Paling Popular
Terkini

Hari berlanjutan dalam keadaan yang lebih baik dari setahun lalu. Saya boleh berjalan walau terjongkang-jongkit. Tangan kanan masih belum boleh diangkat. Masih OKU. Setahun adalah masa yang panjang untuk orang seperti saya. Tetapi saya jauh lebih baik dari keadaan sebelumnya. Boleh berjalan walaupun naik kapal terbang masih belum boleh.

Pada 15 Ogos 2018, 9.30 pagi, saya tiba-tiba tidak sedarkan diri. Hilang begitu saja. Bila sedar, dunia menjadi fana dan kaku. Saya tidak ingat apa-apa. Kosong. Sifar. Segalanya hilang. Saya termangu sendiri. Melihat sekeliling yang berubah dengan sekelip mata.

Pakaian saya sendiri menyatakan saya penghuni hospital. Bermakna saya tinggal di hospital. Pertama kali seumur hidup. Satu perubahan.

Saya teringat dihantar ke hospital dengan ambulans. Dimasukan ke wad kecemasan. Dihantar untuk ujian. Bilik semua penuh. Disuruh menunggu sampai esoknya. Saya tinggal sekejap di transit. Saya tidak ingat sangat, mungkin ketiduran.

Saya masuk wad 3 Hospital Serdang kerana berdekatan dengan rumah abang ipar, En Jamri. Sudah dua minggu saya menumpang di rumah itu menjaga ibu.

Saya balik dari Dubai untuk menjaga ibu yang kena buat pembedahan tulang paha. Kebetulan semua penerbangan penuh dan harganya mahal. Terpaksa balik dengan tiket sehala dari Singapura. Itu sahaja tiket yang ada.

Saya mengambil masa dua jam untuk membeli tiket dan balik hari yang sama. Dalam keadaan berkejar kerana penerbangan dalam masa enam jam. Sempat menghantar Toyota Camry ke pejabat yang hampir dengan Lapangan Terbang Dubai, beberapa minit sahaja. Itulah kali terakhir menaiki Toyota Camry tersebut.

Penulis dan Menteri Pendidikan Maszlee Malik

Itulah hari terakhirsaya di Dubai. Kerja masih banyak untuk dilakukan di Dubai. Setelah 18 tahun berada di Dubai saya menjadi usahawan dengan seorang ahli perniagaan di Dubai, Encik Chai, rakan sebaya dan warganegara Malaysia..

Seorang Cina yang sangat baik hati dan pemurah. Punya perniagaan yang besar dengan ratusan juta dirham. Ada syarikat di 20 negara. Seorang yang berjaya dan saya bertuah menjadi rakan perniagaannya. Menjual jagung bisnes utama beliau.

Saya tiba terus menemui ibu di hospital Kelana Jaya. Tidak sempat balik rumah. Dia telah dibedah tulang paha dan direhatkan.

Ibu saya meracau sepanjang menjaga beliau. Saya anak lelaki seorang. Kembar saya perempuan, Fadzilah di Perlis. Kakak saya berdua, Bushra di Lestari Putra, Sri Kembangan dan Najah di Bandar Sri Putra.

Saya tidak dapat tidur dengan sebaiknya. Pukul satu, pukul dua, pukul tiga, pukul empat sampai pagi asyik melayan kerenah. Bersambung ke siang hari. Dua minggu saya dalam tekanan menjaga ibu. Saya berkecamuk. Nak harapkan siapa? Masing-masing sibuk dengan kerja.

Doktor telah mengesahkan saya tiada penyakit walau satu pun. Sihat. Bersih. Tiada kencing manis. Tiada darah tinggi. Tiada satu pun penyakit. Sihat. Saya menjalani amalan berjalan kaki sejam sebelum tidur dan selepas subuh di Dubai.

Penyanyi rock Amy Search antara yang bertanya khabar

Sudah bertahun saya membuat amalan yang sama. Tidur awal. Bangun pagi. Bidang penulisan saya habiskan petang dan sebelum tidur. Saya menulis 11 buah buku. Pernah memenangi lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia, sembilan Hadiah Sastera Utusan dan lain-lain. Menulis untuk Malaysian Insider hari sewaktu diterbitkan. Selain untuk Malaysiakini.

Saya tidak pernah tidur lewat. Sentiasa dengan disiplin diri. Menjaga kesihatan sebaiknya. Isteri saya pun tidak tidur lewat. Kami tinggal berdua setelah anak-anak menyambung pelajaran sejak empat tahun lalu.

Bila saya mahu tidur sentiasa dipanggil ibu. Saya akur dengan keadaan ibu. Saya tetap menjaga. Walau dua minggu tanpa tidur secukupnya. Walau tanpa rehat. Saya tetap menjaganya.

Sepanjang dua minggu, saya sempat menemui tok imam dan berapa orang bomoh berkenaan sakit ibu. Ada penyakit yang menambah tekanan kepada saya. Saya berfikir dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.

Saya tidak tahu berapa lama saya haru tinggal. Kerja di Dubai memerlukan saya. Saya ada perniagaan sendiri dengan Chai, bertindak sebagai ketua pegawai eksekutif. Pada masa itu mengetuai bidang pertanian berbentuk biotek.

Semenjak dengan Nakheel saya menceburi banyak bidang. Salah satu mengetuai organisasi Yusuf Islam atau Cat Stevens kali kedua, selepas 2001-2003. Menjadi ketua eksekutif hiasan dalaman, kejuruteraan dan agrotek. Dari seorang jurutera IT dan telekomunikasi.

Selain berniaga produk-produk halal dari seluruh dunia, pau Ahmad dan menjual durian musang king. Saya cuba semua untuk belajar urusan jual beli. Seronok berurusan dengan orang di Dubai.

Akhirnya dengan kuasa Tuhan, saya terkena strok atau angin ahmar.

Sebelah kanan badan lumpuh. Tidak boleh bergerak. Seratus peratus lupa, tidak ingat langsung selama beberapa hari. Saya cuba untuk mengingat perlahan-lahan.

Badan saya kehilangan 10 kilogram sepanjang di hospital. Sudah kurus. Dua minggu saya di hospital. Nasib isteri saya seorang doktor. Dr Azma menjaga saya. Beliau bekerja di Universiti Sharjah dan terpaksa berhenti.

Lawan ke hospital tak kunjung putus

Duduk di hospital dengan lawatan beribu orang pelawat sekurangnya mengembalikan ingatan. Pelawat dari pagi, tengah hari ke petang sentiasa memenuhi wad 3 hospital. Seakan satu pesta di mana orang ramai memenuhi.

Saya diminta beralih ke wad satu kerana pelawat yang ramai. Isteri saya enggan. Pihak jururawat tidak menyangka begitu ramai pelawat yang datang menziarahi. Sentiasa memenuhi hingga tidak muat.

Saya sedikit demi sedikit dapat semula ingatan.

Isteri saya pun saya lupa. Anak-anak. Adik beradik. Yang paling saya lupa, ibu sendiri.

Sepanjang di hospital dalam keadaan yang sukar saya cuba sedaya upaya. Untuk mengingat siapa yang datang. Kawan-kawan dari jiran-jiran di SS7 Kelana Jaya, Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Intensive English Course ITM, sepengajian di New Zealand yang ramai, bekas bekas kenalan di syarikat-syarikat Malaysia yang pernah bekerja terutama TV3, kawan-kawan di Dubai, Abu Dhabi, Sharjah, Qatar, Arab Saudi semuanya hadir. Selain saudara mara yang ramai.

Saya terharu.

Mereka datang bergelak ketawa. Dengan pertanyaan, “Ingatkah aku?”

Ada yang saya ingat-ingat lupa. Ada yang terus saya lupa. Tidak ingat langsung siapa mereka.

Sementara itu secara fizikal saya masih lemah. Katil tempat segalanya. Buang air pun. Makan apa yang diberi hospital.

Dua minggu di hospital mengajar saya erti hidup yang sebenar-benarnya. Saya akui waktu itu saya menghadapi hidup dan mati. Dari sasterawan, korporat dan usahawan, saya tidak ingat apa-apa langsung. Dari sihat, saya hadapi strok atau angin ahmar. Badan lumpuh sebelah kanan. Tidak boleh bergerak.

Saya bersyukur kepada Tuhan memberi peluang kedua. Di usia 54 tahun, tahun lalu saya belajar sembahyang semula dan segalanya semula.

Semoga Tuhan memberkati hidup saya!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR pernah bermastautin di UAE. Pernah bekerja di TV3, menjadi usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS