Kata pepatah Cina: "Permulaan yang baik merupakan separuh kejayaan." Jika pepatah ini berasas, maka permulaan yang tidak baik mesti dielak bagi menjamin kejayaan yang dihasratkan.

Jika ditinjau daripada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam di Raub Pahang pada 28 Januari lalu, pemboikotan oleh PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tanpa persediaan yang mencukupi, nampaknya tidak membawa kesan positif seperti yang diharapkan terhadap reformasi sistem pilihanraya yang serba pincang.

DAP yang mengambil keputusan tidak bertanding di Batu Talam pada masa itu, tidak lupa untuk menegaskan bahawa parti itu tidak menyertai pemboikotan pilihanraya kecil yang dianjurkan oleh PAS itu. DAP rasanya lebih mahu menjarakkan parti itu daripada PAS, daripada memperjuangkan reformasi sistem pemilihan sebagai perjuangan bersama pembangkang.

Tak sangka, dalam masa yang begitu singkat sekali, pilihanraya kecil DUN Machap pula akan diadakan pada 12 April 2007 berikutan kematian wakil rakyatnya Poh Ah Tiam pada 15 Mac yang lalu.

Memandangkan pada tahun 2004, calon DAP, Liou Chen Kuang hanya mendapat 1,285 undi dan tewas kepada mendiang Poh yang memperolehi 5,847 undi, dan pada tahun 1999, Zamani Abdul Wahid (Keadilan) mendapat 2,340 undi dan juga tewas kepada Poh yang memperolehi 4,966 undi, maka rasanya peluang untuk pembangkang memenangi pilihanraya kecil kali ini juga tidak cerah.

Namun, di luar dugaan juga, perebutan antara PKR dan DAP untuk bertanding dalam pilihanraya kecil kali ini boleh menjadi begitu sengit, sehinggakan belum sempat rundingan dimulai dan pakatan tercapai, polimik perebutan peluang bertanding antara dua parti berkenaan, tercetus dengan tiba-tiba.

Beri laluan

PKR terlebih dahulu menyatakan pendiriannya tidak akan memberi laluan kepada calon DAP untuk bertanding kali ini seperti dalam tahun 2004 kerana calon PKR dilihat lebih berpeluang memenangi kerusi tersebut, berbanding dengan calon DAP. Malah, nama Tian Chua juga pernah disebut sebagai calon yang dipertimbangkan.

DAP melenting untuk mempertahankan "kawasan tradisinya" dan tercetuslah suatu polimik yang agak hangat di media bahasa Cina suatu episod yang mengecewakan penyokong pembangkang yang ingin melihat solidariti pembangkang dijalin dan perkukuhkan agar prinsip satu lawan satu akan dipelihara dalam menentang Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang.

Mujurlah mesyuarat biro politik PKR pada 21 Mac lalu mengambil pendirian untuk tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Machap, malah mendesak SPR supaya menyegerakan reformasi sistem pilihanraya secara menyeluruh.

Dikemukakan juga tuntutan agar SPR memulakan langkah reformasi awal dengan menghapuskan undi pos di kalangan anggota tentera dan polis, membersihkan daftar pemilih dan membenarkan penggunaan dakwat kekal ketika pemilih membuang undi.

Rasanya wajar sekali diulangi perjuangan reformasi sistem pilihanraya secara menyeluruh dengan tuntutan langkah-langkah reformasi yang konkrit sebagai kesinambungan kepada pemboikotan pilihanraya kecil Batu Talam dahulu.

Dan penegasan biro politik PKR bahawa DUN Machap adalah salah satu kawasan tumpuan yang sudah dikenalpasti (sebagai kawasan yang) amat sesuai untuk parti itu bertanding dalam pilihanraya umum ke-12 nanti, boleh juga dipandang sebagai prasyarat laluan diberi.

Calon 'heavyweight

Jika calon DAP gagal mencabar calon BN kali ini, maka memang adil calon KeADILan pula diberi peluang, umpama apabila calon PKR tewas pada 1999 di kawasan Machap, maka pada 2004 calon DAP pula diberi peluang. Maka tiada mana-mana parti yang berhak memonopolikan mana-mana kawasan sebagai "kawasan tradisinya"!

Kepada penyokong pembangkang, yang penting mungkin bukan parti mana yang bertanding, tetapi calon yang paling sesuai dan lebih berpeluang memenangi kerusi berkenaan dan sekaligus memperkukuhkan kerjasama antara parti pembangkang dan membina momentum bagi pilihanraya umum akan datang.

Mana-mana parti yang bertanggungjawab dan sedar akan tugas dan cabaran yang begitu berat sekali, tentu tidak berani bersikap sambil lewa dalam menghadapi pertandingan yang penting dan strategik ini selepas kelembapan pemboikotan kerusi Batu Talam.

Segala harapan sekarang ditumpukan terhadap DAP yang dipercayai mampu memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihanraya umum akan datang. Untuk menunjukkan keseriusan DAP, sekurang-kurangnya seorang calon "heavyweight" wajar diamanahkan untuk memikul tanggungjawab seberat itu, dan cabaran yang hebat tentu dinanti-nantikan.

Jika Liou Chen Kuang menjadi calon sekali lagi, ia akan memberi gambaran seolah-olah DAP sudah mengaku kalah sebelum bertanding, kerana penyokong pembangkang tentu akan kecewa kerana tiada mana-mana "heavyweight" yang sudi dikorbankan dalam suatu pertandingan yang dianggap tidak berpeluang untuk menang. Dan terbuktilah tuduhan setengah pihak bahawa DAP telah mengaku tak mungkin memenangi kerusi terbabit.

Jika Liou yang akan bertanding, penyokong pembangkang tentu akan bertanya: Jika Tian Chua sudi bertanding, kenapa Liou?