Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Untuk berlaku adil kepada sejarah saya wajib merakamkan juga beberapa babak latar belakang yang menuju kepada 9 Mei 2018.

Saya wajib menuliskan pertemuan-pertemuan gelap dan watak-watak gelap yang memainkan peranan untuk membidani kelahiran 9 Mei.

Pada 5 Mei 2013 - Pakatan Rakyat gagal ke Putrajaya. Penipuan yang dirancang licik oleh SPR cukup jelas. Penipuan SPR ini bertujuan untuk memastikan Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor (Najib Rosmah) dan United Malays National Organisation terus berkuasa.

Contoh terbaik adalah dakwat kekal yang tidak kekal. Anak semua bangsa ditipu bulat-bulat oleh Najib dan SPR. Ketika itu penipuan dijalankan dengan angkuh sekali.

Tiada kuasa dapat kalahkan Najib Rosmah

SPR merasakan United Malays National Organisation ini akan terus berkuasa hingga dunia kiamat. Tidak ada kuasa dalam dunia ini yang dapat mengalahkan Najib Rosmah. Amin

Kemenangan yang dirampas dalam PRU13 cukup menyakitkan hati. Pada malam Rabu 8 Mei 2013 satu berhimpunan besar telah diadakan di Stadium Kelana Jaya. Ini tanda bantahan terhadap penipuan SPR dalam PRU13.

Pada petang 6 Mei 2013 kawan lama saya Zahid Hamidi yang pada waktu itu menjadi orang kanan Najib telah menelefon saya. Zahid meminta saya mengalihkan perhimpunan ini ke Stadium Merdeka.

Zahid Hamidi tanpa diminta telah menyewa Stadium Merdeka dengan menggunakan duit poketnya sendiri. Saya dengan sopan telah menolak permintaan Zahid.

Anak semua bangsa telah berbondong-bondong turun dari awal petang ke Stadium. Paling jelas ialah kedatangan anak-anak muda.

Paling jelas adalah sokongan ampuh anak muda Cina. Semua turun membantah. Angka 300,000 yang turun ke stadium cukup menakutkan Najib.

Tapi perhimpunan malam itu telah gagal kerana ini hanya bantahan yang tidak bergerak ke mana-mana. Tersadai dalam stadium. Akhirnya ia hanya menjadi perhimpunan melepaskan geram.

Polis dan FRU tidak kelihatan pada malam itu. Ini cara Zahid yang tidak mahu berkonfrantasi.

Saya berpendapat pada malam itu seharusnya Anwar Ibrahim bukan hanya berlabun berceramah tetapi membawa 300,000 anak semua bangsa bergerak ke Putrajaya.

Saya yakin malam itu juga Najib dan Rosmah akan lari lintang pukang.

Setelah gagal di Kelana Jaya anak-anak muda turun pula ke Padang Merbok - berhimpun bermalam - terus membuat bantahan penipuan SPR. Sasaran anak muda ialah bangunan parlimen. Semangat lawan anak muda sesudah PRU13 cukup kental.

Najib mengambil tindakan menangkap berbelas-belas anak muda. Mereka yang ditangkap dihadapkan ke mahkamah.

Najib dengan licik telah menggunakan hukum dan hakam untuk mengalahkan musuh politik. Niat anak muda untuk membatalkan upacara angkat sumpah para YB di parlimen telah digagalkan.

Keletihan politik dan Langkah Kajang

Sesudah semua ini berlaku maka ada semacam rasa kecewa. Ada semacam rasa ‘keletihan politik’. Ada semacam rasa putus asa.

Ada semacam rasa mustahil untuk menumbangkan United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya. Dalam bahasa politik telah wujud ‘political fatique’.

Tiba-tiba pada 27 Januari 2014 tenaga dan keghairahan politik muncul semula. Rafizi memulakan Langkah Kajang.

Saya menjadi penyokong awal memberi analisa tanda dan makna Langkah Kajang. Rafizi Ramli, Arutchelvan PSM dan saya telah berforum di UBU Bangsar.

Saya menyokong strategi ini untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Khalid yang semakin tidak mengindahkan kepentingan Pakatan Rakyat wajib digantikan dengan Anwar Ibrahim.

Rancangan ini juga telah digagalkan. Kes Anwar ‘berjahat’ dengan Saiful Bukhari dipercepatkan. Akhirnya Langkah Kajang gagal. Khalid digantikan oleh Azmin Ali. Kemuraman politik bertambah-tambah.

Dalam suasana keletihan politik ini, Anwar telah didapati bersalah dan dimasukkan ke penjara untuk kali kedua pada 20 Februari 2015. Seolah-olah jalan buntu telah ditemui.

Saya sendiri merasakan keletihan politik. Ini bukan letih fizikal tetapi letih emosi. Satu demi satu saya bertemu dengan kegagalan.

Malah saya telah menyatakan kepada anak muda Bangsar - kita wajib tunggu 30 tahun - untuk sekali lagi pusingan politik anti kerajaan sampai.

Hishamuddin Rais ditimbus dedak

Pada ketika ini Mahathir Mohamad masih lagi Mahafiraun. Saya yang terlibat dalam menyusun politik jalanan reformasi 1998 telah berjaya mengecap Mahathir sebagai ikon kezaliman.

Tulisan-tulisan saya telah menggariskan siapa dia si Mahathir ini. Hingga ke hari ini tulisan saya itu masih dirujuk untuk digunakan sebagai kutukan bahawa Hishamuddin Rais hari ini telah ditimbus dedak.

Dalam suasana keletihan politik saya mula terdengar sok seh sok seh Mahathir telah mula mengkritik Najib. Sebab musabab masih tidak jelas.

Inilah latar di mana saya mula merisik untuk mencari kawan baru. Masanya telah sampai untuk memperbanyakkan kawan.

Membuat pensejajaran semula dan memencilkan musuh. Saya yang bermazhab kiri cukup yakin dengan teori united front atau barisan bersatu.

Saya bukan ahli parti. Dan saya juga bukan ahli mana-mana NGO. Saya hanya menjadi ‘sosok rujuk’ untuk BERSIH 2. Saya sedar bukan semua ahli jawatankuasa pemandu Bersih itu cekap politik.

Malah banyak NGO dalam jaringan Bersih ini amat-amat bebal politik. Mereka tidak faham hal strategi dan taktik untuk menjatuhkan kerajaan.

Saya terlibat dalam BERSIH hanya dengan satu tujuan. Untuk menyusun gerakan jalan raya. Mengumpulkan orang ramai untuk menjatuhkan kerajaan.

Pilihan raya bersih dan adil ialah strategi untuk mengolah persetujuan orang ramai agar turun ke jalan raya. Dalam hal ini saya cukup jelas.

Kritikan Mahathir terhadap Najib semakin lantang. Para aktivis NGO dan parti politik masih melihat ‘pertelingkahan’ ini hal dalaman parti Umno. Untuk saya bunyi biola yang digesek oleh Mahathir ini amat menyegarkan.

Saya berkhayal dan membayangkan betapa indahnya si Mahathir yang mengkritik Najib dapat diajak bersama untuk menggalang barisan bersatu.

Hasrat bertemu 'orang Tun'

Justeru untuk melunaskan niat, saya telah meminta pandangan dan bantuan Amin 'Blak' Iskandar seorang wartawan Malaysian Insider. Pada ketika ini portal ini belum diarwahkan.

Sebagai wartawan Blak memiliki jaringan yang luas. Dia memiliki hubungan dengan pemimpin parti politik dari kerajaan dan pembangkang. Blak juga ada hubungan dengan sosok-sosok ahli perniagaan.

Lalu saya menyatakan keinginan saya untuk bertemu dengan 'orang Tun'. Maksud saya ialah berbincang dengan sosok yang memiliki hubungan intim dengan Mahathir Muhamad.

Perbincangan untuk mencari 'orang Tun' ini berlaku pada awal tahun 2015. Hakikatnya saya sebenarnya sedang merancang Bersih 4. Justeru saya wajib memperbanyakkan kawan dan mengurangkan lawan.

Saya tidak memilik mandat daripada Bersih atau daripada sesiapa pun untuk memulakan perbincangan gelap ini.

Kedai kopi di Brickfield

Maria Chin atau Ambiga tidak mengetahui apa yang saya lakukan. Saya melakukan ini kerana saya yakin dengan teori united front. Saya mahu menggalang barisan bersatu yang luas.

Malah saya tidak tahu siapa 'orang Tun' yang akan saya temui. Blak melontarkan beberapa nama.

Semua nama-nama yang dilontar saya tidak tahu atau kenal. Maka saya pulangkan proses penapisan ini kepada Blak.

Pada bulan Februari 2015, Blak membawa berita baik. Dia telah berjaya menghubungi 'orang Tun'. Sosok ini telah bersetuju untuk bertemu dan berbincang.

Biasanya saya akan mengadakan perbincagan di Old Town Brickfield. Dalam dunia romantik, saya anggap Old Town Brickfeild ini sama dengan seperti kedai kopi yang amat terkenal dalam dunia ini - Cafe de Flore St. Germain Paris.

Cafe de Flore ialah tempat Jean-Paul Satre bertemu dengan buah hatinya Simon de Beauvoir. Tempat ahli falsafah ini menulis falsafahnya. Ianya juga tempat lepak Albert Camus. Kedai kopi ini telah dan masih menjadi tempat lepak para aktivis politik dan intelektual kota Paris.

Dalam kedai kopi ini, garis politik pemberontakan anak muda dan pelajar di Paris pada tahun 1968 telah dibincangkan. Kedai kopi ini telah menjadi salah satu simbol Paris.

Mengatur tempat bertemu

Sementara itu, di Old Town Cafe Brickfeild saya telah membincangkan keputusan untuk mengadakan Bersih 3, 4 dan 5.

Di sini juga pertemuan awal antara Mat Sabu dan saya untuk merancang mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat disusun.

Rafizi, Mat Sabu, Rahim Ghaus, Tian Chua, Latheefa Koya, Elizabeth Wong, Salehuddin Ayub, Suhaizan Kayat, Saifuddin Nasution, Sivarasa, Malek Husin, Rara, Jamaliah, Sheikh Omar, Dr S Husin, Dr Jeya adalah di antara nama-nama orang politik yang pernah datang berbincang dengan saya di Old Town Cafe.

Old Town saya pilih kerana saya boleh sampai dengan berjalan kaki dari bilik sewa saya. Sebenarnya nama Old Town itu hanyalah nama tempat bertemu.

Kami selalu duduk berbincang di sebelah Old Town. Kami memesan minuman dari Restoran Husin atau membeli chee cheong fun dari kereta tolak di permulaan Jalan Thambypillay. Ini sejarah. Amin.

Justeru saya mencadangkan kepada Blak untuk bertemu 'orang Tun' di Old Town. Cadangan telah ditolak oleh Blak.

Blak merasakan kedai kopi ini tidak sesuai. Maka dipersetujui untuk bertemu di Strawberry Cafe di Petaling Jaya. Ini lebih ‘up market’ berbanding Jalan 'merah' Thambypillay.

Merisik kerjasama dengan Tun

Kami memilih hari bekerja agar tidak ramai pelanggan dalam cafe. Pertemuan jam 9.30 malam. Saya dengan Blak datang awal dan menunggu. Tepat jam 9.30 malam sosok ini sampai.

Saya tidak akan menuliskan nama sosok ini. Kerana sosok ini adalah sosok belakang tabir yang pasti tidak mahu namanya diwar-warkan.

"Datuk… saya berniat nak bekerjasama dengan Tun… ok ke?" Saya membuka gelangang.

"Kerja sama macam mana?"

Saya terperangkap dengan soalan yang datang. Sebenarnya saya cuma merisik-risik.

"Dengan Bersih… kalau kami buat himpunan lagi," kata saya.

Pada ketika ini, tidak ada sesiapa pun bersuara tentang Bersih 4. Tapi saya telah mula merisik secara gelap tanpa pengetahuan Maria Chin yang ketika itu menjadi pengerusi Bersih.

"Kita tengok macam mana.. kita bincang nanti," jawab 'orang Tun'.

Risikan saya tamat di sini. Kemudian kami berlabun politik. Saya terus mencungkil kesah politik Mahathir dengan Najib.

'Orang Tun' ini juga berkesah itu dan ini. Pertemuan pertama mesra. Apa terjadi sesudah pertemuan ini. Tunggu minggu hadapan.

 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

BERKAITAN:

Merakam sejarah: Projek Melayu Islam

Merakam sejarah: Faktor Mahathir
Merakam sejarah: Wawi bonda kandung
Merakam sejarah: Abang Mat Sabu
Merakam Sejarah: Anwar Ibrahim
Merakam sejarah: Babak belakang tabir
Merakam sejarah: Lagi kisah belakang tabir
5 hari menjelang 9 Mei
Merakam sejarah: Kes Altantuya
Merakam sejarah: Apa jadi malam itu?
Merakam sejarah: Projek 'sailang' Mahathir
Merakam sejarah: Lagi projek sailang Mahathir
Merakam Sejarah: Projek memalukan
Merakam sejarah: Projek sailang gagal
Merakam sejarah: Disailang lagi

Lihat Komen
ADS