KOLUM | Menilai semula peranan Bersatu dalam politik negara
Tidak lama dahulu seorang pemimpin Bersatu yang menolak kepemimpinan Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa beliau tidak tahu apa yang dilakukan Azmin Ali hingga mempunyai pengaruh besar kepada presiden parti.
Sama ada beliau berseloroh atau tidak, sumbangan Azmin terhadap Bersatu dan Muhyiddin adalah besar dan jelas. Kerana Azminlah Muhyiddin dapat menjadi perdana Menteri dan Bersatu dapat menerajui kerajaan.
Pada tahun 2020, Azmin keluar PKR bersama pengikut-pengikutnya untuk menyertai Bersatu, yang keluar dari Pakatan Harapan (PH), sekali gus menumbangkan kerajaan yang menang dalam pilihan raya umum 2018.
Sememangnya kerajaan pimpinan Muhyiddin ditubuhkan dengan sokongan BN, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) tetapi penyertaan Azmin itu adalah penting bagi menjatuhkan kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad dan sekali gus mengelak Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Dengan besarnya peranan Azmin itu, maka ketika itu saya menjangkakan beliau akan dipilih oleh Muhyiddin untuk menjadi timbalan perdana menteri. Saya juga melihat bahawa Muhyiddin tidak akan lama menjadi perdana menteri kerana kesihatannya ketika itu. Maka beliau kemudian akan memberi laluan kepada Azmin untuk menggantikannya, dan itulah matlamat Azmin sekian lama.
Bagaimanapun, wajar bagi Azmin untuk menubuhkan parti baharu sebagai wadah para pengikutnya yang merupakan bekas ahli PKR dan berbilang kaum.
Maka parti baharu itu boleh dilihat sebagai parti pecahan PKR dan juga mempunyai fahaman perjuangan yang tidak berbeza daripada parti asalnya. Mereka tentulah berfahaman yang bertentangan dengan Bersatu sebagai pecahan daripada Umno.
Banyak pihak menganggap bahawa parti politik hanyalah wadah atau alat bagi mencapai kekuasaan. Tetapi bagi saya fahaman atau ideologi adalah juga penting. Daripada ideologi inilah keluarnya pendirian-pendirian politik parti hinggalah manifesto yang ditawarkan kepada pengundi.
Begitu juga dengan ahli politik. Sememangnya banyak ahli politik yang melompat banyak parti dengan mudah, mengikut aliran kuasa yang ditawarkan tetapi fahaman politik seseorang ahli siasah tetap penting dan perlu diberi perhatian.
Tetapi saya faham realiti kebanyakan aktivis, ahli, penyokong dan pengundi yang tidak mempedulikan soal ideologi atau fahaman politik. Umumnya mereka hanya mengikut sentimen mereka terhadap parti-parti politik dan tokoh-tokohnya. Sentimen mereka pula diwarnai atau dipengaruhi daripada reaksi terhadap isu-isu melalui media, baik media massa mahupun media sosial.
Ubah fahaman politik
Ternyata Azmin tidak menubuhkan parti baharu tetapi sebaliknya menerima Bersatu sebagai wadah politik, walaupun bercanggah dengan fahaman politiknya. Ataupun Azmin sudah mengubah fahaman politiknya, iaitu tidak menerima ideologi PKR dan sebaliknya menerima fahaman Bersatu. Tetapi Bersatu tidak pernah mengubah fahaman politiknya sejak ditubuhkan.
Bersatu bukan saja alternatif pada Umno tetapi mahu menggantikannya. Itulah hasrat Dr Mahathir ketika mengasaskannya pada tahun 2016. Umno dilihat telah rosak di bawah pimpinan Najib Razak dan Dr Mahathir mahukan semua ahli-ahli Umno berhijrah ke Bersatu.
Namun begitu, dari segi berpolitik, terdapat perubahan pendirian. Pada mula ia ditubuhkan, seperti Umno, ia menolak kerjasama dengan DAP, PAS, PKR dan Anwar. Tetapi pada tahun 2017, Bersatu bawah pimpinan Dr Mahathir mengubah pendirian politik dengan menerima kerjasama dengan DAP, PKR dan Anwar dengan menyertai PH.

Pada tahun 2020, Bersatu menukar pendiriannya lagi dengan menolak kerjasama dengan DAP dan kepimpinan Anwar (no DAP, no Anwar) dan selanjutnya melakukan Langkah Sheraton dengan bantuan Azmin dan pengikut-pengikutnya.
Dengan langkah itu, Azmin dan pengikut-pengikutnya sendiri mengubah pendirian, dari pihak yang menyokong Anwar kepada menentang Anwar. Dari menyokong fahaman PKR kepada menerima ideologi Bersatu yang sama dengan Umno.
Fahaman politik Azmin terbimpak berbeza daripada PKR yang asal ketika berlaku pemilihan parti sebelumnya. Kumpulan Azmin mengemukakan gagasan Keadilan Raya dalam kempen pemilihan itu, yang mahu mengubah PKR menjadi parti yang memandang ke depan, melangkaui bayangan ketokohan Anwar. Dalam erti kata lain, Azmin mahu menyediakan PKR untuk era tanpa Anwar. Selaku timbalan presiden PKR selepas dapat memberi tekanan pada Dr Syed Husin Ali untuk berundur, Azmin dan pengikut-pengikutnya sudah dikatakan menguasai PKR.
Apabila gagal menerajui PKR, maka berlakulah Langkah Sheraton. Apabila Azmin tidak menubuhkan parti baharu tetapi sebaliknya menyertai Bersatu secara beramai-ramai, maka tentulah dapat diandaikan bahawa beliau dan orang-orangnya hendak menguasai Bersatu. Sesuatu yang pasti dilihat oleh banyak ahli Bersatu asal daripada Umno.
Tetapi Azmin tidaklah terus dapat menjadi timbalan presiden Bersatu. Beliau hanya menjadi Naib Presiden. Naka beliau perlu menunggu banyak masa lagi untuk dapat menjadi pemimpin Bersatu.
Bukan saja tidak mudah menjadi timbalan presiden Bersatu tetapi lebih sukar lagi ialah untuk menjadi timbalan perdana menteri walaupun Bersatu mendominasi kerajaan. Itulah yang berlaku apabila Muhyiddin menjadi perdana menteri. Azmin hanya dilantik sebagai menteri Kabinet bersama Ismail Sabri Yaakob yang mewakili Umno.
Azmin ganti Muhyiddin
Tetapi saya ingat betapa Muhyiddin berkata semasa sidang akhbar yang memperkenalkan menteri kabinetnya bahawa jika apa-apa berlaku pada dirinya, Azmin akan menggantikannya sebagai perdana menteri.
Sebagai pemerhati politik dari luar, ada satu ketika saya tidak berasa bermasalah untuk menerima Azmin sebagai pengganti Anwar, malah untuk menjadi perdana menteri. Pandangan saya ini berlaku ketika beliau menjadi menteri ekonomi dalam kabinet Dr Mahathir. Cara beliau berucap di parlimen dapat saya terima.
Sememangnya saya mengundi beliau dalam pilihan raya umum pada tahun 2008, 2013 dan 2018 di kawasan parlimen Gombak. Walaupun saya menyokong Khalid, Ibrahim sebagai menteri besar, tetapi saya dapat menerima Azmin sebagai penggantinya.
Walaupun saya bukan ahli PKR, saya melihat gagasan Keadilan Raya sebagai satu usaha yang segar untuk meletakkan jalan masa depan bagi negara. Namun kepercayaan saya terhadap beliau runtuh apabila berlaku Langkah Sheraton. Tindakan beliau dan pengikut-pengikutnya meninggalkan PKR dan menjatuhkan kerajaan PH tidak dapat saya terima.
Pertama kali saya nampak Azmin adalah pada tahun 1994 ketika beliau bekerja dengan Anwar di pejabat Kementerian Kewangan, Jalan Duta. Saya dibawa oleh wartawan Harian Watan, Allahyarham Samsuri Roslan untuk bertemu setiausaha akhbar Anwar, Khalid Jaafar. Pada masa itu ada majlis jamuan tengah hari untuk ahli-ahli korporat sambil mendengar bacaan puisi WS Rendra dari Indonesia. Anwar mahu ahli-ahli korporat turut mengapresiasi puisi-puisi Nusantara.

Kali kedua saya ternampak Azmin Ali ialah dalam satu majlis pelancaran buku di Petaling Jaya pada sekitar tahun 2010, iaitu pada zaman adanya PR. Buku yang diterbitkan oleh Islamic Book Trust dilancarkan oleh Anwar. Turut hadir ialah Dr Syed Husin Ali, Abdul Hadi Awang dan Azmin Ali. Kebetulannya sewaktu di tangga, saya lihat Azmin Ali membuat teguran kepada Abdul Hadi mengenai kenyataan yang dibuat oleh pemimpin PAS itu.
Kali ketiga saya terserempak dengan Azmin pada tahun 2015. Ketika itu beliau adalah menteri besar. Beliau menghadiri majlis perkahwinan anak allahyarham Pyanhabib. Pada masa itu PKR masih bersatu tetapi PR sudah berada di penghujungnya kerana PAS menarik diri daripada pakatan itu.
Sewaktu Langkah Sheraton, saya amat hairan begitu mudah tokoh-tokoh yang meninggalkan PKR dan Anwar Ibrahim. Kini Bersatu pula mengalami perpecahan. Persaingan antara kumpulan bersama Azmin dengan golongan yang menyokong Hamzah Zainuddin akan menuju pada natijahnya, iaitu Bersatu akan dikuasai oleh salah seorang daripada tokoh itu.
Keadaan Bersatu dalam politik negara perlu dinilai semula. Begitu juga dengan nasib Perikatan Nasional (PN). Saya dapat melihat banyak orang meninggalkan Bersatu sejak Langkah Sheraton. Dengan perkembangan sekarang, maka bertambahlah orang yang meninggalkan Bersatu.
Kedudukan PKR juga tidak begitu baik dengan berlakunya kekalahan Rafizi Ramli dalam pemilihan parti. Apabila PKR terjejas, maka PH juga terjejas. Mungkin BN boleh menangguk di air keruh pada waktu ini. Malah ada kalangan yang menyebut bahawa dengan keadaan Bersatu yang begitu rupa maka PAS boleh kembali bekerja sama dengan Umno dalam pilihan raya umum akan datang.
Keadaan politik negara tidak menentu pada masa akan datang. Dalam PH, tidak nampak siapa yang boleh menggantikan Anwar pada masa akan datang. Begitu juga dalam PN dan BN. Maka akhirnya nanti tiada gading, tanduk pun berguna.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/03/4e2174361a34674f01edd2bc97dbadfb.jpg)

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/07/53c937452c38d6049529aee7c0e2e5ac.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/08/581536cbaba11ff0b6a6c2914736a275.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/0b7f67eceb4cef169f7e35f066bd583b.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2024/07/b42122617fe1f187187bb70255ccfa19.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/11/c3ba215e87606bfdd2dee30750c11d89.jpg)