Paling Popular
Terkini

"Mahkamah Tinggi di Kuala Terengganu hari ini menjatuhi hukuman gantung sampai mati ke atas seorang pemandu lori setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine bernilai RM22 juta, empat tahun lalu.

"Hakim Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Ishak Ramli, 37, setelah gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Bagaimanapun, seorang lagi tertuduh yang turut didakwa atas pertuduhan sama iaitu Nur Muhammad Izzudin Nordin, 29, seorang kelindan lori telah dilepas dan dibebaskan.

"Mohammad Ishak dan Nur Muhammad Izzudin, masing-masing didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 203.9467 kilogram (kg) di dalam ruang muatan sebuah treler jenis Volvo yang diletakkan di tepi sebuah rumah sekitar Bukit Payong, Marang, pada 11 malam, 25 September 2017."  

Berita di atas aku pungut daripada laporan Bernama yang terbit pada 24 Februari 2021. Kes jatuh hukum ini baru sahaja dilaporkan.

Berita seperti ini bukan satu yang ganjil atau pelik. Malah selang seminggu, selang sebulan ada sahaja kita terbaca kes tangkapan kastam, kes mahkamah, kes operasi polis dan kes jatuh hukum yang melibatkan ganja, ketum, pil kuda, syabu dan seribu satu macam jenis dadah.

Jangan lalai dan jangan tak faham: Untuk aku semua berita ini adalah penerusan sambungan perang dadah yang dilancarkan oleh Presiden Amerika Syarikat Richard Nixon pada 18 Jun 1971.

Tuan puan para pembaca yang budiman, aku ada satu permintaan. Sila ulang baca potongan berita laporan Bernama di atas. 

Baca dengan hati-hati. Kemudian fikir tenang-tenang. Gunakan fikrah yang lapang lagi rasional.

Tarik nafas panjang tutup mata dan bayangkan tali gantung. Kemudian tanya diri sendiri dengan perkara-perkara ini:

  1. Kalau Ishak Ramli ini ada harta sebanyak RM22 juta kenapa dia menjadi pemandu lori ?
  2. Kalau Ishak Ramli ini ada harta sebanyak RM22 juta kenapa dia tidak membuka syarikat lori sendiri ?
  3. Siapa Ishak Ramli ini? Adakah dia seorang jutawan bumiputera?
  4. Kenapa nama Ishak Ramli tidak bermula dengan Datuk atau Datuk Seri? Malah Haji pun tidak ada tersangkut pada namanya walaupun disahkan memiliki dadah bernilai RM22 juta.

Aku harap dengan fikrah yang tenang para pembaca akan menerima pencerahan yang aku tuliskan di sini. Kita semua wajib bersimpati dengan Ishak dan kaum keluarga Ishak.

Hukum gantung bukan main guli. Sekali tarik padam semua.

Pencerahan daripada aku seperti berikut:

Ishak Ramli ini hanya seorang pemandu lori. Dia bukan jutawan. Dia tidak memiliki harta berjumlah RM22 juta. Ishak bukan tuan pemilik apa-apa syarikat pengangkutan. Tan Seri, Datuk atau Haji tidak tersangkut pada namanya kerana dia hanya seorang pemandu lori. Ishak Ramli bukan jutawan Bumiputera.

Kalau Ishak hanya pemandu jadi siapa tuan empunya lori? Apa peranan Ishak? Siapa tauke Ishak? Siapa empunya dadah bernilai RM22 juta ini? Nilai dadah RM22 juta ini bukan kecik anak.

Bayangkan RM22 juta ini boleh beli berapa keping roti canai? Sila tanya YB Khairuddin Takiri dengan RM22 juta ini boleh beli berapa puluh buah kereta Audi Q7? Atau tanya Timbalan Menteri Besar Kelantan Nik Amar Nik Abdullah berapa buah kereta Mercedes dapat dibeli dengan duit sebanyak RM22 juta?

Maka timbul persoalan hakiki siapa sebenarnya sosok yang bernama Ishak Ramli ini?

Keldai gagah angkat barang

Biar aku beri pencerahan . Aku tak kenal Si Sahak ini. Pada hemat aku Si Sahak ini hanya ‘tukang bawa’. 

Dalam istilah perang dadah – dalam istilah jabatan kastam, dalam istilah polis - Ishak ini dipanggil keldai. Dalam istilah Interpol – Polis Antarabangsa - Ishak ini dikenali sebagai mule.

Mule ini keldai dalam bahasa Orang Putih.

Guna pakai perkataan keldai atau mule bukan bertujuan untuk menghina. Ini satu penghormatan kerana keldai adalah sejenis bintang yang gagah berupaya mengangkat barang yang berat ke mana saja diarahkan. Tapi keldai ini haiwan yang agak bodoh.

Keldai bernama Ishak ini hanya pembawa. Dia mengambil dari satu tempat dan membawa ke satu tempat yang lain. Keldai ini makan upah. Keldai ini sedar dan tahu ada barang yang dibawanya. Barang yang dibawa ini berharga. Lagi mahal nilai barang yang dibawa maka lagi banyak duit masuk dalam saku keldai.

Jadi siapa tuan empunya dadah ini?

Jawapan kepada persoalan ini bunyinya susah untuk dijawab. Tetapi sebenarnya pihak berwajib tahu salur galur dan rangkaian dadah ini. Pihak kastam dan pihak polis tahu siapa di belakang perniagaan dadah ini.

Kalau tahu kenapa tidak bertindak?

Bro. Sabar dulu.

Aku tahu ramai kawan-kawan kita yang memahami dadah apabila mereka melihat Mat Pet sedang lek lok di tepi jalan. 

Atau bila Abang dan Kakak kita terbaca di Harian Metro tentang seorang Mat Gian memukul ibu sendiri dalam keadaan khayal.

Atau membaca berita Zamani penyanyi Kugiran Slam sedang menyanyi dalam lokap. Atau kita ketawa dan hairan apabila mendengar Rais Yatim cuba melekatkan konsep najis kepada dadah.

Untuk aku semua ini hanya manifestasi dari perang dadah yang telah dimulakan oleh Presiden Nixon pada tahun 1971 dahulu.

Seperti yang telah aku tulis perniagaan dadah ini telah bermula lama dahulu.

Ketika Inggeris menakluk dunia perniagaan dadah dimiliki oleh kuasa empayar Baginda Queen Victoria. Kota London itu didirikan daripada kekayaan menjual candu dari India ke China selain dari hasil rompakan bijih dan emas dari Tanah Melayu.

Perniagaan dadah ini gelap. Perniagaan gelap ini amat lumayan. Dalam dunia ita ini perniagaan pertama yang banyak membawa untung alah menjual senjata. Sesudah meniaga senjata perniagaan kedua yang lumayan ialah meniaga dadah.

Data dari Stockholm Internasional Peace Research Institute (SIPRI) pada tahun 2018 menunjukkan perniagaan senjata berjumlah AS$420 bilion. 

Sementara itu, data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukan perniagaan dadah berjumlah AS$321.6 bilion untuk tahun 2003.

Lebih daripada satu peratus ekonomi dunia ini bersabit dengan jual beli dadah. Ini aku pungut daripada laporan World Drugs Report PBB tahun 2005.

Bila kita ulang baca berita Ishak Ramli dan dibandingkan dengan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu maka kita disedarkan bahawa betapa ciputnya RM22 juta nilai dadah yang ditemui dalam lori Ishak.

Gambar fail, rampasan bahan kimia membuat meth di Myanmar.

Kalau Ishak ini keldai ciput siapa dia yang tidak ciput?

Yang tidak ciput ialah tokan dadah. Jangan silap lihat tokan dadah bukan Mat Pet. Bukan Mat Serabai seluar koyak. Bukan Mat Lekeh penjaga parkir kereta.

Jika pembaca memiliki gambaran Mat Pet atau Ishak Ramli sebagai tokan dadah maka anggapan pembaca salah sama sekali.

Tuan empunya perniagaan dadah bukan duduk di Kampung Kerinchi atau duduk di rumah setinggan di Balakong. Bukan. Bukan. Bukan.

Kalau di Kuala Lumpur tokan dadah rumahnya di Bukit Kenny, kalau tidak di Country Height. Kondonya di Pavillion Bukit Bintang.

Kalau di London rumahnya di Notinghill Gate. Kalau di New York pangsapurinya di Fifth Avenue. Tokan dadah ini bukan kecik anak. Mereka kaya dan raya.

Kalau diketahui rumah, alamat, wilayah tempat tinggal kenapa tidak di tangkap?

Bro, sabar dulu.

Perniagaan dadah ini bertali barut dengan penguasa negara. Tokan dadah ada hubungan intim dengan penguasa daulah.

Apa? Perniagaan dadah ada hubungan dengan kerajaan? Ada hubungan dengan penguasa negara? Ada hubungan dengan presiden, perdana menteri, menteri, yang berhormat, senator, tuan hakim?

Mai sini aku terangkan - lebih jelas dan tidak berlapik-lapik: Perniagaan dadah ini dijalankan dengan pengetahuan kerajaan. Jual beli dadah dikendalikan oleh jentera kerajaan. Tokan dadah ialah sebahagian daripada kerajaan.

Betul ke apa yang ditulis oleh Hishamuddin Rais ini? Atau ini fitnah kerana Hishamuddin Rais ini antikerajaan?

Bukan fitnah Hishamuddin Rais. Tetapi dilaporkan tokan terbesar dadah dalam dunia hari ini ialah CIA – Central Intelligence Agency Amerika Syarikat.

Kuasa hegemoni, kuasa politik dunia dan kuasa ekonomi dunia hari ini dimiliki oleh kuasa imperial Amerika justeru perniagaan dadah yang lumayan ini juga didakwa dimiliki oleh Amerika.

Ini hanya pengulangan sejarah. Dulu sebelum perang dua kedua kuasa imperial dunia ialah kuasa kolonial Inggeris. Ketika itu, perniagaan candu dan dadah dimiliki, dikawal oleh suku sakat Baginda Queen.

Apakah hal ini susah untuk difahami?

Tetapi jika CIA menjalankan perniagaan dadah kenapa presiden Nixon melancarkan Perang Dadah pada 18 Jun 1971. 

Presiden Amerika sendiri adalah Ketua Angkatan Tentera Amerika. Lembaga CIA di bawah Kementerian Pertahanan Amerika.

Oppss... sabar dulu. Ada berita baru masuk pada Ahad 28 Feb 2021 daripada Bernama:

"Jeli – Polis mengenal pasti beberapa dalang utama sindiket penyeludupan dadah di negara ini yang berselindung di sebalik status ‘Tan Sri’, ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

"Beliau berkata Jabatan Narkotik di Bukit Aman kini dalam proses untuk mengambil tindakan terhadap tauke dadah terbabit, yang juga didapati hidup mewah dengan berselindung di sebalik perniagaan yang sah menyebabkan polis sukar untuk mendapatkan maklumat yang boleh mengaitkan mereka dengan kegiatan pengedaran dadah."

Hayati berita ini dahulu. Tunggu sambungan minggu hadapan. 


BACA BERKAITAN:

KOLUM | Perang Dadah

KOLUM | Ganja dan ketum: Tumbuhan asli Tanah Melayu


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS