Malaysiakini
KOLUM

KOLUM | MCA boleh jatuhkan kerajaan Melayu-Islam?

Aminuddin Yahaya

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Sep 2020, 10:34 pagi

Sejak pilihan raya umum pertama (PRU1) pada tahun 1955, parti MCA telah dianggap sebagai penyokong tegar kerajaan daripada Parti Perikatan dan BN dalam mendapatkan sokongan masyarakat Cina di seluruh Malaysia.

Baiknya orang Melayu, walaupun orang-orang Cina baru sahaja diberikan kerakyatan pada waktu itu, sudah boleh tubuhkan parti politik, bertanding dalam pilihan raya umum dan menang atas undi-undi orang Melayu. Malah, MCA diberi laluan untuk bertanding atas tiket Parti Perikatan yang mesti menang kerana kekuatan Umno ketika itu. Sejak itu, MCA telah memainkan peranan yang penting untuk mendapatkan sokongan masyarakat Cina buat BN sehinggalah pilihan raya ke-12 di mana kita menyaksikan gelombang besar-besaran orang Cina beralih kepada DAP. Sejak daripada itu, mereka hanya bergantung pada kerusi majoriti ‘ihsan Umno’ kepada MCA semata-mata kerana Umno mahu ada ahli parlimen Cina untuk duduk di blok kerajaan.

Jumlah kerusi yang dimenangi oleh MCA sejak PRU11:

Pilihan raya umum 11: 31 kerusi
Pilihan raya umum 12: 15 kerusi
Pilihan raya umum 13: 7 kerusi
Pilihan raya umum 14: 1 kerusi

Pada PRU 14, MCA sebenarnya sudah mati tetapi diberi nafas kembali oleh Umno. Ini kerana lebih 90% daripada masyarakat Cina sudah menyokong DAP melalui PH dan menolak MCA. MCA yang memang sudah sekian lama terdesak mahu memenangi kembali hati pengundi Cina, mereka sanggup berbuat apa sahaja termasuklah ‘berperangai’ seperti DAP. Ini dapat dilihat jelas melalui tindak tanduknya yang sentiasa berlumba-lumba dengan DAP dalam sesuatu isu. Lihat sahaja isu RUU355, tulisan Jawi, UEC, sekolah vernakular dan sebagainya. Kita tidak lupa juga apabila MCA mahu keluar dari BN ketika Umno sedang tersungkur dan lemah sejurus kalah teruk dalam PRU-14. Malah, sebelum ini, ada khabar mengatakan bahawa MCA ada berbincang dengan MIC sama ada mahu menendang Umno keluar daripada BN.

Senarai kerusi yang dimenangi oleh MCA pada PRU14 dan PRK:

Kerusi parlimen

Ayer Hitam, Johor - 58% Melayu

Tanjung Piai, Johor (PRK 2019) - 57% Melayu

Kerusi DUN

Cheka, Pahang - 72% Melayu

Titi Tinggi, Perlis - 78% Melayu

Mereka tiada rasa segan silu kerana Umno pun dilihat tidak peduli, mungkin kerana mereka juga mahukan undi dan pengundi Melayu memang akan setia dengan Umno tidak kira apa pun. Ini dapat dilihat melalui perangai mereka ketika mahu melobi kerusi parlimen Tanjung Piai ketika pilihan raya kecil pada 2019. Walaupun Umno mahu bertanding, tetapi MCA pula main ugut-ugut sampaikan ada yang mahu keluar parti beramai-ramai. Malah, hangat juga diperkatakan bahawa jika MCA keluar dari BN maka koalisi itu akan terbubar mengikut perlembangaan BN. Akhirnya Umno dan PAS terpaksa akur dan ‘tutup aib’ tersebut dengan alasan “Muafakat Nasional tidak rasis”.

Namun, ‘pengorbanan’ masih tidak dihargai oleh MCA apabila kita dapat lihat pertelingkahan-pertelingkahan antara MCA dan Umno di peringkat bahagian yang berebut kerusi, seperti yang dilaporkan oleh media. Ditambah lagi dengan isu-isu selepas itu yang melibatkan isu sekolah vernakular, UEC dan terkini iaitu isu pencerobohan tanah di Raub, Pahang.

Dalam isu pencerobohan tanah kerajaan di Raub, Pahang, walaupun jelas terbukti ia satu pelanggaran undang-undang namun MCA telah bertindak secara luar biasa apabila menyokong penceroboh-penceroboh tersebut sampaikan mereka perlu menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat parti yang dianggotai sendiri oleh pimpinan mereka, termasuklah yang mempunyai jawatan timbalan menteri yang tiada kaitan pun. Nampak betapa pentingnya isu ini kepada MCA, mungkin kerana mereka mahu terus melobi kerusi parlimen Raub lebih-lebih lagi pilihan raya umum sudah dekat. Sekali lagi, kerusi parlimen Raub majoriti pengundinya ialah orang Melayu tetapi menjadi ‘kerusi tradisi’ MCA selama ini.

Lebih mengecewakan, pimpinan Umno dan PAS yang bersuara dalam isu ini tidak pernah pun menyentuh apa yang diusahakan oleh MCA ini. Ya, benar memang DAP juga bersungguh-sungguh membela para penceroboh tanah ini. Tetapi pimpinan Umno dan PAS kelihatan tidak jujur apabila hanya menuding jari pada DAP dan PH, bak kata pepatah ‘kuman seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak’. Trend ini sama sahaja dalam pelbagai isu, tidak kiralah RUU355, UEC, sekolah vernakular, hudud, kempen BMF dan sebagainya.

Jika parti-parti Melayu ini jujur dalam memperjuangkan sesuatu isu ataupun agenda, mereka akan lawan siapa sahaja yang menghalangnya, termasuklah rakan satu gabungan politik itu sendiri. Jika tidak, sebenarnya mereka ini hanya melepaskan batuk di tangga yang hanya dahagakan publisiti semata-mata. Sampai bila kita mahu begini?

Sekarang ini bukan sahaja orang Cina yang menolak MCA, tetapi orang Melayu sudah mula meluat dengan sikap MCA. Mungkin kesannya tidak nampak dalam masa terdekat, malah dalam PRU akan datang, yakinlah satu hari nanti orang Melayu akan hilang sabar juga. Lebih-lebih lagi sekarang ini maklumat sudah berada di hujung jari dan maklumat itu akan dapat terus diakses sampai bila-bila.

Sangatlah malang jika MCA terus dapat bertanding di sebahagian besar kerusi dalam pilihan raya akan datang. Paling kurang mereka akan bertanding 39 kerusi parlimen dan 90 kerusi DUN sebagaimana jumlah mereka bertanding dalam PRU-14 dahulu. Dengan ketiadaan Gerakan yang selama ini bertanding di sebahagian besar kawasan Cina, pasti bilangan kerusi yang bakal mereka tandingi akan meningkat.

Jumlah kerusi yang ditandingi oleh MCA sejak PRU-11:

Pilihan raya umum 12: 40 kerusi parlimen, 83 kerusi DUN.

Pilihan raya umum 13: 37 kerusi parlimen, 90 kerusi DUN.

Pilihan raya umum 14: 39 kerusi parlimen, 90 kerusi DUN.

Percayalah, MCA tidak akan menang satu pun kerusi majoriti Cina dan mereka akan hanya bergantung di kerusi majoriti Melayu yang ‘disedekahkan’ oleh Umno kerana itulah talian hayat mereka. Melihat perkembangan pada hari ini, ada kemungkinan juga wujudnya peratusan pengundi Melayu yang signifikan yang akan menolak MCA dan sanggup mengundi calon Melayu PH semata-mata bencikan MCA, tidak turun mengundi atau mengundi pihak ketiga (third force) yang mampu menyebabkan BN terlepas kerusi tersebut. Tidakkah Umno dan PAS (Muafakat Nasional) fikir akan kemungkinan ini?

Bagi saya, eloklah Muafakat Nasional (Umno dan PAS) muhasabah kembali apa yang saya perkatakan ini. Jika MCA ini terus dimanjakan, mereka akan terus besar kepala dan timbulkan pelbagai masalah. Mereka perlu tegas dengan MCA, jika mahu terus bersama, maka MCA perlu akur dan selari dengan kehendak orang Melayu dan fokus bertanding di kerusi majoriti Cina sahaja.

Jika tidak, apakah perlu kita gerakkan kempen ‘kerajaan Melayu-Islam tanpa DAP dan MCA’ pula? Di mana kita pastikan MCA tidak menang satu kerusi pun di kawasan Melayu dan pada masa yang sama pastikan parti-parti Melayu mendapat majoriti untuk tubuh kerajaan. Manakala DAP kekal di blok pembangkang kerana berjaya membolot kerusi-kerusi majoriti Cina yang MCA telah biarkan terlepas akibat hanya selesa mahu menang kerusi Melayu?

Atau kita akan terus melihat MCA terus menjahanamkan ‘kerajaan Melayu Islam’ yang kita semua idam-idamkan selama ini?


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Isma.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.