. Sememangnya perkara ini sulit tetapi inilah cabaran yang diharunginya.

Biar pun di sana terdapat perbezaan dan kepayahan, di bawanya jua Islam itu ke tengah-tengah medan. Ia sentiasa dihiasinya dengan seulas senyum dari sejurai limau Islam yang ramah bertoleransi.

Di mata sami-sami Budha, mereka cukup kagum dengan setangkai anggur harapan yang sedang diangkat oleh jari-jemari Tok Guru Nik Abdul Aziz. Jika tidak, masakan mereka sudi berdoa beramai-ramai dalam bahasa mereka demi kerukunan sebuah negeri.

Mustahil semua ini tidak memberi kesan kepada sokongan.


ANNUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau juga banyak terlibat dalam dunia seni termasuk penulisan dan muzik.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini

Lihat Komen
ADS