Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Akhir-khir ini kita dikejutkan dengan tuntutan Filipina ke atas Sabah. Polemik pemilikan Sabah menjadi panas dan komplikated terutamanya di kala pilihan raya negeri (PRN) 2020 yang bakal berlangsung pada 26 September 2020. Siri berbalas kenyataan antara pimpinan kerajaan Malaysia dan Filipina mewarnai suasana politik, sosio dan ekonomi penduduk Sabah. Ada kalangan masyarakat yang keliru tentang kewujudan tuntutan ini dan apa yang terkandung di sebaliknya. Malah jika tidak ditangani dengan bijak, isu Sabah ini boleh menjadi duri dalam daging bagi Asean dan boleh menggugat kestabilan Malaysia serta hubungan diplomatik dengan Filipina.

Titik tolak perbincangan berkaitan isu Sabah ini seharusnya dilihat sejak ratusan tahun yang lalu. Sekitar kurun ke-15 dan 16 masihi Sabah adalah sebuah wilayah yang bebas dan mempunyai penduduk asal yang unik. Dua kerajaan besar pada ketika itu adalah kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu yang mempunyai kekuatan dalam pentadbiran dan ketenteraan hingga mempunyai tanah jajahan yang cukup luas. Hari ini, orang asal yang tinggal di Sabah masih berbaki dan mempunyai hak-hak yang perlu diperakui oleh Kuala Lumpur agar keharmonian dan keamanan dapat dikekalkan di wilayah yang cukup kaya dengan flora dan fauna serta kepelbagaian penduduk yang menjadikan Malaysia Truely Asia.

Brunei adalah pemilik Sabah

Yang benar-benar berhak ke atas Sabah adalah Brunei dan bukannya Filipina. Sebelum 1658, Kesultanan Brunei mempunyai empayar besar hingga menguasai sebahagian besar Sarawak dan juga Sabah. Akan tetapi atas kelicikan oleh si ‘lanun kulit putih’ James Brooke, akhirnya Sarawak dikuasai oleh keluarga Brooke hingga digelar Rajah Brooke. Manakala Sabah pula telah diserahkan oleh Sultan Brunei kepada Kesultanan Sulu kerana membalas budi dan jasa yang tentera Sulu dalam mengalahkan pemberontakkan ke atas kerajaan Brunei. Maka akhirnya Sabah telah diserahkan secara rasmi kepada kesultanan Sulu pada 1658.

Mulai saat tersebut, Sabah telah ditadbir dan dikawal oleh Sultan Sulu hinggalah kedatangan dua individu penting dalam sejarah Sabah iaitu Alfred Dent dan Baron Van Overbeck. Alfred Dent yang memiliki Trading Company di London dan Shanghai telah bekerjasama dengan Baron Overbeck untuk membuat perjanjian ‘penyewaan’ dengan kesultanan Sulu pada 22 January 1878 dengan jumlah pembayaran sebanyak 5,000 Malayan Dollar setahun. Jumlah ini dinaikkan kepada 5,300 Malayan Dollar apabila pelbagai kawasan dan pulau-pulau lainnya dimasukkan ke dalam perjanjian tersebut.

Tiga tahun selepas itu, bagi memudahkan urusan menjarah hasil mahsul Sabah, Syarikat Berpiagam Borneo Utara (British North Borneo Chartered Company) ditubuhkan. Pada ketika era kolonialis ini, pelbagai syarikat persendirian ditubuhkan bagi menyokong aktiviti penjajahan atas nama 3G iaitu ‘Gold, Glory & Gospel’ termasuklah British East India Company, Hong Kong and Shanghai Trading dan Royal African Company. Maka BNBC telah ditubuhkan pada 1 November 1881 di London adalah sebuah syarikat yang telah menjalankan agenda pemilikan terhadap tanah-tanah jajahan baru di seluruh dunia. Pada 1888, BNBC telah mendapatkan perakuan Ratu England untuk BNBC bernaung dibawah Great Empayar of Britain.

Sabah Milik Malaysia

Selepas puluhan tahun ditadbir oleh ‘lanun’ dan ‘syarikat’ British, akhirnya Sabah dan Sarawak telah diberikan kemerdekaan melalui penubuhan persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Walaupun dari segi haknya, Sabah adalah milik kesultanan Sulu, akan tetapi pemilikan oleh BNBC ke atas Sabah melalui perjanjian pada 1878 hingga penubuhan Malaysia adalah terpakai. Walaupun Jepun telah menawan Sabah pada 1941 hingga 19545, akan tetapi Sabah telah ditadbir semula oleh British hingga tahun 1963.

Malah ketika penubuhan Malaysia pada 1963, Filipina yang dipimpin oleh Presiden Macapagal telah tidak bersetuju pada prinsipnya. Akan tetapi pada tahun 1977, Filipina telah menggugurkan tuntutannya ke atas Filipina. Negara-negara lain yang bernaung di PBB pada ketika itu tidak membantah penubuhan Malaysia dengan memasukkan Sabah ke dalamnya. Maka akhirnya jadilah Sabah sebahagian daripada Malaysia dan kekal hingga ke hari ini.

Penjajahan mengubah peta dunia

Atas alasan apakah Sabah ingin menuntut Filipina? Alasan sejarah atau sekadar retorik politik oleh Presiden Duterte? Jika alasan sejarah diambil kira, maka huru-haralah dunia jadinya. Jika alasan sejarah menjadi basis, maka kerajaan Turki berhak ke atas semenanjung Arab hingga sebahagian Eropah, kesultanan Pattani perlu diiktiraf dan mempunyai hak hingga ke Kelantan dan Terengganu. Malah kesultanan Johor juga mempunyai hak ke atas Riau di Indonesia, kesultanan Kedah ke atas Pulau Pinang, Satun dan Nakhon Si Thammarat di Thailand termasuklah wilayah Trang dan Tanesserim di selatan Burma. Akan tetapi semuanya tidak terpakai hari ini apabila tuntutan atas kapasiti sejarah tidak lagi diiktiraf oleh PBB dan Mahkamah Antarabangsa (ICJ).

Dalam pelbagai kes berkaitan tuntutan bertindih, mana-mana perjanjian berasaskan sejarah akan dinafikan oleh perjanjian bertulis yang dibuat secara dokumentasi. Penjajahan Barat telah mengubah peta dunia. Kedatangan kuasa-kuasa penjajah ini telah membawa bersama teknologi kertas dan alat tulis. Malah kebijakkan kuasa imperialis Barat adalah melalui kesungguhan mereka dalam mendokumenkan apa sahaja yang berkaitan di tanah-tanah jajahan milik mereka. Malah yang lebih menarik adalah merekod bukan sahaja merekod, malah mereka juga menyimpan maklumat dan dokumen ini di perpustakaan milik mereka seperti Btisih Library, British Archive, Leiden University, Soas London dan lain-lain lagi.

Apabila adanya tuntutan bertindih ke atas mana-mana wilayah di dunia ini, maka perjanjian yang terdekat adalah diambil kira. Maka dengan ini perjanjian lama atau berasaskan sejarah adalah terbatal. Malah pembinaan struktur sesuatu bangunan dan fasiliti berkaitan di atas kawasan tersebut juga akan diambil kira oleh ICJ dalam menjatuhkan hukuman. Selain itu, ketiadaan bantahan oleh negara-negara tertentu terutamanya negara yang menuntut pada masa pengambilan tersebut adalah diambil kira dalam penghakiman yang dibuat.

Maka atas perkara-perkara tersebutlah kegagalan Malaysia dalam menuntut Pulau Batu Putih atau Pedra Branca telah dijadikan asas dalam penghakiman yang dibuat di The Hague, Belanda. Indonesia juga mengalami nasib yang sama apabila Pulau Sipadan dan Ligitan diberikan pemilikannya kepada Malaysia. Maka keadaan yang sama juga bakal berlaku ke atas Sabah jika tuntutan dilakukan Filipinan di ICJ.

Sabah mencabar & tercabar

Walau bagaimanapun, tidak kelihatan bahawa Filipina ingin membawa isu ini ke peringkat yang lebih tinggi. Persoalannya, jika keadaan ini benar-benar berlaku, apakah kesediaan Malaysia? Adakah kita mampu memberikan hujah yang jelas agar tuntutan Filipina ini boleh ditewaskan? Jangan memandang enteng kemampuan pihak lawan kerana klausa ‘penyewaan’ dan ‘penyerahan’ adalah berbeza. Silap-silap haribulan boleh gagal sebelum berjuang. Ingatlah, kebatilan yang terancang mampu mengalahkan kebenaran yang tidak terancang. Malah dalam isu Sabah ini, pastinya Filipina mempunyai asas yang kukuh dan berjuang bukan atas kebatilan.

Yang lebih menakutkan adalah apabila isu tuntutan Filipina ke atas Sabah ini juga telah dijadikan modal politik oleh parti-parti yang bertanding dalam PRN Sabah 2020. Ini adalah satu keadaan yang amat tidak baik buat Malaysia mahupun penduduk Sabah seluruhnya. Setelah 57 tahun Malaysia ditubuhkan, isu Sabah nampaknya tidak selesai. Malah sesetengah pimpinan politik juga amat dangkal dalam membezakan sosio, budaya dan politik di Sabah hingga menimbulkan keresahan yang berpanjangan.

Malah perlu diingat, ada musuh yang memerhati dari jauh, isu Laut China Selatan yang melibatkan pertembungan dua kuasa besar, Amerika dan China pastinya boleh menjadikan Malaysia dan wilayah sekitarnya sebagai proksi. Jika ada yang meracuni pimpinan politik Sabah, ditambah dengan bantuan taktikal, latihan dan kewangan, maka akhirnya Sabah boleh terpisah dari Malaysia. Ketidakadilan dalam isu agihan kekayaan hasil minyak dan lain-lain sumber alam di Sabah juga boleh menjadi duri dalam daging. Sempadan maritim yang luas dan poros juga boleh menjadi laluan mudah untuk aktiviti jenayah terancang termasuklah penyeludupan senjata dan pengganas. Maka apabila semua isu ini difokuskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan, Malaysia bakal menerima masalah yang besar.

Ambillah semangat sambutan Hari Malaysia 2020, ‘Malaysia Prihatin’ perlu ditonjolkan. Semua pimpinan politik harus prihatin terhadap Sabahan. Tanpa mengira etnik mahupun agama. KDN dan lain-lain agensi penguatkuasaan perlu prihatin terhadap isu keselamatan Sabah. Masyarakat Sabah pula prihatin terhadap niat dan kemampuan kerajaan pusat memenuhi tuntutan MA63, belajarlah bagaimana semangat ‘Treaty Waitangi’ yang diimplementasikan oleh New Zealand dalam mengiktiraf masyarakat Maori. Prihatin akan melahirkan sinergi utuh yang bakal emamcu kemajuan dan kejayaan Malaysia.


DR MOHD MIZAN ASLAM ialah pakar kajian strategik dan antikeganasan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS