KOLUM | Memelihara kepercayaan pada sistem negara
Sebagai peringatan, 10 tahun dahulu iaitu pada tahun 2015, soal 1MDB sudah menjadi isu walaupun maklumat mengenainya cuba disembunyikan.
Media arus perdana tidak dibenarkan melaporkan mengenainya. Banyak maklumat hanya diketahui melalui media luar khususnya Sarawak Report.
Saya pada masa itu berada dalam media arus perdana dan tidak mengetahui mengenai isu 1MDB. Saya hanya mengetahui apabila membaca satu hantaran media sosial dari Dubai.
Itu pun pada mulanya saya hanya memikirkan bahawa ia hanya merupakan bahan kempen pembangkang. Tetapi kemudian datang maklumat hingga sukar untuk diketepikan begitu saja.
Di medan politik, sejak tahun 2013 lagi, Umno berusaha melemahkan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS. Hubungan yang paling lemah ialah antara DAP dan PAS.
Maka diusahakan untuk memecahkan PAS iaitu antara golongan yang menyokong Anwar Ibrahim dan golongan yang tidak menyokong Anwar sebagai pemimpin.
Usaha ini berjaya. PAS dapat dipecahkan apabila golongan yang menyokong Anwar dapat dikeluarkan dari kepimpinan PAS. Maka PAS pun tarik diri dari menyokong Anwar dan Pakatan Rakyat pun bubar.

PAS tidaklah menyertai BN tetapi “mesra Umno” pimpinan Perdana Menteri Najib Razak. Maka tentulah golongan yang menyokong Anwar ini sudah tidak selesa untuk terus berada dalam PAS.
Antara mereka, ada yang menyertai PAS sejak tahun 1980-an dan menentang Umno ketika Anwar menjadi salah seorang pemimpin Umno. Mereka menentang Umno adalah kerana prinsip.
Sama ada wujud 1MDB atau tidak, sama ada Anwar atau tidak, mereka melawan Umno, sebabnya antaranya ialah mereka anggap Umno korup. Bukan saja Umno zaman Najib Razak, tetapi juga Umno dalam zaman Dr Mahathir Mohamad.
Malah sebahagian mereka juga percaya bahawa sistem negara perlu dirombak untuk membanteras korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Maka sebab itulah apabila Anwar dipecat dari Umno dan membawa gagasan Reformasi, maka mudah penyokong PAS menyertai perjuangan Anwar dan PKR.
Tetapi apabila pucuk pimpinan PAS mengambil dasar “mesra Umno”, menerima kepimpinan Najib dan tidak mempersoalkan isu 1MDB, sebahagian penyokong PAS tidak dapat menerimanya.
Maka pada tahun 2015, mereka tinggalkan PAS dan menubuhkan Amanah. Parti ini pula mendorong kepada penubuhan Pakatan Harapan (PH) untuk menggantikan Pakatan Rakyat.
Tetapi hakikatnya, Amanah amat kecil berbanding PAS, dan ia tidak dapat menggantikan PAS dalam medan politik negara. Oleh itu PH tidak sekuat Pakatan Rakyat.
Strategi Najib sudah berjaya. Pakatan Rakyat sudah bubar dan Pakatan Harapan amat lemah. Lebih-lebih lagi ketuanya Anwar Ibrahim dalam penjara.
Strategi tiga penjuru
Maka strategi pilihan raya bagi BN ialah pertandingan tiga penjuru dengan PAS memainkan peranan memecah undi PH. Selepas itu PAS bolehlah menjadi rakan politik dengan BN.
Apa yang tidak disangka ialah kemunculan Bersatu dan kemasukan semula Dr Mahathir ke dalam politik pada tahun 2016.
Setelah Muhyiddin Yassin digugurkan daripada jawatan timbalan presiden Umno kerana mempersoalkan tentang 1MDB, maka kedudukan Najib dianggap bertambah kukuh, iaitu kalaulah Muhyiddin tidak bangkit melawan.
Oleh kerana orang Umno adalah pihak dalam parti kerajaan, maka mereka lebih mengetahui dan memahami soal korupsi dan juga isu 1MDB berbanding dengan orang PH yang hanya mengetahui dari luar.
Sekiranya tidak ada Bersatu, PH tidak akan mampu untuk mengalahkan BN. Malah BN boleh bukan saja mengalahkan PH dalam PRU ke-14, tetapi juga mampu kembali memiliki majoriti dua pertiga dengan bantuan PAS yang memecah undi pembangkang dan seterusnya menjadi penyokong kerajaan selepas PRU.

Tetapi kemunculan Bersatu dan juga Dr Mahathir mengubah landskap politik negara. Lebih-lebih lagi apabila Bersatu menyertai PH. Strategi itu jelas tetapi tentulah pihak PH sukar menerimanya lebih-lebih lagi calon perdana menteri yang ditampilkan ialah Dr Mahathir, tokoh yang PKR, DAP dan Amanah tentang sejak dari dahulu.
Bersatu pula adalah parti yang perjuangannya sama dengan Umno. Ia menentang BN kerana menolak kepimpinan Najib dan juga isu 1MDB. Bersatu tidak mempunyai keserasian fahaman politik dengan PH. Tetapi tanpa penyertaan ke dalam PH, Bersatu dan juga Dr Mahathir tidak akan ke mana.
Maka bukan saja Bersatu mempunyai pakatan dengan PH, tetapi ia terus menyertai PH. Syarat yang diterima oleh Dr Mahathir ialah jika PH menang, usaha hendaklah dibuat untuk pembebasan awal Anwar dan Dr Mahathir perlu menyerahkan jawatan perdana menteri dalam kira-kira separuh penggal.
Maka sejarah menunjukkan bahawa PH menang dan strategi PAS untuk memecahkan undi pembangkang untuk memenangkan BN gagal. Apabila Dr Mahathir menjadi perdana menteri kali kedua, Anwar dapat dibebaskan dan Najib diheret ke mahkamah. Kes 1MDB dibongkar dan rupa-rupanya ia amat besar, lebih besar daripada sangkaan PH.

Tetapi tentulah agenda Reformasi tidak boleh dilaksanakan. Ini kerana Dr Mahathir dan Bersatu bukanlah pendukung gagasan Reformasi
Sementara itu, BN dan PAS bekerjasama dalam siri pilihan raya kecil. Tidak ada lagi bersembunyi, sememangnya PAS berpakat dengan Umno dalam gagasan Muafakat Nasional atas nama perjuangan orang Melayu. Pihak PAS sudah tidak menganggap Umno sebagai parti korup.
Tumbang tak sampai sepenggal
Lagipun mereka berkira bahawa walaupun PH menang tetapi majoriti undi Melayu adalah pada Umno dan PAS. Sekiranya orang Melayu padu menyokong Umno-PAS, maka PH pasti kalah. Siri pilihan raya kecil itu menunjukkan bahawa strategi Umno-PAS itu berjaya dan pasti PH hanya mampu memerintah sepenggal.
Namun tidak sampai sepenggal, kerajaan PH tumbang pada tahun 2020. Ia bukan angkara BN atau PAS. Ia adalah angkara orang dalam PKR dan juga Bersatu. Pada mulanya Dr Mahathir yang letak jawatan sebagai perdana menteri dan kerajaan PH pun tumbang. Kemudian sebahagian wakil rakyat PKR keluar parti dan menyertai Bersatu.
Parti itu pula keluar dari PH. Satu kerajaan baharu ditubuhkan yang diketuai oleh Muhyiddin. Ia disertai oleh Umno dan PAS. Kedua-dua parti itu penyokong Najib. Kerajaan itu tidak stabil dan kemudian ia dipimpin oleh naib presiden Umno Ismail Sabri Yaakub.
Walaupun banyak sebab mengapa kerajaan PH ditumbangkan tetapi umumnya dapat dilihat bahawa ia merupakan usaha Bersatu dan sebahagian bekas ahli PKR yang mahu menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri. Umno dan PAS hanya mengambil kesempatan dari kemelut politik PH.
PRU ke-15 pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru: PH, BN dan PN. Muafakat Nasional pecah dan PAS berpakat dengan Bersatu dan bukannya Umno. PH sememangnya melawan Najib. Umno adalah penyokong Najib.
Tetapi PN menjadi pelik kerana Bersatu melawan Najib sedangkan PAS menyokong Najib. Kemudiannya pula, Dr Mahathir menjadi penasihat PAS sedangkan dia menentang Najib sebab isu 1MDB.

Hasil PRU ke-15 menunjukkan bahawa pihak yang memperoleh kerusi terbanyak perlu bekerjasama dengan salah satu daripadanya untuk menubuhkan kerajaan. Maka PH bekerjasama dengan BN. Ia tidak menjadi kerajaan PH, sebab itu dinamakan kerajaan Madani. Banyak tolak ansur perlu dilakukan oleh PH dan BN bagi menjayakan kerajaan ini. Lebih-lebih lagi Umno adalah penyokong Najib. Dalam keadaan ini sudah tentu sekali lagi PH tidak dapat menjayakan agenda Reformasi.
Buat masa ini Najib sudah berjaya memendekkan tempoh tahanannya kepada enam tahun. Kini usahanya adalah untuk mendapatkan tahanan di rumah.
Rakyat umumnya memerhatikan gelagat golongan elit negara dalam menggunakan sistem politik sedia ada. Tidak mustahil kepercayaan rakyat terhadap sistem ini boleh terhakis jika mereka melihat banyak berlaku ketidakadilan yang dilakukan oleh golongan elit yang mempunyai kuasa dan pengaruh.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/01/444f6487b07f4259f03ce47c6ecbad1d.jpg)
