Paling Popular
Terkini

“Alkisah cetera yang ketiga puluh tiga. Maka ada seorang Keling, keluarga pada Nina Sura Dewana, Kitul namanya. Akan Kitul itu berhutang pada Raja Mendeliar sekati emas.”

Di atas ialah petikan yang saya pungut dari kitab Salalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang telah ditulis lebih 500 tahun dahulu. Cerita ketiga puluh tiga ini memperkenalkan watak Mendeliar dan Kitul.

Kitul dan Mendeliar - dua nama ini adalah sebahagian dari watak permainan intrik politik dalaman yang berlaku dalam kancah kuasa istana Sultan Melaka. Di belakang watak ini ialah Sultan Melaka, Datuk Bendahara Seri Maharaja, laksamana dan Tun Fatimah, puteri Datuk Bendahara.

Sejarah merakamkan bagaimana berahi seksual Sultan Mahmud Shah yang sedang menduda telah dicabar oleh kecantikan Tun Fatimah. Sayangnya, Tun Fatimah sedang bersanding nikah dengan Tun Ali.

Cetera ketiga puluh tiga ini adalah babak sejarah sebelum Feringgi sampai. Bab penamat dalam Salalatus Salatin ialah cetera ketiga puluh empat. Bab akhir ini menceritakan bagaimana Benggali Putih datang dari Goa ke Melaka bawah kepala perang Alfonso d’Albuqueque. Feringgi datang dengan tujuh buah kapal untuk melanggar Kota Melaka.

Ketika Portugis sampai, kesultanan Melaka masih diselubungi oleh intrik hutang, intrik harta kekayaan, intrik kuasa dan intrik keberahian seksual.

Datuk Bendahara Seri Maharaja dan kaum keluarganya telah dibunuh atas arahan sultan. Pembunuhan dilakukan kerana peranan Kitul yang menyampaikan maklumat fitnah kepada Mendeliar sebagai jalan penyelesaian hutang sekati emas. Maklumat fitnah ini kemudian disampaikan kepada laksamana oleh Mendeliar. Laksamana telah disogok dengan emas agar membawa maklumat ini kepada sultan.

Mendeliar memberi sogok emas kepada laksamana. Babak ini adalah rakaman Tun Sri Lanang tentang rasuah politik yang pertama dalam sejarah tamadun Bani Melayu.

Laksamana yang mendapat sogokan emas membawa maklumat fitnah yang menuduh Datuk Bendahara ingin melebihi kekayaan sultan. Sultan yang berahi kepada Tun Fatimah mengambil kesempatan untuk membunuh Datuk Bendahara dan kaum keluarganya. Yang tidak dibunuh hanya Tun Fatimah yang akhirnya menjadi permaisuri kepada Sultan Mahmud Shah. Amin.

Amat jelas semua ini adalah ekoran hutang. Atau dalam bahasa ekonomi moden hari ini masalah ‘insolvensi’. Hutang bertapuk-tapuk kerana perniagaan gagal. Tapi hutang masih wajib dibayar. Maka jalan pintas untuk Si Kitul agar tidak diumumkan sebagai warga bankrap ialah memberi maklumat fitnah kepada Mendeliar agar hutangnya dilupuskan.

Pada hemat saya Si Kitul adalah pembuat ‘fake news’ yang terawal dalam sejarah bertulis tamadun Bani Melayu. Justeru Kitul hingga ke hari ini masih diingati, masih dianggap salah satu satu penyebab kejatuhan kerajaan Melayu Melaka.

Apa sangkut pautnya insolvensi Kitul dengan apa yang berlaku hari ini? Apa sangkut paut watak ini dengan naratif politik pasca 9 Mei 2018. Apa hubungan Si Kitul yang bankrap dengan mat songel?

Saya telah memperkenalkan watak mat songel dalam siri-siri “Merakam Sejarah”.

Tugas sejarah saya

Dalam blogTukar Tiub saya banyak menerima surat bertanya siapakah dia mat songel. Soalan yang sama juga diajukan dalam kolum saya di Malaysiakini. Saya juga menerima SMS dari kenalan dan dari entah siapa-siapa bertanyakan perkara sama.

Ada juga SMS dan surat yang gagah berani memperakui bahawa watak mat songel ini telah mereka dikenali.

Justeru menjadi tugas sejarah kepada saya untuk menerangkan siapa sebenarnya mat songel dalam siri tulisan ini.

Untuk mengenal watak mat songel bukanlah susah. Cara terbaik untuk mengenal satu-satu jenis kuih ialah melihat kuih itu sendiri. Tepung dibungkus dengan daun pisang. Tepung ini berisi inti kelapa. Bentuk kuih ini empat persegi. Tepung berinti ini akan dikukus. Bila semua ciri telah diketahui maka jelas kuih ini ialah kuih koci.

Begitu juga cara untuk mengenal siapa dia mat songel.

Mat songel ada bersama-sama kita. Ia telah wujud dalam politik Malaysia. Ia telah mengeram lama. Pada hemat saya mat songel telah menetas sesudah Deklarasi Rakyat (DK) diwujudkan pada petang Jumaat 4 Mac 2016. Ertinya mat songel lahir dalam lingkungan bulan Mac 2016.

Sama seperti Kitul yang diwujudkan oleh Tun Sri Lanang, saya juga tidak dapat memberikan umur dan tarikh lahir mat songel secara tepat. Saya minta maaf saya tidak juga tahu di mana mat songel ini dilahirkan. Hanya Guru Nanak sahaja yang mengetahui. Amin.

Saya mengambil Deklarasi Rakyat sebagai patukan pertama kerana apabila DK diwujudkan watak mat songel mula muncul sama. Ada suara-suara yang menyuarakan penentangan terhadap apa yang cuba dilakukan melalui DK. Hakikatnya perwatakan awal mat songel ialah penentangan dan tidak sehaluan dengan cita-cita dan akidah DK.

Wujud juga sosok-sosok yang pura-pura menyokong DK tetapi bukan sokongan padu terhadap DK. Sosok-sosok ini bermuka-muka. Di hadapan menyokong DK tapi di belakang lain pula labunnya. Ini watak songel.

Ini berbeza dengan sikap Tengku Razaleigh. Ku Li menentang DK. Ku Li gagal hadir pada upacara menanda tangani DK pada petang Jumaat 4 Mac 2016. Ku Li gagal muncul atas sebab yang amat meyakinkan.

Pada petang Jumaat itu saya bertanya pembantunya kenapa Ku Li tidak hadir. Saya diberi jawapan yang amat jelas: Ku Li sakit perut. Ini bukan cerita rekaan Hishamuddin Rais. Ini fakta sejarah. Khalas.

Tentang DK ini wajib saya merakamkan sejarahnya dengan tuntas. DK telah dimulai dengan tandatangan 54 sosok. Dalam masa kurang lebih dua bulan DK telah berjaya mengumpul 1.2 juta tandatangan. Anak semua bangsa dan bangsa semua agama telah menyokong apa yang tertera dalam Deklarasi Rakyat. Ini satu kejayaan.

Sosok-sosok yang menjadi penanda tangan awal sering mengadakan permesyuaratan untuk melihat bagaimana kempen memungut tandatangan berjalan.

Tim proto-Pakatan Harapan

Untuk rakaman sejarah tim awal penanda tangan DK ini adalah tim proto-Pakatan Harapan. Pada pandangan saya kerjasama dalam DK inilah yang menetaskan Pakatan Harapan.

Dalam satu mesyuarat penandatangan awal DK di Yayasan Perdana, saya telah bertanya:

“Tun apa grand finale deklarasi ini?”

Mahathir yang mempengerusikan mesyuarat petang itu tidak menjawab pertanyaan saya. justeru saya berlabun lagi.

“ Saya rasa kita wajib hantarkan DK yang telah ditanda tangani ini kepada Agong.

“Kalau tidak kita jadi macam Wong Tack Himpunan Hijau yang dah dapat satu juta tandatangan anti-Lynas tapi simpan semua dalam almari. Tidak jadi apa-apa.”

Saya cuba mencucuk jarum untuk menghasut.

“Kita ajak orang yang dah tandatangan DK datang bersama kita ke Istana”.

Sebenarnya saya mencadangkan agar disusun satu demo anti-Najib di hadapan Istana Negara. Demo besar-besaran ini menggunakan penghantaran DK kepada Agong sebagai taktik.

Mahathir kali ini bersuara.

“Kertas yang ditandatangan ini banyak. Satu lori pun penuh. Kalau macam itu saya akan pandu lori itu ke depan pintu Istana,” jawap Mahathir.

Ada yang ketawa dan ada yang tersenyum puas bila mendengar jawapan Mahathir.

Saya cukup gembira kerana saya telah berjaya menghasut Mahathir untuk turun berdemo. Pada hemat saya hanya masa dan tarikh wajib ditetapkan untuk berdemo.

Jika ada sesiapa yang menganggap ini cerita rekaan Hishamuddin Rais sila bertanya kepada Syed Saddiq. Sila tanya Khalid Samad. Sila tanya Lim Kit Siang. Sila tanya Dr Hatta. Sila tanya Dr Zul.

Betul atau tidak apa yang dirakamkan oleh Hishamuddin Rais ini? Atau semua ini hanya cerita yang didengar di tepi jalan?

Apa terjadi dengan grand finale Deklarasi Rakyat?

Semua kertas DK yang telah ditandatangani kini masih tersimpan di Yayasan Perdana. Niat dan cita-cita untuk membawa rakyat ke Istana Agong gagal. Kenapa gagal?

Kerana inilah watak dan ciri-ciri mat songel yang suka mendahului projek peribadi. Kalau ada gerakan lain yang dianggap tidak memenuhi cita-cita peribadi maka si songel ini akan baling spana. Hasilnya, lebih dari 1.2 juta DK yang telah ditandatangani terbengkalai.

Bayangkan, dalam masa dua bulan sesudah 4 Mac 2016 para aktivis dan politikus yang menyokong DK telah berusaha untuk memungut tanda tangan. Dari pintu ke pintu mereka meyakinkan anak semua bangsa untuk menurunkan tanda tangan sebagai sokongan terhadap DK. Ke hulu ke hilir kami berkempen.

'Grand finale' DK disabotaj

Sejarah merakamkan peranan yang dimainkan oleh tim Bersih - Ambiga, Maria Chin, Mandeep, Ivy Josiah bermati-matian memungut tanda tangan di pasar-pasar malam. Tapi rancangan grand finale DK disabotaj.

Jelas salah satu watak dan ciri mat songel ialah membaling spana kepada apa saja projek dan langkah politik yang dibaca tidak memperkasa kepentingan politik si songel.

Dalam tulisan-tulisan yang lalu saya telah melakar tentang taktik dan strategi Mat Songel. Spana telah dibaling atas jalan untuk melambatkan upacara angkat sumpah. Pengumuman pelantikan tiga menteri utama kerajaan baru telah dispanakan.

Sebenarnya siapa mat songel ini?

Sekali lagi saya nyatakan untuk mengenal kuih koci kita wajib melihat watak kuih itu. Untuk mengenal mat songel kita wajib mengenal watak dan ciri kesongelan itu.

Biar saya nyatakan di sini bahawa mat songel ini sama seperti Kitul. Kita mengenal Kitul melalui perwatakan, begitu juga dengan mat songel.

Kitul yang wujud 500 tahun dahulu kini menjadi konsep. Bila saja nama Kitul disuarakan maka kita tahu nama ini membawa konsep fitnah. Kitul bukan lagi sosok yang wujud.

Bagitu juga dengan mat songel. Saya mengajukan mat songel sebagai konsep. Perlu saya nyatakan mat songel ini bukan lelaki dan bukan perempuan. Mat songel ini boleh dibaca lelaki dan boleh dibaca perempuan. Seksualiti dan jantina mat songel ini tidak penting. Mat songel ini sosok sendirian dan juga sosok berkumpulan. Membuat kerja seorang diri dan buat kerja berkumpulan. Membaling spana bersendirian dan juga membaling spana berkumpulan. Semua mungkin kerana Mat songel ini telah saya jadikan konsep.

Selain dari membaling spana kepada Deklarasi Rakyat apa lagi ciri dan watak mat songel? Pasti ada. Sila tunggu minggu depan. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

 

BERKAITAN
Merakam sejarah: Faktor Mahathir
Merakam sejarah: Wawi bonda kandung
Merakam sejarah: Abang Mat Sabu
Merakam Sejarah: Anwar Ibrahim
Merakam sejarah: Babak belakang tabir
Merakam sejarah: Lagi kisah belakang tabir
5 hari menjelang 9 Mei
Merakam sejarah: Kes Altantuya
Merakam sejarah: Apa jadi malam itu?
Merakam sejarah: Projek 'sailang' Mahathir
Merakam sejarah: Lagi projek sailang Mahathir
Merakam Sejarah: Projek memalukan
Merakam sejarah: Projek sailang gagal
Merakam sejarah: Disailang lagi

Lihat Komen
ADS