KOLUM | Bayar hutang itu apresiasi sayang bangsa
Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan bahawa tindakan tegas kepada peminjam yang culas membayar hutang bukanlah kejam, tetapi bertunjangkan prinsip kebertanggungjawaban demi kesinambungan amanah.
Reaksi balas beliau terhadap kritikan yang menyifatkan tindakan tegas Mara sebagai ‘tidak membantu Melayu’ dibalas dengan penegasan yang sangat bernas:
“Maaf ya! Sebab nak tolong Melayulah hutang wajib dibayar.”
Kenyataan ini membawa mesej penting bahawa kebajikan tidak boleh meminggirkan disiplin. Dalam erti kata lain, kasih sayang terhadap bangsa dan rakyat mestilah datang bersama nilai akauntabiliti.
Kenyataan ini mencerminkan secara langsung nilai-nilai teras dalam Kerajaan Madani, khususnya amanah–pengurusan pinjaman Mara yang lebih tegas dan sistematik mencerminkan komitmen menjaga amanah negara.
Berkaitan disiplin pula, rakyat digesa membudayakan sikap bertanggungjawab terhadap kewangan.
Seterusnya, kebertanggungjawaban sosial, tindakan peminjam melunaskan hutang membuka peluang kepada orang lain pula untuk dibantu. Keadilan sosial bermaksud bantuan Mara disasarkan kepada yang benar-benar layak dan masih menunggu giliran.
Inilah wajah keunikan Kerajaan Madani bawah Anwar Ibrahim, bukan hanya membantu rakyat secara langsung, tetapi mendidik rakyat untuk menjadi matang dan berprinsip.
Hutang Mara dan Prinsip Islam
Dalam Islam, melengah-lengahkan pembayaran hutang tanpa sebab munasabah adalah satu kezaliman, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Penangguhan (membayar hutang) bagi orang yang mampu adalah satu kezaliman." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, pendirian Mara selari dengan prinsip syariah. Membayar hutang bukan sekadar memenuhi kontrak, tetapi satu tuntutan moral dan agama.
Dasar pengurangan bayaran balik pinjaman Mara yang diluluskan oleh Majlis Mara menunjukkan kerajaan tidak menutup mata terhadap kesulitan rakyat. Ada dua sisi penting, iaitu tegas terhadap yang mampu tetapi culas dan prihatin terhadap yang benar-benar susah.
Ini membuktikan bahawa dasar Kerajaan Madani ialah seimbang dan bersifat solutif, bukan menghukum secara membuta tuli.
Dalam konteks pembangunan sosioekonomi Melayu dan Bumiputera, Mara menjadi tunjang utama sejak dahulu. Justeru, kebertanggungjawaban dalam membayar kembali pinjaman adalah satu bentuk patriotisme ekonomi.
Dengan setiap hutang yang dibayar, Mara boleh bantu anak-anak muda baru dan dana yang dikitar semula ini membolehkan Mara kekal relevan sebagai agensi pembangunan bangsa.
Bukan populis, tapi progresif
Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim berani mengambil pendekatan tidak popular menyatakan kebenaran dan mendisiplinkan sistem, walaupun mungkin mengundang kritikan jangka pendek. Namun inilah yang diperlukan Malaysia.
Pihak kerajaan yang tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi membina sistem yang mampan.
Justeru, pemimpin yang berani menegur walau dalam nada tegas, tetapi demi kebaikan jangka masa panjang. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Madani bukan sekadar memanjakan rakyat dengan bantuan, tetapi mendidik rakyat menjadi lebih berintegriti dan matang.
bina Jiwa Merdeka
Kenyataan Asyraf Wajdi membuka lembaran refleksi kepada semua rakyat, tidak kira kaum dan menjelaskan bahawa bantuan kerajaan bukan hak mutlak, tetapi amanah yang perlu dijaga.
Setiap ringgit yang dibayar semula adalah peluang baharu kepada orang lain dan jangan hanya melihat bantuan sebagai ‘habuan,’ tetapi sebagai “tanggungjawab sosial.”
Kenyataan ini bukan sekadar membela polisi Mara. Ia adalah simbol kepada satu transformasi naratif dalam pentadbiran, bahawa menyayangi rakyat bukan bermaksud memanjakan, tetapi membina rakyat menjadi berprinsip, berdikari dan bertanggungjawab.
Hakikatnya, ini adalah wajah sebenar Kerajaan Madani yang membantu dengan hikmah, mendisiplinkan dengan kasih sayang, dan membina masa depan bangsa dengan penuh tanggungjawab.
ATRIZA UMAR adalah felo di Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/e9ab584cf212b06c20615d0e7bdfaefa.jpg)
