Nampaknya tahun 2006 yang merupakan tahun 'Anjing' kepada masyarakat Cina bukan merupakan satu tahun yang baik untuk profesyen kewartawan dan media. Sejak awal bulan lagi, begitu banyak 'casualties' menimpa rakan-rakan wartawan dan akhbar itu sendiri.

Ia bermula dengan 'pemecatan dua editor kanan akhbar China Press berikutan kesilapan dalam laporan akhbar edisi petangnya mengenai identiti wanita bogel yang diarah melakukan ketuk ketampi ketika dalam tahanan polis.

China Press merupakan media pertama menyiarkan berita tersebut pada 23 November dan mendakwa wanita tersebut adalah rakyat China. Bagaimanapun, wanita tersebut kemudiannya dikenalpasti seorang wanita Melayu tempatan.

Pada 19 Disember, China Press , milik MCA, menerima surat tunjuk sebab daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN). Akhbar tersebut kemudiannya menyiarkan kenyataan memohon maaf. Pada 5 Januari lalu, Ketua Pengarang China Press Chong Choong Nam dan Ketua Pengarang Eksekutifnya, Wang Zhao Ping dipaksa meletakkan jawatan.

Lima hari kemudiannya, sebuah lagi akhbar berbahasa Cina Oriental Daily menyiarkan artikel tulisan kolumnis Ng Choon Soon bertajuk 'How China Press apologised?'

Berikutan itu, Oriental Daily , turut mendapat surat amaran daripada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, dipercayai berkaitan dengan kolum tersebut. Selain menyifatkan hukuman tersebut "terlalu berat', Ng juga Timbalan Setiausaha Dewan Perhimpunan Cina Selangor, turut menyentuh tentang tekanan politik di sebalik tindakan tersebut.

Surat amaran

Beliau turut membandingkan tindakan terhadap China Press itu dengan apa yang berlaku terhadap sebuah akhbar yang kritikal di China Xin Jing Bao (New Beijing Daily) di mana satu pertiga daripada 300 kakitangannya membantah tindakan terhadap tiga editornya.

Kerajaan China akhirnya berlembat dan akhirnya hanya ketua pengarangnya sahaja yang dipecat. Tulisan Ng itu dikatakan tidak disenangi kerana ia seolah-olah seperti 'menghasut' kakitangan China Press supaya mengambil tindakan yang sama.

Kemudian akhbar Sarawak Tribune pula menjadi tumpuan apabila ia menyiarkan karikatur mempersendakan Nabi Muhammad pada 4 Februari lalu. Berikutan itu, editor yang bertanggungjawab diarah meletakkan jawatan dan permit penerbitan akhbar tersebut juga digantung pada 9 Februari lalu, untuk tempoh yang tidak ditetapkan.

Ini diikuti pula dengan tindakan menggantung akhbar berbahasa Cina Guangming Daily selama dua minggu, mulai Khamis lalu, atas kesalahan yang sama. Akhbar berkenaan menyiarkan foto seorang pembaca membaca akhbar asing yang memaparkan karikatur tersebut dalam edisi Utaranya pada 3 Februari lalu. Bagaimanapun, ia sempat menarik balik sebahagian besar nashkah edisi petangnya daripada pasaran.

Akhbar Guangming Daily diterbitkan oleh Sin Chew Media Corporation yang turut menerbitkan akhbar Sin Chew Daily . Kumpulan tersebut dikuasai oleh jutawan balak Sarawak, Tiong Hiew King.

Pengedaran edisi petang petang Guangming dianggarkan 29,000 nashkah dan merupakan akhbar petang kedua popular selepas China Press , yang menjual 89,000 nashkah sehari. Sin Chew adalah akhbar berbahasa Cina terbesar yang menguasai 40 peratus pasaran manakala Guangming menduduk tempat ketiga dengan 14 peratus penguasaan. Tempat kedua diduduki oleh China Press .

Giliran RTM pula

Dan yang terbaru ialah kenyataan terbuka bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times, Datuk Kalimullah mengenai usaha Menteri Penerangan yang baru, Datuk Zainuddin Maidin, mahu dua editor tertinggi NST dipecat.

Zainuddin dilaporkan membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat biro penerangan Umno sehari sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Penerangan yang baru menggantikan Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir yang meletakkan jawatan.

Ramai yang mempercayai, sasarannya ialah Ketua Pengarang Kumpulan NST yang baru, Datuk Hishammuddin Aun dan Pengarang Kumpulan NST, Brenden Pereira. Ini dipercayai berikutan laporan dalam NST yang dianggap begitu kritikal terhadap kerajaan, manakala Hishammuddin pula didakwa tidak mampu menguasai kandungan akhbar tabloid tersebut.

Memandangkan episod ini baru bermula, maka ramai yang ternanti-nanti untuk melihatkan apakah yang bakal berlaku selepas ini.

Kemudian menyusul pula isu kegagalan RTM mengadakan siaran langsung pengumuman rombakan kabinet oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Selasa lalu.

Menurut Zainuddin, yang memohon maaf terhadap kegagalan tersebut, ianya bukan berpunca daripada masalah teknikal tetapi kerana masalah manusia. Ini secara tidak langsung bererti akan ada lagi editor yang akan dikenakan tindakan.

Memandangkan kita baru dua bulan melangkah ke tahun 2006 ini masih ada 10 bulan lagi yang akan mendatang apakah akan ada lagi rentetan peristiwa seperti ini apabila menjelang hujung tahun ini.

Menurut kepercayaan masyarakat Cina, lambang anjing mencerminkan ketaat setiaan dan sifat murah dan baik hati. Anjing memang sukar untuk menaruh kepercayaan kepada sesiapa sahaja, tetapi sekali ia berbuat demikian, ia menjadi kawan yang amat setia....kita tunggu dan lihat...