Sebaik saja Sheikh Hasina Wajid meletakkan jawatan sebagai perdana menteri Bangladesh pada 5 Ogos lalu, suatu perasaan euforia iaitu kegembiraan bercampur keterujaan melanda negara itu terutama di kalangan pelajar.

Anak-anak muda keluar ke jalan raya beramai-ramai di Dhaka menyambut kemenangan dengan menyifatkan negara mereka sebagai “Bangladesh Baru” (New Bangladesh). Begitu tinggi harapan pelajar-pelajar universiti dan kolej itu. Seperti di mana-mana di dunia, anak-anak muda terpelajar adalah penggerak bagi pembaharuan dengan bersikap idealis walaupun naif.

Apa yang berlaku di Bangladesh pernah juga terjadi di Sri Lanka pada tahun 2022 dan lebih jauh lagi di Indonesia pada tahun 1998 yang menjatuhkan kerajaan masing-masing. Seringkali ia bermula dengan bantahan daripada para pelajar dengan akhirnya pihak tentera menghentikan sokongan terhadap kerajaan.

Di Bangladesh, pada mulanya tuntutan pelajar adalah untuk penghapusan kuota 30 peratus kakitangan awam kepada keluarga-keluarga pejuang kemerdekaan. Tetapi setelah ada para penunjuk perasaan mati ditembak oleh anggota tentera, maka tuntutan jadi meluas kepada peletakan jawatan Sheikh Hasina.

Tuntutan penghapusan kuota itu pada mulanya telah dipenuhi dengan penurunan dibuat daripada 30 peratus kepada tiga peratus. Tetapi peletakan jawatan perdana menteri itu hanya berlaku apabila tentera memihak kepada para pelajar. Mereka enggan mematuhi arahan kerajaan supaya “menembak pada dada”. Sebaliknya tentera melalui presiden meminta Sheikh Hasina meletak jawatan dan meninggalkan Bangladesh dalam masa  48 jam. Malah beliau dihalang daripada berucap sebelum berlepas ke India dengan menggunakan pesawat tentera. 

Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabudeen membubarkan kabinet Liga Awami dan Parlimen. Beliau melantik pemenang Hadiah Nobel, Mohammed Yunos sebagai Perdana Menteri interim (sementara) dan majlis penasihat yang terdiri daripada pihak tentera, wakil gerakan pelajar dan teknokrat-teknoktat lain bagi menggantikan kabinet. Persiapan diadakan bagi mengadakan pilihan raya baru. Serentak itu, ahli-ahli politik pembangkang yang ditahan oleh kerajaan Sheikh Hasina telah dibebaskan. Antaranya ialah pesaing ketat beliau, Khaleda Zia dari Parti Nasional Bangladesh (BNP).

Sheikh Hasina menyatakan dia akan pulang dan bertanding dalam pilihan raya umum yang akan diadakan itu. Beliau yang berusia 76 tahun telah menjadi perdana menteri selama 20 tahun, dari tahun 1976 hingga 2001 dan dari tahun 2009 hingga 2024. Beliau adalah anak kepada Bapa Kemerdekaan Bangladesh, Sheikh Mujibur Rahman yang dipanggil secara mesra dengan nama “Bangabadhu”.

Terdapat banyak video di media sosial yang menunjukkan bagaimana para pelajar meraikan kejatuhan Sheikh Hasina dengan meruntuhkan patung-patung Sheikh Mujibur Rahman serta menurunkan dan memadamkan potretnya di merata-rata tempat di Dhaka. 

Patung-patung itu bukan saja dirosakkan tetapi juga dihina dengan pelbagai cara. Ada yang meruntuhkannya dengan menggunakan jentera berat, maknanya usaha para pelajar itu turut dibantu oleh pihak lain yang tidak menyukai bukan saja kerajaan Sheikh Hasina tetapi juga legasi bapanya. Tetapi ada patung seorang pemimpin yang mereka tidak runtuhkan, sebaliknya dihormati dengan meletakkan kalungan bunga. Ia adalah patung perdana menteri pertama Bangladesh, Tajuddin Ahmed. Beliau menjadi perdana menteri pada tahun 1972 ketika Sheikh Mujibur Rahman memegang jawatan presiden. Walaupun dari parti yang sama, Tajudin pernah berpecah dengan Mujibur Rahman.

Sheikh Hasina dan bapanya, Mujibur Rahman

Turut membantu tindakan para pelajar itu meruntuhkan patung-patung Mujibur Rahman ialah beberapa orang berpakaian seragam yang dipercayai adalah anggota tentera. Dalam klip video itu, mereka meruntuhkan patung itu di depan himpunan para pelajar. Ada laporan yang menyatakan berlaku perpecahan di kalangan tentera, di mana pegawai atasan menyebelahi Sheikh Hasina sementara anggota biasa yang lebih ramai bilangannya enggan mematuhi arahan menembak ara penunjuk perasaan. Akhirnya kepimpinan tentera akur dengan tuntutan pelajar bagi mengelakkan pertumpahan darah yang lebih besar.

Pertembungan antara pelajar dengan tentera juga berlaku di Myanmar yang mengakibatkan korban anak-anak muda dan perang pemberontakan yang masih berlanjutan. Di Thailand, pertembungan antara gerakan pelajar dengan tentera juga masih bermasalah. Ini kerana walaupun demokrasi dilaksanakan ekoran tindakan gerakan pelajar, tetapi tentera mempunyai pengaruh yang besar hinggakan perdana menteri pilihan majoriti pengundi melalui pilihan raya boleh ditolak oleh pihak tentera. Rasa tidak puas hatinya tentunya akan berterusan walaupun pilihan raya umum telah diadakan.

Melihat begitu banyak patung-patung Mujibur Rahman di seluruh Bangladesh tentunya mendatangkan tanda tanya, begitu juga dengan adanya patung anggota-anggota pejuang kemerdekaan di banyak tempat.

Adalah suatu perkara biasa di merata tempat di dunia di mana tokoh utama negara diabadikan dalam bentuk patung supaya rakyat mengingatinya, di samping menyemai semangat patriotisme.

Di Malaysia pun, patung Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman turut didirikan dan diletakkan di depan bangunan Parlimen. Tugu Negara pula ada patung-patung anggota tentera mengalahkan pihak komunis daripada menguasai negara. Tetapi itu saja. Di Indonesia terdapat beberapa patung bapa kemerdekaan mereka, Sukarno.

Tetapi di Bangladesh, bilangan patung Mujibur Rahman banyak. Potret bersaiz besar juga digantung di dinding-dinding. Ia seperti suatu usaha politik untuk mempertahankan dan melanjutkan pemerintahan Sheikh Hasina dan parti Liga Awami.

Sama seperti apa yang dilakukan rejim-rejim Komunis di zaman Perang Dingin. Umpamanya Soviet Union membina patung-patung pengasasnya, Lenin di merata tempat. Begitu juga di negara-negara Komunis Eropah Timur, China dan Korea Utara. 

Amalan kultus personaliti atau pendewaan terhadap pemimpin ini bertujuan mengukuhkan kedudukan kerajaan memerintah yang dikaitkan dengan penubuhan negara berkenaan. Maknanya mencintai negara bermakna menyokong dan setia pada kerajaan sedia ada. Lebih-lebih lagi Sheikh Hasina adalah anak kepada pengasas negara. Ia juga berkait dengan legitimasi parti Liga Awami dan hak keluarga para pejuang kemerdekaan untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam.

Bangladesh bukan negara sosialis atau komunis walaupun Liga Awami yang bererti Liga Rakyat, yang asalnya adalah sayap kiri Liga Muslim sebelum penubuhan Bangladesh. Walaupun ia memberi nama rasmi negara sebagai Republik Rakyat tetapi Bangladesh adalah sebuah demokrasi yang melaksanakan pilihan raya umum. Maknanya Republik Rakyat Bangladesh bukanlah seperti Republik Rakyat China. Rakyatnya bebas berniaga dan meninggalkan negara.

Ada dasar dan pentadbiran Sheikh Hasina yang baik untuk negara. Apabila berdepan dengan kebangkitan para pelajar, penyokong beliau turut menyebarkan pencapaian kerajaan pimpinannya. Antaranya membuka peluang kepada wanita, pembinaan lebuh raya dan laluan kereta api bandar dan juga penubuhan universiti.

Tetapi apabila melihat para pelajar dan orang ramai meruntuhkan patung Mujibur Rahman dan memadam gambarnya di tembok-tembok, ia menunjukkan betapa marahnya rakyat pada kerajaan. Ia seperti marahnya rakyat di negara-negara komunis pada pemimpin mereka.

Sebahagian daripada perusuh yang meruntuhkan patung-patung itu, jika dilihat daripada pakaian mereka, adalah daripada golongan Islamis. Mereka meruntuhkan semua jenis patung termasuk patung hiasan di pekarangan rumah perdana menteri. Apabila ditanya, mereka berkata patung haram di sisi Islam. Patung-patung yang banyak di Bangladesh menyebabkan negara itu tidak ada berkat, katan mereka.

Ada juga beberapa peristiwa yang mana kuil-kuil Hindu turut diserang dan patung-patung keagamaan mereka dimusnahkan. Kejadian ini dipercayai dilakukan oleh pelampau agama Islam dan bukannya para pelajar yang membuat tuntutan asal. Keadaan huru-hara ini diambil kesempatan oleh segolongan pelampau yang tidak toleran pada minoriti Hindu.

Walaupun Bangladesh merupakan negara sekular dengan majoriti penduduk menganut Islam, ada minoriti Hindu yang merangkumi lapan peratus penduduk. Maka sudah tentu terdapat banyak kuil yang mempunyai patung. Sebarang rusuhan mendedahkan mereka kepada ancaman keselamatan.

Terdapat golongan konservatif Islam yang besar di Bangladesh. Sebahagiannya menjadi penyokong parti Islamis, iaitu Jamaati Islami yang memperjuangkan penubuhan sebuah negara Islam. Jamaati Islami Bangladesh pada mulanya adalah sebahagian daripada Jamaati Islami Pakistan yang ditubuhkan pada tahun 1941. Mereka mempunyai hubungan fahaman politik dengan Ikhwanul Muslimin Mesir.

Semasa perang kemerdekaan pada tahun 1971, Jamaati Islami cawangan Bangladesh menolak pemisahan wilayah itu daripada Pakistan. Maka pemimpin-pemimpinnya dianggap sebagai pengkhianat dan ia diharamkan.

Pada tahun 1975, apabila berlaku rampasan kuasa tentera, Jamaati Islami ditubuhkan semula. Dalam pilihan raya, parti itu sering bersekutu dengan BNP. Jamaati Islami menyokong tindakan pelajar membantah kuota berkenaan dan ekoran itu Sheikh Hasina mengharamkannya pada 1 Ogos lalu. Tetapi dengan ketiadaan Sheikh Hadina sebagai perdana menteri, penyokong-penyokong Jamaati Islami muncul semula.

Walaupun secara emosi para pelajar meletakkan harapan tinggi terhadap kemunculan “Bangladesh baru”,  tetapi ia akan disusuli dengan realiti politik yang memperlihatkan persaingan politik antara  Liga Awami dan BNP, dengan Jamaati Islami bersekutu dengannya. Dinamik politik Bangladesh adalah sebegitu rupa.  

Pengalaman politik kebangkitan pelajar dan rakyat, sama ada di Filipina, Indonesia, Thailand mahupun Sri Lanka, menunjukkan bahawa lebih mudah untuk menjatuhkan rejim lama dan menggantung harapan tetapi bagi mewujudkan suatu “negara baru”, ia menjadikannya terlalu idealistik dan naif. Tetapi perjuangan tidak mengenal rasa puas hati. Walaupun tidak tercapai semuanya, sekurang-kurangnya perubahan tetap diinginkan dan sebahagiaannya juga dapat dicapai apabila dilakukan dengan bersungguh-sungguh. 


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.