Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Baru-baru ini Mahathir Mohamad dilapor berkata beliau hanya berminat untuk terus bekerja sehingga akhir hayat.

Kata beliau pada usianya sekarang “nak buat kerja sampai mati, bintang-bintang (kebesaran) lain tak elok (bagi saya). Yang elok ialah KSM”.

KSM ialah singkatan Kerja Sampai Mati.

Media yang melaporkan ucapannya itu menyifatkan Mahathir berseloroh ketika bercakap mengenai KSM walaupun Mahathir terkenal sebagai seorang pemimpin yang suka bekerja. Kerja kuat. Ini diakui kawan dan lawan.

Pun begitu ramai yang terangsang akan ungkapan KSM itu. Antaranya menteri besar Johor Osman Sapian.

Osman melihat apa yang disampaikan Mahathir “memberi makna cukup mendalam”.

Lantas beliau “meminjam” istilah KSM , mengolah dan mengajak penjawat awam di Johor mengguna pakai ungkapan KSM.

Osman Sapian

Bagi beliau KSM bermakna Kerja Seperti Mahathir. Kata beliau penjawat awam elok mencontohi dedikasi perdana menteri dalam berkhidmat kepada negara.

Untuk berlaku adil perlu ditegaskan, apa yang Osman katakanan itu bukan arahan. Sekadar cadangan. Mungkin saranan dan nasihat.

Walau apa pun, ia mengundang reaksi.

Sebagai contoh reaksi Mohd Azlan Zainal, ketua pegawai eksekutif Ilham Centre, badan yang kerap membuat kajian dan analisis khususnya mengenai politik.

Lalu Azlan membuat posting di Facebook seperti berikut:

“Kepimpinan melalui teladan pun cukup daripada ‘Kerja Seperti Mahathir’.

“Untuk motivasi mungkin boleh, tagline kepada penjawat awam agak kurang sesuai. Kagum tiada salah tapi jangan sampai nampak mengampu.”

 Setuju atau tidak itu pandangan beliau. Saya tinggal kisah itu di situ.

Sebagai penutup saya imbas satu “kisah” yang diceritakan kepada saya oleh seorang kawan lama satu ketika dulu.

Kawan saya itu pernah berkhidmat bersama allahyarham Megat Junid Megat Ayub yang ketika itu memegang jawatan timbalan menteri dalam negeri.

Pak menteri 'happy'

Kata kawan saya sebagai orang yang ada kuasa besar, allahyarham Megat Junid dikelilingi macam-macam orang, sama ada penyokong parti mahupun pegawai kerajaan.

Dan ramai juga antara mereka yang gemar “ambil hati pak timbalan menteri dan buat dia happy”, kata kawan saya itu. Yang dimaksudkan kawan saya ialah orang yang kerap mengampu.

Allahyarham Megat Junid 

 Setiap kali allahyarham Megat Junid membuat cadangan, menurut kawan saya, dengan pantas si pengampu menyambut dengan berkata “setuju Datuk”.

Allahyarham Megat Junid, kata kawan saya lagi, cukup sedar apa yang dilakukan orang orang ini. Dan Allahyarham yang tidak senang dengan itu semua sentiasa menunggu peluang untuk mendedahkan gelagat demikian.

Peluang itu akhirnya muncul pada satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh allahyarham Megat Junid.

Kata kawan saya, pada mesyuarat itu allahyarham Megat kemukakan satu cadangan. Baru allahyarham cakap saya cadang, seorang pegawai yang memang kaki ampu terus saja sambut, “Saya setuju Tok”.

Allahyarham Megat dengan pantas jerkah dan tanya si pengampu – apa yang kamu setuju? Saya belum habis cakap pun. Kamu tak tahu apa yang saya nak cadang terus setuju?

Si pengampu tergamam.Tapi dia tetap tenang dengan berkata:

“Semua cadangan Datuk sebelum ini memang cukup bagus. Tidak perlu dipertikai. Datuk belum hurai pun saya dah tahu ia mesti bernas. Itu sebab saya terus sokong dan setuju.”


MOHSIN ABDULLAH ialah seorang wartawan tua yang menulis mengenai itu dan ini, di sana dan di sini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS