Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Semenjak tahun 2000 sehingga kini, saya dan isteri (dan juga anak-anak ketika mereka masih tinggal bersama) tidak pernah gagal untuk mengunjungi Global Village (GV) Dubai , sebuah pusat liburan yang hanya dibuka ketika musim sejuk.

GV dikatakan projek pelancongan, hiburan dan membeli-belah terbesar di dunia, dan yang pertama seumpamanya di Timur Tengah.
Lebih 5 juta yang mengunjunginya setiap tahun. Bagi musim ke-21 (musim sejuk 2015/2016), sejumlah 5.6 juta yang berkunjung ke kawasan seluas 1.6 juta meter persegi di Dubailand itu – 20 kilometer dari pusat bandar raya Dubai.

Ia mula dibuka pada tahun 1997 dan asalnya hanyalah tapak kecil berhampiran Creek Dubai, dengan kiosk-kiosk kecil mewakili pelbagai negara. Kini ia menjadi antara destinasi paling popular di Dubai.

Dari Creek, GV berpindah ke Oud Metha dan seterusnya Dubai Festival City, sebelum mendapat tapak kekal di Dubailand.
Pada musim ke-21, sebanyak 2.2 bilion dirham, atau Dhs2.2 bilion, telah dibuat.

Tanpa pavilion Malaysia

Dengan tema 'Come Experience the World', musim ke-22 bermula dari 1 November 2017 sehingga 7 April 2018. Antara tarikan yang sentiasa popular adalah pavilion Bosnia dan negara Balkan lain, serta pavilion Asia Selatan – Bangladesh, Sri Lanka dan Nepal.
Tiket masuk adalah Dhs15 satu kepala.

Ada 25 pavilion negara yang mewakili 75 budaya dari seluruh dunia. Lebih 12,000 pertunjukan, 23 konsert, 80 artis dan bintang antarabangsa , lebih 20 penghibur kaki lima tersedia untuk pengunjung sepanjang 5 bulan.

Dan buat kali keenam berturut-turut, tiada pavilion dari negara kita. Sebelum ini Malaysia mempunyai pavilion sendiri, kemudian bergabung dengan Singapura, dan akhirnya terus hilang.

Barangkali kos yang semakin meningkat menyebabkan tiada bidaan untuk pavilion Malaysia, memandangkan ia dibuat oleh syarikat dan bukannya agensi kerajaan.

Tetapi ketika masih ada pun, pavilion Malaysia dan pavilion Malaysia-Singapura dipenuhi produk luar, terutama dari China.

Mungkin ia juga sebab tiada lagi wakil Malaysia kerana GV mensyaratkan produk asal negara wakil sahaja yang dibenarkan.

Pusat urut Thai

Antara tarikan yang popular adalah kiosk buah-buahan dan masakan Thailand. Begitu laku sekali buah-buahan di situ, yang sebenarnya turut ada di Malaysia. Sememangnya, Thailand cukup berjaya dalam mempromosikan produk mereka.

Untuk GV kali ini, pusat urut Thai pun ada!

Sebagai pengunjung, kita tentunya mahu melihat pavilion negara sendiri yang dikatakan antara negara Islam termaju dan hebat di muka bumi. Sekurang-kurangnya, ada kiosk makanan.

Tetapi warga ekspatriat Malaysia di UAE kecewa sekali lagi. Tiada pavilion, kiosk mahupun pertunjukan kebudayaan yang boleh mempromosikan 'Tahun Melawat Malaysia 2018' seperti yang diuar-uarkan.

Belajar pelbagai budaya

Saya kagum melihat prasarana dan kemudahan yang cukup hebat di GV sejak 17 tahun lalu. Masjid yang besar, tandas yang banyak dan sentiasa bersih memberikan tanggapan pertama yang berkesan.

Ada tambahan baru iaitu Cultural Square dan Global Village Boulevard.

Setiap pavilion mempunyai monumen dan mercu tanda negara, dan bangunan dan bahagian dalamnya menjadikan pengunjung seolah-olah berada dalam negara terebut. Bazar meriah menawarkan produk autentik, serta sudut budaya warisan dan pertunjukan tradisional.

Saiz pavilion dan kiosk juga lebih luas dan teratur.

Ekoran kesukaran logistik dan perbelanjaan, bukan semua penjual dari negara tersebut. Tetapi suasana itu tetap dirasakan.

Kali ini, saya dan isteri fokus ke pavilion Amerika Selatan dan Bosnia untuk mencari kelainan. Produk berbeza daripada Brazil, Colombia, Ecuador, Cuba dan Mexico memberikan pengalaman baru. Selain mendapat produk bermutu terus dari negara ini, interaksi dengan jurujual juga menambah pengetahuan.

Ramai warga Malaysia yang menjadi pengunjung setia. Lima keluarga yang baru tinggal di UAE yang saya temui malah sempat menyambut tahun baru di GV.

Menurut Mohamad Muizzulhilmi Aziz dan isteri, Nor Najwa Indra, mereka berkungjung sebanyak dua kali kerana tidak sempat untuk melawat semua pavilion negara. Mereka tiba seawal pukul 7 malam namun masih gagal menghabiskan lawatan.

Begitu juga dengan Muhammad Zaki Sulaiman dan isteri Siti Nur Fasehah Roslan, Muhamad Nabil Yusoff dan isteri Rozilawati Abdul Rashid, Mohd Azizan Yaacob dan isteri Nur Hidayah Mohd Soffian, serta Mohd Najib dan isteri Syarifatul Jannah.

Walaupun mahal

Mereka membawa anak-anak untuk sama-sama berlibur dan merasai sendiri suasana di GV, dengan pelbagai budaya dan hiburan yang luar biasa.

"Kami dapat melihat kebudayaan dari pelbagai negara, dari segi makanan tradisi, persembahan setiap malam, dan produk dari negara tersebut," kata Muizzulhilmi.

Salah satu rungutan biasa dari pengunjung adalah kos makanan yang mahal berbanding di luar. Ini perkara biasa kerana dengan prasarana dan kemudahan yang disediakan, kos sewa tentunya tinggi.

Misalnya, semangkuk tom yam berharga Dhs30 (RM32.60) dan jagung rebus Turki Dhs10 (RM10). Purata makanan untuk seorang adalah Dhs30.

Namun disebalik perkara itu, keadaan ekonomi dan cukai VAT (cukai nilai tambah) yang bermula 1 Januari lalu, GV mensasarkan seramai 6 juta pengunjung bagi musim ke-22.

Minggu depan, saya akan mengulas panjang berkenaan pengalaman peniaga negara kita yang pernah menyewa di Global Village ini.

Lihat Komen
ADS