Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

Demi pemahaman politik saya wajib melakukan pencerahan. Wajib saya menerangkan untuk difahami bahawa apa sahaja yang terjadi dalam politik - semuanya disusun.

Semua dirancang. Semuanya diatur. Dalam politik tidak ada satu perkara boleh berlaku secara sendirian. Politik bukan bencana ribut taufan atau gempa bumi.

Dalam politik tidak ada casus fortuitus atau force majeure atau act of god - politik bergerak bukan kerana kuasa tuhan. Dalam politik semua dirancang dan diatur oleh manusia. Dalam politik tuhan tidak masuk campur.

Ada agenda politik yang dirancang dengan niat baik tapi hasilnya membawa mudarat. Ada agenda politik yang dirancang untuk tujuan jahat tapi hasilnya membawa kebaikan.

Dalam politik tidak ada salah cakap. Tidak ada tersalah lawak. Apa sahaja yang terkeluar dari mulut politikus semuanya telah lama mengeram dalam kepala politikus. Bila politikus becakap maka idea terperam menetas.

Orang politik minta simpati dengan sakit

Tuduhan terhadap media atau akhbar salah lapor adalah cara jahat politikus untuk memburukkan wartawan dan menyelamatkan diri.

Membuat kenyataan kemudian mengatakan kenyataan itu hanya lawak hanyalah jawapan Mat Songel yang membuat lawak bodoh.

Mengakui diri sakit dan dipaparkan kesakitan kepada umum walhal diri tidak sakit adalah kelakuan orang politik dalam agenda minta simpati.

Ada pula sang politikus telah diberitahu oleh doktor yang dirinya sah sakit tapi sebagai agenda politik sang politikus tidak akan mengumumkan penyakitnya kepada orang ramai sehingga dia mati tegak.

Kahwin dalam gelap kemudian bercerai dalam gelap juga adalah kerja orang politik untuk menunjukkan yang dirinya adalah manusia suci seperti Mahatma Gandhi yang tidak ada berahi seksual.

Dapat panggilan telefon, wartawan nak jumpa

Hakikatnya apa saja yang berlaku dalam politik dan bersangkutan dengan orang politik, yakinlah semua dirancang dan disusun.

Tiba-tiba pada satu petang awal tahun 2014 saya mendapat panggilan telefon. Saya diberi tahu ada seorang wartawan hendak berjumpa. Perkara berjumpa dengan wartawan ini adalah perkara lumrah. Banyak wartawan dari dalam dan luar negara yang telah saya jumpa.

Ramai yang telah bertemu bual hingga saya terlupa media mana atau stesen televisyen mana yang telah saya layan. Paling saya lupa ialah wartawan dari luar negara. Kad-kad nama wartawan ini masih ada tersimpan. Mungkin untuk bahan sejarah.

Justeru satu lagi panggilan telefon tidak mengejutkan saya.

Kami membuat pertemuan di sebuah restoran Cina di Jalan Stadium. Restoran ini agak tersorok. Tidak terbuka seperti Old Town Cafe Brickfield.

Pada malam itu, yang saya temui ialah seorang wartawan perempuan - Ms Louise Story. Wartawan ini dari The New York Times (NYT). Ini harian yang amat berpengaruh dari Amerika Syarikat (AS).

Malah inilah akhbar yang menjadi rujukan politik untuk warga Amerika. Kepada sesiapa dalam dunia ini yang mahu memahami garis dan dasar politik Rumah Putih wajib membaca NYT.

Untuk kaum kiri di Amerika, NYT ini diperlekeh sebagai akhbar penyimpan arkib CIA.

Justeru, NYT ini mungkin boleh disamakan peranannya seperti Utusan Malaysia walaupun kualiti laporan NYT berpuluh juta kali lebih baik dari Utusan.

Sambil makan kami bersembang. Agak susah juga untuk bersembang secara terbuka kerana kami baru berkenalan. Si Louise ini sedang menyediakan laporan berita tentang 1MDB dan Jho Low.

Ini pada awal tahun 2014. Nama Cina tembam Jho Low belum pop lagi. Nama 1MDB pun belum meledak. Hakikatnya pada ketika itu saya sendiri tidak arif tentang 1MDB. Malah tidak tahu siapa hamba Allah yang bernama Jho Low.

Dua malam kemudian kami berjumpa lagi. Kali ini makan di Jalan Alor. Kami bersembang lagi. Saya korek dan gali. Si Louise ini mengorek-ngorek juga. Sama-sama mencari maklumat.

Pertemuan kali kedua ini agak selesa. Saya telah sempat bertanya dengan 'lebai Google' tentang siapa Minah Louise Story.

Wah! Minah ni bukan calang-calang wartawan. Lulusan Colombia University dan Yale. Menjadi wartawan di NYT lebih dari satu dekad.

Pernah dicadangkan untuk mendapat Hadiah Pulitzer pada tahun 2009 kerana laporan beritanya.

Ini hadiah terulung untuk warga Amerika. Kalau filem ada Academy Awards. Dalam bidang penulisan ada Hadiah Pulitzer.

Saya dengan senang hati membantu wartawan NYT ini. Malah saya cuba membuka beberapa pintu agar dia mendapat maklumat yang dicari.

Saya juga menggunakan jaringan ‘old boy MCKK’ untuk membantu Louise. Nama-nama yang disebut oleh Louise telah saya cuba uruskan.

Apakah saya tidak sedar bahawa NYT ini adalah akhbar yang ada hubungan dengan lembaga CIA?

Di mana kesetiaan?

Apakah saya tidak sedar bahawa akhbar NYT ini sedang membuat penyelidikan terhadap kerajaan Malaysia?

Di mana kesetiaan saya? Kepada kepentingan negara asing atau kepada negara sendiri?

Dalam hal ini saya cukup jelas. Saya daripada mahzab kiri cukup yakin degan teori united front.

Lihat sejarah united front berjalan di Tanah Melayu pada satu masa dahulu. Jepun telah melanggar dan menjajah Tanah Melayu dari 8 Disember 1941 hingga 2 September 1945.

Parti Komunis Malaya (PKM) telah bekerjasama dengan kuasa kolonial Inggeris. PKM telah melancarkan perang gerila melawan Jepun.

Senjata telah diterbangkan oleh British dari Ceylon kepada Chin Peng dan Rashid Maidin. Senjata dari musuh lama ini bertujuan untuk menyerang Jepun - musuh baru.

PKM dan British telah menjalin kerjasama atas dasar united front. Buktinya sesudah Jepun kalah, Chin Peng yang kemudiannya menjadi Setiausaha Agung PKM telah mendapat anugerah OBE - Order of the British Empire dari Raja England.

Kemudian anugerah OBE ini ditarik balik kerana gerila PKM terus menyerang soldadu British di Tanah Melayu.

Pada 2014, Hishamuddin Rais juga telah bersedia bekerjasama dengan musuh termasuk CIA dalam usaha untuk menjatuhkan Najib dan United Malays National Organisation.

Dalam hal ini saya tidak berselindung atau malu muka. Falsafah saya ialah musuh kepada musuh saya adalah kawan saya. Amin.

Pertemuan kali ketiga dan akhir dengan Louise dibuat di Old Town Brickfield. Telah lebih satu bulan si Louise ini merayau-rayau dari kota ke kota mencari maklumat.

Saya perhatikan bahawa wartawan NYT ini amat berbeza cara kerjanya berbanding dengan kerja wartawan dari Utusan. Nama-nama yang wajib ditemui disusun rapi. Ini bukan kerja wartawan. Ini macam kerja intel (perisik).

Bila saya tanya Louise bila agaknya artikel ini akan mucul di NYT.

"Sometime in the autumn," jawabnya. 

Data dan maklumat 1MDB

Maknanya tulisan ini akan diterbitkan dalam bulan Oktober atau November - musim daun gugur - sebelum masuk musim sejuk. Saya wajib menunggu selama lapan bulan untuk melihat apa yang telah ditulis oleh Louise.

Wow. Lambat sekali. Apa yang menjadikan tulisan ini keluar amat lambat hanya Guru Nanak sahaja yang maha mengetahui.

Sesudah Louise pulang ke Amerika saya telah menelefon Wan Fathi Aris dari Malaymail Online, Mohd Najib Hashim Ketua Pengarang Suara Keadilan, Jimadie Shah Othman dari Malaysiakini, Amin Iskandar dari The Malaysian Insider dan Sidikin Omar dari Roket.

Semua sosok ini saya nyatakan agar bersedia dengan data dan maklumat 1MDB. Saya tidak nyatakan bahawa ‘ejen CIA’ akan meledakkan berita ini dalam bulan Oktober depan.

Ketika saya menelefon para wartawan ini dalam tahun 2014 saya wajib berselindung bukan terbuka seperti sekarang.

Saya yakin kawan-kawan wartawan saya ini tidak tahu dan tidak faham hujung pangkal. Mereka wartawan - buah butir daripada saya tidak jelas.

Justeru, mungkin mereka tidak ambil pot. Kalau hari ini ditanya mereka sekali lagi - pasti mereka tidak ingat panggilan telefon daripada saya.

Kepada kawan-kawan dan aktivis di Bangsar saya nyatakan bersedia, "something bigger than big akan sampai." 

Apa perkara lebih besar daripada besar ini saya tidak dapat menerangkan kepada mereka. Tapi saya telah membayangkan rancangan CIA dan Amerika Syarikat serta kuasa Eropah terhadap Najib.

Malah setelah Louise pulang ke Amerika saya dan beberapa kawan yang pernah bertemu Louise bertukar-tukar cerita. Sambil-sambil ketawa - ada yang menyatakan yang dia pernah ternampak rambut palsu dalam beg Si Louise ini.

Malah ada kawan yang berhubungan melalui aplikasi Whatsapp dengan Louise menerangkan bahawa Si Louise ini kerap menukar nombor telefonnya.

Babak-babak politik ini berlaku dalam tahun 2014 waktu kerajaan Najib masih berkuasa. Saya yakin saya diperhatikan oleh apparatchik daulah.

Saya sedar saya masih dianggap musuh negara. Justeru itu, saya mengelak daripada menghubungi Louise melalui emel.

Tahun 2014, suasana politik masih malap. Langkah Kajang gagal. Anwar tidak bertanding dalam PRK Kajang. Wan Azizah ditolak oleh Sultan daripada menjadi menteri besar Selangor. Azmin diangkat menjadi menteri besar.

Kini saya tergantung dalam dua penungguan. Pertama - saya masih menunggu jawapan daripada 'orang Tun'. Niat untuk membuat kerjasama telah dihantar.

Tujuan untuk menggalang kerjasama untuk menjatuhkan Najib dan United Malays National Organisation.

Suasana politik malap berubah

Kedua - menunggu musim daun gugur di Amerika Utara. Bulan September, Oktober dan bulan November adalah musim daun gugur. Bulan Disember permulaan musim sejuk.

Menunggu - bigger than big - menunggu garapan Louise Story muncul dalam NYT.

Saya terfikir dan tertanya-tanya kenapa laporan satu berita mengambil masa yang begitu panjang untuk dituntaskan. Saya tidak faham. Saya diwajibkan menunggu tanpa tarikh dan masa yang tepat.

Sebenarnya saya tidak sabar. Apa yang saya bayangkan ialah apabila - bigger than big - meledak maka suasana politik malap akan berubah.

Saya juga merasa ‘gatal’ ingin bertanya kepada Louise bila agakya berita akan keluar. Tapi saya pendamkan niat ini.

Apakah niat dan cita-cita saya ini akan termakbul? Tunggu minggu hadapan. 

 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

BERKAITAN:

Merakam sejarah: Faktor Mahathir
Merakam sejarah: Wawi bonda kandung
Merakam sejarah: Abang Mat Sabu
Merakam Sejarah: Anwar Ibrahim
Merakam sejarah: Babak belakang tabir
Merakam sejarah: Lagi kisah belakang tabir
5 hari menjelang 9 Mei
Merakam sejarah: Kes Altantuya
Merakam sejarah: Apa jadi malam itu?
Merakam sejarah: Projek 'sailang' Mahathir
Merakam sejarah: Lagi projek sailang Mahathir
Merakam Sejarah: Projek memalukan
Merakam sejarah: Projek sailang gagal
Merakam sejarah: Disailang lagi

Lihat Komen
ADS