KOLUM | PAS suka PN tetapi Bersatu tidak penting lagi
Apakah masa depan Perikatan Nasional (PN) makin kelam selepas muktamar PAS dan perhimpunan agung Bersatu? Gambaran yang diberikan oleh dua pemikir ini, seorang penggerak utama dalam PAS dan seorang ahli akademik berwibawa, seolah-olah retak dua parti ini sedang menuju belah.
Dr Mohd Zuhdi Marsuki menulis di Facebook (18 September):
"Pengalaman saya melihat Angkatan Perpaduan Ummah (APU) terbubar, dan merasai sendiri pengalaman Pakatan Rakyat (PR), Gagasan Sejahtera (Gagasan) dan Muafakat Nasional (MN) runtuh, apa yang berlaku kepada PN sekarang sedang menuju kepada fasa penamat."
Menulis di sebuah akhbar harian (17 September), Dr Mohd Yusri Ibrahim pula menulis:
"Ringkasnya, perhimpunan agung tahunan Bersatu dan muktamar tahunan PAS meninggalkan luka dalam terhadap hubungan antara kedua-dua parti. Jika tidak diubati segera, luka berkenaan berisiko merebak yang boleh menyebabkan PN sakit tenat, bahkan berisiko mati dengan asbab itu.
"Pascaperhimpunan agung dan muktamar ini menyebabkan nasib, hala tuju serta masa depan PN semakin tidak menentu. Hanya kebijaksanaan pemimpin kedua-dua parti berkenaan akan jadi penentu ke mana PN, sama ada terus mendaki tangga politik tanah air atau bakal jadi artifak muzium politik seperti Gagasan, PR dan APU."
Kalaulah perselisihan terbuka ini, paling ketara sejak setahun lepas, boleh merosakkan peluang masing-masing, apa perlu pertikaian ini dibesar-besarkan dan dibiarkan berlarutan? Memahami persoalan di sebalik pertanyaan ini boleh membuka kita kepada permulaan dan juga natijah masa depan, khasnya berdepan pilihan raya umum ke-16.
Sudah beberapa kali, daripada mulut beberapa pemimpin kanan, PAS menolak Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri. Namun parti Islam tidak pula menamakan seorang tokoh daripada partinya sendiri, malah presidennya Abdul Hadi Awang yang kelihatan uzur awal-awal lagi menolak.

Apakah maksudnya PAS mahu Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainuddin, kini ketua pembangkang, sebagai "poster boy" PN? Atau PAS memang mahu jawatan tersebut tetapi tidak mampu menamakan seorang calon, misalnya Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man? Persoalan ini sahaja sudah cukup rumit sewaktu imej "abah" Muhyiddin dianggap penyumbang kekuatan PN pada pilihan raya 2022.
Pengakhiran sebuah drama
Atau, PAS mempunyai pertimbangan dan strategi lain hingga ia sanggup melancarkan serangan terbuka menolak bekas perdana menteri itu? Begitu juga Bersatu, sejak tahun lalu lagi sengaja mengisytihar minatnya memegang jawatan menteri besar di Perak, Pahang dan Selangor. Seterusnya mengundang reaksi negatif sekutunya. Drama dua parti ini akhirnya ke mana?
Hiruk-pikuk dalam gabungan, bagaimanapun, bukanlah unik kepada PN atau PAS sahaja. Di seluruh dunia, malah di negara kita, gabungan sentiasa berdepan krisis dalaman yang boleh menjatuhkan kerajaan, misalnya tindakan Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) pada 2020. Atau, percakaran terbuka parti-parti komponen BN dahulu, khasnya dengan Umno.
Namun, seperti tanggapan dua pemikir di atas, PAS memang dikenali suka menyertai gabungan semudah meninggalkan gabungan, daripada APU pada hujung 1980-an hinggalah MN menjelang pilihan raya 2022. DAP yang dilihat stabil itu juga pernah meninggalkan Barisan Alternatif (BA) pada 2001. Jadi mungkinkah PAS mengambil langkah sama, meninggalkan PN?

Jika ditinjau seimbas lalu, gelagat tegang PAS-Bersatu sekarang membayangkan keretakan PAS-Semangat 46 selepas pilihan raya 1990 hingga selepas pilihan raya 1995. Masih bekerjasama tetapi saling meragui, seperti sikap PAS meninggalkan PR tetapi bersama PKR dalam kerajaan Selangor era Azmin Ali. Namun, pada 1990-an, Semangat 46 yang meninggalkan APU.
Sekarang PAS bertegang dengan Bersatu, seperti ketegangan parti itu dengan Semangat 46 sebelum pilihan raya 1995. Apa yang berlaku setahun kemudian, pembubaran Semangat 46 dan kembali kepada Umno, hanyalah sebahagian natijah krisis dua parti tersebut. Yakni sewaktu sekutunya, setelah PAS memiliki semula Kelantan, tidak nampak jalan lagi gabungan itu boleh memberi manfaat.
Padahal, jika gabungan itu dikekalkan, gejolak api Gerakan Reformasi menjelang pilihan raya 1999 boleh dimanfaatkan oleh PAS dan Semangat 46. Malah, kemungkinan besar Tengku Razaleigh Hamzah calon perdana menteri BA, bukan Anwar Ibrahim yang masih terpenjara. Namun, tiada sesiapa yang mampu meneropong takdir yang bakal tiba!
Kali ini, PAS tidak akan meninggalkan PN seperti ia pernah berundur daripada PR. PAS sudah nampak PN boleh membawa jauh parti itu seperti pencapaian terbaiknya dengan lebih 40 kerusi sekarang. Namun parti itu tidak yakin Bersatu boleh memberi banyak manfaat kepadanya, tidak seperti ketika mereka masih hangat bercinta. Antaranya, dana pilihan raya.
Walau dipertikai pengarah pilihan raya PAS Sanusi Md Nor, pegawai Muhyiddin mendedahkan (17 September):
"Semasa PRU-15 PAS tidak menghadapi masalah besar berhubung perbelanjaan pilihan raya. Apabila mereka bertanding menggunakan logo PN, semua peralatan pilihan raya yang menggunakan logo PN disediakan oleh PN.
"Perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu. Malah Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada PAS. Hasilnya, PAS menang 43 kerusi parlimen, iaitu jumlah yang terbesar dalam sejarah PAS sejak 70 tahun berada di persada politik Malaysia."
Setelah tak lagi kuasai Putrajaya
Setelah tidak lagi menguasai Putrajaya, aset Bersatu dibekukan atas alasan sebahagian siasatan rasuah terhadap dana RM92.5 bilion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan PN ketika melaksanakan pakej rangsangan susulan pandemik Covid-19.
Mungkinkah soal dana yang disebut Sanusi itu isyarat bahawa PAS tidak lagi mampu menanggung Bersatu pada pilihan raya akan datang? Atau semua ini sebahagian naratif parti itu untuk menekan sekutunya yang lemah agar memberi lebih banyak konsesi, misalnya kerusi, atas alasan PAS lebih banyak jentera dan dana?

Selepas pilihan raya lalu, PAS cukup selesa dengan pencapaian terbesarnya. Selain jumlah kerusi parlimen bertambah, ia juga menguasai hampir mutlak empat negeri, termasuk Perlis dan Kedah. PAS boleh berdiri sendiri tanpa perlu sokongan Bersatu lagi. Gabungan PN bukan lagi sandaran terkuat, nampaknya.
Malah, asas undi PN itu datang daripada Bersatu atau penyokong Umno? Selain PAS fikir Bersatu menumpang jentera dan undi penyokongnya, ia juga nampak peralihan besar tersebut datang daripada pengundi Umno yang kecewa dengan parti itu. MN membuka pintu belakang kepada PAS untuk mendekati dan menggoda orang Umno agar bersamanya.
Apatah lagi kini, Umno dikecam angkara kerjasama sama dengan DAP (melalui gabungan PH) dalam Kerajaan Perpaduan. Maka PAS fikir sokongan kepadanya nanti bukan lagi daripada orang Bersatu tetapi daripada penyokong Umno yang anti-DAP, yang menolak presidennya Zahid Hamidi dan juga yang setia pada bekas presidennya Najib Razak. Atau, pembenci kerajaan "madanon".
Dalam keadaan Bersatu tidak ada kuasa tawar-menawar, ia akan menjadi mangsa simpati PAS sahaja. Ia mungkin hilang banyak kerusi, hilang jawatan di pelbagai peringkat di empat negeri PAS dan malah struktur PN itu sendiri akan "dirampas" oleh PAS. Ertinya, PAS mahu muncul sebagai "abang besar" PN, termasuk menentukan sekutu-sekutu baru sedang berjinak dengan gabungan tersebut.
Dalam keadaan ini, Bersatu tidak banyak pilihan. Sama ada kekal bersama PAS atau meninggalkan PN. Atau, cuba mendekati BN dan PH, dua pilihan yang lebih sukar jika ditinjau pada sikap penyokong masing-masing yang melabelnya sebagai "parti pengkhianat".
Setelah berjaya menyudutkan Bersatu, PAS akan kekal dalam PN dan perkataan putih PN di atas kain biru boleh menjinakkan pengundi di luar empat negeri yang dikuasainya. Penyokong Umno boleh mengundi logo itu, sekurang-kurangnya mengekalkan 43 kerusi parlimen dan mengekalkan empat negeri.
Dengan andaian, tiada masalah dalam kerjasama PH-BN. Jika gabungan parti kerajaan ini berantakan seperti PN juga, bayangkan betapa besarnya harapan yang sedang berbunga di hati pemimpin-pemimpin PAS.
FATHI ARIS OMAR seorang peminat buku yang suka bersembang. Beliau boleh dihubungi melalui mesej peribadi di akaun Facebook.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/8fc3ff3cb75ded1f184346f41d565677.jpg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/89f067ffaf9770ebbafcf95400be8847.png)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/09/83499837cd8a7e80ecb1ee206832c39e.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/08/1906e1152c6970d9ffb93a4e74ee56ba.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/09/a9c82b9c7e6cd4ed926e42c990430cb5.png)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/09/4014ff351ec651885678afc34be394b3.jpg)