Minggu lalu saya terbaca dalam akhbar The Guardian dari kota London tentang anak-anak kecil yang berkeliaran dalam kota Rome. Mereka ini telah menjadi peminta sedekah. Bila diselidiki maka di dapati bahawa ramai anak-anak ini datang dari kawasan Eropah Timur yang keadaan sosio ekonominya telah kucar kacir seperti Bulgaria dan Romania.

Mereka datang ke Itali secara tersusun dan dirancang. Meminta sedekah dijadikan satu pekerjaan yang lumayan.

Saya juga terbaca satu laporan dari akhbar China Daily tahun lepas bagaimana ramai anak-anak dan budak-budak belasan tahun telah diculik dari kawasan Kabul dan Herat. Mereka telah dilarikan ke dalam kawasan pergunungan untuk

dibunuh. Si penculik mahukan buah pinggang anak-anak ini untuk dijual di Pakistan.

Untuk mereka yang telah berkenalan dengan sastera Inggeris pasti tahu tentang novel Oliver Twist karangan Charles Dickens. Buku yang membawa naratif penindasan kanak-kanak dalam kota London ini di tulis pada tahun 1838.

Buku ini adalah kritikan Dickens terhadap kebobrokan masyarakat beliau di zaman itu. Anak-anak kecil di culik, dijual dan kemudian terpaksa bekerja menjadi buruh.

Ada di antara anak-anak kecil ini, dalam naratif Dickens ini, yang dicederakan agar mereka boleh meraih simpati untuk meminta sedekah. Dengan kaki patah atau tangan kudung, diharapkan orang-orang ramai akan lebih bersimpati untuk menghulurkan duit. Mereka yang kecil tetapi cekap, diajar menyeluk saku untuk menjadi pencopet saku yang bijak.

Ini berlaku dalam kota London lebih dari seratus tahun dulu. Kini masyarakat Britain telah menjadi sebuah masyarakat sivil yang memastikan kanak-kanak dalam masyarakat mereka tidak lagi kembali ke zaman Charles Dickens. Apa yang masyarakat mereka telah lalui dulu telah dijadikan sempadan untuk di hindarkan dari berulang. Lembaga-lembaga sosial dan hukum kanun telah diwujudkan untuk menjaga kepentingan kanak-kanak.

Minggu lalu saya bersantai di kawasan Bukit Bintang (BB). Rakyat Malaysia akan menganggap wilayah BB ini paling 'chic dan trendy'. Gedung-gedung membeli belah, cafe-cafe mewah, pelbagai restoran yang menjual masakan dari luar negara semuanya terdapat dalam wilayah ini. Kelab-kelab malam dan segala jenis hiburan akan dapat kita temui di wilayah BB.

Di celah-celah kegemerlapan lampu-lampu neon, petikan gitar dan orang ramai ke hulu ke hilir saya ternampak ramai anak-anak kecil lelaki dan perempuan yang berumur tidak lebih dari lima enam tahun. Mereka berpindah dari satu meja ke satu meja. Dari sebuah cafe ke sebuah cafe.

Jual kertas tisu

Dalam tangan mereka ada beberapa ketul 'chewing gum' dan beberapa keping kertas tisu. Dari satu segi mereka dilihat bukan meminta-minta - mereka ingin menjual. Tetapi pada hakikatnya mereka sedang meraih simpati untuk meminta sedekah.

Saya telah melihat fenomena ini berkali-kali. Saya perhatikan bahawa anak-anak kecil tidak banyak bercakap. Mereka hanya menghulurkan 'chewing gum' atau kertas tisu. Kenapa mereka tidak bersuara? Apakah mereka bukan rakyat Malaysia yang tidak tahu berbahasa Melayu. Jika bukan warga Malaysia, dari mana mereka datang?

Saya sering bertanyakan hal ini dengan kawan-kawan yang lebih arif tentang wilayah BB. Menurut kawan saya, anak-anak ini akan datang dalam jam 9 malam dan akan 'bekerja' sehingga lewat pagi. Lalu terlintas dalam kepala saya apakah anak-anak kecil in tidak ada ibu dan ayah? Apakah esok paginya mereka tidak ke sekolah?

Saya telah dibesarkan di kampung. Di zaman kanak-kanak, saya, amat jarang ada berpeluang untuk bersiar-siar dalam bandar. Jadi apabila saya melihat anak-anak kecil berkeliaran hingga lewat malam, saya merasa gelisah. Saya merasa ada sesuatu yang tidak baik sedang berlaku.

Ketika saya baru pulang dari luar negara dulu saya telah terperanjat besar apabila terlihat di tengah malam kanak-kanak bersama keluarga sedang makan-makan di warung atau di kedai Mamak. Ada yang melentok tidur. Ada yang menguap panjang.

Memang betul mereka bersama ibu dan ayah. Tetapi perbuatan ini adalah salah kerana kanak-kanak sekecil ini seharusnya sedang tidur di rumah dan bukan berada di warung.

Tentang hal kanak-kanak keluar makan malam ini saya ada memiliki pengalaman peribadi semasa di London. Pada satu malam di hujung minggu saya telah keluar makan di restoran dengan kawan saya yang mempunyai seorang anak perempuan berumur 8 tahun. Kami meninggalkan restoran sesudah jam 11 malam. Ertinya belum melintasi jam 12 tengah malam.

Ketika kami cuba mengambil bas untuk pulang, si pemandu bas telah memberi amaran bahawa apa yang kami lakukan ini adalah satu kesalahan di segi akta kanak-kanak. Anak yang berumur 8 tahun ini tidak boleh menaiki bas pada waktu malam. Akhirnya kami terpaksa mengambil teksi.

Undang-undang yang melarang kanak-kanak keluar malam ini adalah hasil dari pengalaman sejarah seperti yang telah digambarkan oleh Charles Dickens dalam Oliver Twist. Di sini saya bukan mahu menjadi Charles Dickens tetapi saya hanya ingin bertanya apakah kehadiran kanak-kanak di wilayah BB ini adalah satu perkara yang dirancang. Dirancang ertinya ada 'kepala' yang lebih besar yang menghantar dan kemudian mengambil kanak-kanak ini pulang.

Kehadiran kanak-kanak di wilayah BB ini pernah menjadi berita di televisyen satu masa yang agak lama dahulu. Tetapi seperti biasanya negara kita ini semuanya hangat-hangat tahi ayam.

Tidak ada laporan atau tindakan susulan. Atau sebenarnya ada 'jerung' yang lebih besar yang sentiasa mengatur pergerakan kanak-kanak ini sehinggakan pegawai kebajikan masyarakat gagal untuk mengambil tahu.

Jual tubuh?

Saya sedar tidak ramai ahli politik dari parti kerajaan atau pun parti alternatif yang ingin 'bersantai' di tempat-tempat seperti BB ini. Jika mereka dilihat secara terbuka di BB mungkin mereka akan mendapat tohmah dan fitnah.

Untuk parti politik yang mengakui perjuangan mereka berlandaskan agama pasti mereka akan menjauhkan diri dari apa yang mereka panggil kawasan 'sarang maksiat'. Untuk parti yang sedemikian saya rasa mereka lebih selesa mencari ayat-ayat dan surah dan membincangkan cara terbaik untuk dapat menambahkan 'isteri/gundik' dengan keredaan Yang Maha Esa.

Saya mengakui bahawa eksploitasi kanak-kanak dalam negara kita ini tidaklah seburuk yang sedang berlaku di Pakistan, Afghanistan atau di kota-kota besar di Amerika Latin. Tetapi saya tidak mahu membanding diri kita dengan keadaan yang lebih buruk. Jika ini dilakukan maka kita akan terus dalam keadaan selesa.

Sifat membandingkan diri kita dengan negara yang lebih buruk ini memang selalu digunakan oleh kerajaan. Ini sebenarnya satu sikap negatif dan menipu diri sendiri. Jika kanak-kanak kita dibandingkan dengan kanak-kanak di Bangladesh atau di Bogota maka pastilah kita duduk di tangga atas.

Seharusnya kita menjadikan negara-negara yang maju sebagai rujukan dan tangga ukuran. Atau lebih baik lagi kita tidak memerlukan apa-apa rujukan. Apa yang perlu hanya sifat kesedaran warga bahawa anak-anak yang kecil tidak seharusnya dijadikan bahan untuk mencari keuntungan.

Objek seks

Kanak-kanak adalah warga yang paling mudah untuk dipergunakan. Lihat sahaja bagaimana di beberapa negara di Afrika sedang menggunakan kanak-kanak dan budak sekolah sebagai soldadu untuk berperang. Juga lihat pula bagaimana di Amerika Latin, India, Thailand, Kemboja kanak-kanak telah dijadikan objek seksual untuk didagangkan.

Memang betul mengagih-agihkan 'chewing gum' atau kertas tisu dari meja ke meja bukan sama dengan menjual tubuh badan mereka. Tetapi akan sampai satu ketika nanti agihan 'chewing gum' ini tidak lagi dapat menarik pelanggan untuk membawa keuntungan. Apa akan terjadi ketika itu?

Bagaimana jika pada masa yang sama tiba-tiba ada pula permintaan baru meminta tubuh badan kanak-kanak ini. Apakah anak-anak ini akan diuruskan untuk dijadikan pelacur pula?

Jangan salah anggap saya bukan seorang pendakwah moral. Saya seorang libertarian. Saya tidak menganggap diri saya memiliki moral yang tinggi dari orang lain. Saya tidak akan menghalang individu dari menjual tubuh badan mereka. Individu yang saya maksudkan ini adalah insan dewasa yang memiliki kesedaran dan tahu apa yang ingin mereka lakukan.

Orang dewasa, kalau mereka sudi menjual diri, maka terpulang kepada kesedaran mereka. Mereka melacur bukan kerana dipaksa tetapi kerana sebab-sebab yang mereka sahaja yang mengetahui. Jika dipaksa ini satu bab yang lain pula.

Pandangan libertarian yang sama tidak akan saya gunakan untuk kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak masih muda, kurang pengalaman dan mudah dipergunakan. Sebagai insan saya akan berusaha untuk menjadi warga yang berguna; justeru akan menyuarakan pandangan untuk mempertahan hak kanak-kanak ini dari terus dieksploit.

Apa yang wajib kita ketahui tentang kanak-kanak di BB itu ialah - anak siapa mereka ini, dari mana mereka datang dan di mana mereka tinggal? Yang perlu dikorek ialah peranan orang-orang dewasa, seperti kita semua.

Di belakang kanak-kanak ini pasti ada insan dewasa yang dapat dipertanggung jawabkan.